PENDAPATRENCANA

Persaraan 65 tahun: Perlu dinilai dengan data dan realiti semasa

Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

CADANGAN menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam daripada 60 kepada 65 tahun kembali menjadi topik perbincangan hangat, khususnya dalam konteks ekonomi pasca-pandemik dan keperluan terhadap tenaga kerja berpengalaman di Malaysia.

Langkah ini dilihat daripada dua sudut. Di satu pihak, ia membuka peluang kepada individu berusia untuk terus menyumbang secara produktif. Di pihak lain, timbul kebimbangan bahawa peluang pekerjaan generasi muda mungkin terjejas.

Secara global, umur persaraan berbeza mengikut keperluan dan dasar sesebuah negara. Negara seperti Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat telah lama mengekalkan umur persaraan sekitar 65 tahun. Malah, Norway membenarkan persaraan fleksibel sehingga 67 tahun, bergantung kepada kemampuan individu.

Umur persaraan berbeza mengikut keperluan dan dasar sesebuah negara.

Di rantau ASEAN, Malaysia tidak ketinggalan. Singapura, misalnya, sedang merancang untuk menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun menjelang 2030, manakala Thailand dan Indonesia turut dalam proses menyesuaikan dasar masing-masing.

Dengan jangka hayat rakyat Malaysia kini melebihi 75 tahun, ramai yang masih sihat dan cergas ketika menjejak usia 60-an.

Namun, ramai pesara terpaksa beralih kepada pekerjaan tidak formal demi menampung kos sara hidup, meskipun masih memiliki kepakaran dan pengalaman yang berharga.

Sektor awam turut berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja berpengalaman, khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Memaksa individu yang masih kompeten bersara hanya kerana faktor usia boleh menyebabkan pembaziran sumber manusia yang bernilai.

Dari sudut ekonomi, pakar sumber manusia menyatakan bahawa penangguhan persaraan boleh mengurangkan beban fiskal negara, terutamanya dalam aspek pembayaran pencen.

Kadar pengangguran belia juga masih tinggi dan menunjukkan perlunya sistem pekerjaan yang seimbang dan inklusif.

Langkah ini juga membolehkan perbelanjaan kerajaan disalurkan ke sektor pembangunan lain. Bank Dunia turut mengesahkan bahawa banyak negara mencatat kestabilan fiskal lebih baik selepas menaikkan umur persaraan.

Namun begitu, keresahan generasi muda harus diberikan perhatian serius. Kadar pengangguran belia yang masih tinggi iaitu melebihi 10 peratus menunjukkan perlunya sistem pekerjaan yang seimbang dan inklusif.

Oleh itu, sebarang pelaksanaan dasar perlu disusuli dengan reformasi sistem pengambilan, mobiliti jawatan, dan program mentor-mentee antara generasi.

Dalam Islam, tidak wujud had umur spesifik untuk persaraan. Sebaliknya, keupayaan, integriti dan semangat bekerja adalah pertimbangan utama. Kisah para Nabi dan sahabat yang terus berbakti pada usia lanjut membuktikan bahawa produktiviti tidak terhenti pada angka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26:

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.”

Dari sudut sosial, peluang kepada warga emas untuk terus bekerja sama ada secara sukarela atau kontrak bukan sahaja menghargai pengalaman mereka, tetapi juga memperkukuh keterangkuman sosial dan mencegah diskriminasi usia.

Pelaksanaan dasar ini perlulah bersifat fleksibel dengan mengambil kira penilaian berkala terhadap kesihatan dan prestasi, serta menyediakan pilihan persaraan awal bagi mereka yang memerlukan.

Cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun bukanlah isu hitam-putih yang boleh disokong atau ditolak secara mutlak. Ia memerlukan penelitian menyeluruh berdasarkan data, keperluan semasa dan keseimbangan antara generasi.

Apa yang lebih penting ialah membina ekosistem pekerjaan yang menghargai sumbangan semua lapisan usia, generasi muda sebagai peneraju masa depan dan warga emas sebagai pembimbing yang kaya pengalaman.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button