
KETIKA filem Blood Brothers: Bara Naga mencetus fenomena dengan kutipan melebihi RM50 juta dalam tempoh dua minggu tayangan, ia bukan sekadar tanda kejayaan sebuah karya seni.
Tetapi situasi itu juga memberi isyarat jelas bahawa industri filem tempatan sedang berdiri gah di persada global – penuh potensi, penuh tenaga.
Bagaimanapun, di balik sorakan gemuruh dan tepukan hangat penonton, ada satu persoalan penting yang wajar direnungi.

Adakah wira di balik tabir layar turut dilindungi dengan sewajarnya?
Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman berkata, dalam meraikan kejayaan tersebut, penggiat industri seni tanah air wajar diingatkan berhubung cabaran keselamatan kerja.
“Ingatan ini khusus bagi penggambaran filem aksi yang melibatkan risiko tinggi kepada para pelakon, kru teknikal dan produksi.
“Melihat kepada realiti ini, penggiat industri seni tanah air disaran agar cakna terhadap perlindungan keselamatan sosial yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Mengambil contoh Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), caruman ini menawarkan perlindungan kepada penggiat seni sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan ketika bekerja atau keuzuran akibat tugasan seni.
“Selain faedah hilang upaya atau kematian, caruman ini juga membolehkan mereka mendapatkan rawatan perubatan tanpa perlu menanggung kos sendiri, sekiranya kecederaan berlaku ketika menjalankan tugas seni mereka,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.
Justeru, Dr. Mohd Saipuddin menegaskan, industri perlu bersikap lebih progresif terhadap kesedaran keselamatan dalam kalangan penggiat seni itu sendiri.
“Menerusi kejayaan filem Blood Brothers: Bara Naga ini, ia diharap bukan sahaja dapat menyemarakkan semangat penggiat seni lain untuk menghasilkan karya berkualiti, tetapi juga mendorong budaya lebih prihatin dalam aspek kebajikan diri dan rakan industri.

“Kesedaran terhadap peri pentingnya caruman keselamatan sosial bukan sahaja untuk melindungi individu semata-mata, malah memperkukuh imej industri hiburan tanah air sebagai satu sektor profesional dan terjamin,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar industri filem Malaysia terus berkembang dengan jayanya.
Blood Brothers: Bara Naga merupakan sebuah filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra.
Ia menggandingkan pelakon berbakat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Wan Hanafi Su dan Zamarul Hisham.
Gabungan kesemua pelakon hebat itu berjaya menyumbang kepada kejayaan luar biasa dan turut menerima pujian kritis berkenaan mutu, aksi serta naratifnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |