BISNES & EKONOMIRENCANA

Perjalanan penuh inspirasi Haji Zulkifli bina jenama RM100 juta

BERTUKAR perjalanan dalam karier bukanlah satu pilihan yang mudah. Namun berbekalkan keyakinan bahawa kejayaan tidak pernah menafikan usaha, Zulkifli Yusop mengambil langkah berani dengan meninggalkan ‘kerja makan gaji’ selepas melihat sendiri majikannya mencipta kejayaan demi kejayaan.

Di sebalik keputusan itu, apa yang lebih membakar semangatnya adalah apabila beliau merasakan dirinya tidak diberikan imbuhan yang setimpal dengan segala usaha yang dilakukan untuk syarikat.

Jauh di sudut hatinya, Zulkifli merasakan sebahagian daripada pencapaian syarikat tempat beliau pernah bekerja itu adalah hasil usaha gigih dan komitmennya.

“Saya sering membawa pulang jualan berjuta-juta semasa bekerja di syarikat lama tapi gaji dan imbuhan yang diterima tidaklah setimpal.

“Saya bertekad untuk mengejar impian yang selalu bermain di hati saya iaitu untuk memiliki syarikat sendiri dan atas keyakinan itu saya berhenti kerja,” kata Pengarah First Grade Resources Sdn Bhd pada majlis perasmian kilang baru syarikat itu baru-baru ini.

Kilang dengan pelaburan RM25 juta di Jalan Junjung, Kulim itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Zulkifli Jusoh (tiga dari kiri) bersama Muhammad Sanusi Md Nor pada majlis perasmian kilang baru First Grade Resources di Kulim, baru-baru ini.

Langkah pertama Zulkifli bermula dengan perniagaan produk minyak wangi yang dihasilkan sendiri pada tahun 2008 di dalam sebuah premis bersaiz kecil.

Namun perjalanan bisnes Zulkifli tidak semudah yang disangkakan. Walaupun sering diragui oleh orang-orang terdekat dengannya, bekas graduan Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM) itu tidak goyah.

Berkat keazaman dan kesungguhan usahanya, beliau terkejut apabila modal pertama sebanyak RM1,000 yang ‘dilaburkan’ memberi pulangan sehingga RM80,000 dalam masa tiga minggu.

Ia menandakan permulaan kejayaan yang lebih besar dalam kariernya.

Tidak lama selepas itu, Zulkifli mempelbagaikan produk di bawah jenama First Grade. Dari minyak wangi, beliau menghasilkan produk pelangsing badan, losyen badan dan minuman kesihatan yang semakin mendapat sambutan.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Pernah sekali beliau diuji dengan kegagalan penghasilan produk yang menyebabkan kerugian yang agak besar.

Usahanya mencari pakar kimia akhirnya berjaya mencipta formula yang lebih baik. Dengan ujian makmal yang teliti, akhirnya lahirlah produk CoCoa Collagen yang ‘meletup’ di pasaran.

“Di kilang kami, setiap produk yang dihasilkan melalui fasa kawalan kualiti yang ketat untuk memastikan hanya yang terbaik sampai ke tangan pelanggan,” katanya.

Dengan kualiti sebagai teras perniagaan, First Grade Resources kini berkembang sebagai pengilang terbesar di Malaysia bagi produk asal (OEM) untuk produk kecantikan, kesihatan dan minuman.

Kilang yang dibina di atas tanah seluas 1.2 hektar itu bukan sahaja dilengkapi dengan teknologi canggih tetapi juga menggunakan sistem automasi penuh yang berkapasiti menghasilkan 50,000 unit produk seminggu.

“Dengan teknologi terkini, kapasiti pengeluaran meningkat dengan pesat dan kilang baharu ini juga mendapat pensijilan dari Kementerian Kesihatan (KKM), sijil halal, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),” katanya.

Tambah beliau lagi, melalui kilang baharu ini, pihaknya menyasarkan jualan sehingga RM100 juta berbanding 20,000 unit bagi setiap produk dalam masa seminggu.

Ditanya rahsia lain kejayaannya, beliau berkata, aspek pengurusan kewangan yang baik sentiasa menjadi penentu kemampuan syarikat untuk berkembang.

“Ketika banyak syarikat terpaksa bergantung pada pinjaman bank untuk mengembangkan perniagaan, Kami mengamalkan pendekatan berbeza dengan menggunakan modal sendiri dan mencapai kemajuan tanpa beban hutang.

“Saya juga tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan semasa, sentiasa mengutamakan kesabaran, disiplin, dan sedekah dalam setiap langkah perniagaan.

“Inilah nilai yang diterapkan kepada semua pekerja di First Grade Resources,” ujar beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button