Gaya HidupRencana

Penginapan serba lengkap di pusat khidmat gelandangan

KEWUJUDAN Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur yang dipenuhi deretan bangunan pencakar langit menjadi sinar buat golongan terpinggir.

Ia bukan sekadar tempat persinggahan biasa, tetapi pusat ini berfungsi sebagai benteng perlindungan sementara bagi golongan gelandangan.

Di sini, setiap individu yang singgah bukan saja mempunyai tempat berteduh, bahkan mendapat peluang untuk bangkit semula daripada kehidupan yang penuh ujian.

Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, pusat ini menawarkan perlindungan dan fasiliti selesa.

Naib Yang Dipertua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Laili Ismail berkata, pusat ini menawarkan pelbagai fasiliti bagi memastikan gelandangan yang singgah di sini dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Kami menyediakan bilik air untuk mereka mandi supaya mereka dapat menjaga kebersihan diri.

“Ruang ini adalah kawasan terbuka, namun mereka perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum menggunakan kemudahan yang ada,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Naib Yang Dipertua Pertiwi, Laili Ismail

Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku ini merupakan salah satu daripada kemudahan yang disediakan kerajaan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu golongan gelandangan yang tiada tempat tinggal.

Menurut Laili, bagi memastikan keselesaan penghuni di pusat itu, pihak berkuasa tempatan turut menaik taraf lantai simen kepada lantai marmar yang lebih cantik dan sejuk.

“Ia baru ditukar tahun lalu, sekali gus memberikan suasana yang lebih bersih dan selesa buat gelandangan yang menetap di sini.

“Selain itu, disediakan juga katil mudah alih untuk mereka berehat, ruang solat untuk menjalankan ibadah, bilik simpanan barang bagi menyimpan barangan peribadi dengan selamat serta sinki bagi kegunaan harian,” katanya lagi.

Katil mudah alih untuk kegunaan gelandangan yang menetap di sini dipasang apabila mahu tidur.

Di samping itu, Laili turut menzahirkan penghargaan kepada DBKL dan pihak JWP di atas sokongan mereka dalam usaha membantu golongan gelandangan.

“Kami amat berterima kasih kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang banyak membantu dalam memastikan pusat ini berfungsi dengan baik.

“Hakikatnya, usaha membantu golongan gelandangan memerlukan sokongan menyeluruh, bukan hanya daripada pihak berkuasa tetapi juga daripada NGO dan masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya.

Menurut beliau, isu gelandangan bukan hanya sekadar mengenai penyediaan tempat tinggal, tetapi lebih kepada mencari penyelesaian jangka panjang supaya mereka dapat keluar daripada kitaran kehidupan di jalanan.

Ruang solat dilengkapi sejadah kitab suci Al-Quran disediakan buat gelandangan yang beragama Islam.

“Oleh itu, kolaborasi antara sektor kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat amat penting dalam memberikan bantuan yang lebih berkesan.

“Setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan golongan ini mendapat peluang kedua dalam hidup mereka,” katanya lagi.

Ketua Jenama, Penajaan, Impak dan Penglibatan Komuniti Standard Chartered, Mastura Adnan pula berkata, isu gelandangan yang semakin menjadi perhatian masyarakat.

“Apa yang saya boleh saya katakan, bagi golongan B40, mereka masih boleh mencari pendapatan menerusi pekerjaan sektor gig seperti Grab Rider dan Grab Food atau bekerja dari rumah dengan cara berniaga online dan sebagainya.

Pusat ini juga menjadi lokasi agihan makanan serta pelbagai barangan keperluan yang dikendalikan oleh NGO berdaftar dengan DBKL hasil sumbangan syarikat korporat dan orang ramai.

“Namun, berbeza dengan gelandangan, kebanyakan mereka lebih kepada membuat pilihan tentang hidup sendiri untuk berada di jalanan.

“Justeru, bagi membantu golongan ini, sektor korporat dan NGO perlu ada satu kerjasama yang erat bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan sasaran yang tepat,” ujar beliau.

Menurut Mastura lagi, NGO biasanya mempunyai senarai penerima yang sahih, sekali gus mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi bantuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mastura mewakili Standard Chartered mengagihkan sumbangan barangan persediaan Syawal kepada seorang penerima daripada keluarga B40 di pusat berkenaan semalam.

“Melalui inisiatif sebegini, Standard Chartered akan terus komited dalam memainkan peranan aktif membantu masyarakat yang memerlukan, sejajar dengan prinsip tanggungjawab sosial korporat kami,” katanya.

Kesimpulannya, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku terus menjadi bukti bagaimana usaha bersepadu dapat membawa impak positif kepada golongan kurang bernasib baik.

Dengan kemudahan yang disediakan dan bantuan daripada pelbagai pihak, pusat ini diharapkan dapat menjadi tempat perlindungan yang bukan sahaja memberikan keselesaan sementara, tetapi juga membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik dan bermaruah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button