
Dalam kancah politik yang serba dinamik, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak terlepas daripada ancaman dalaman yang mampu menggugat kekuatannya sendiri.
Terbaharu, timbul desas-desus tentang sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.
Gerakan itu bukan sahaja dilihat sebagai tidak wajar, malah memperlihatkan tanda-tanda kewujudan ‘trojan horse’ yang sedang mengganas dalam parti.
Nurul Izzah, walaupun berpengalaman sebagai Naib Presiden dan dikenali ramai sebagai ikon reformasi, masih belum menunjukkan keampuhan sebenar untuk mendaki ke tampuk kepimpinan tertinggi parti.

Penglibatan beliau dalam parti sememangnya aktif dari segi kehadiran dan simbolik, namun dari sudut prestasi dan kemampuan kepimpinan yang teruji, masih belum terbukti sepenuhnya.
Dalam suasana PKR yang sedang bergelut dengan persepsi dan cabaran luar, parti tidak boleh mengambil risiko dengan pertaruhan yang tidak pasti.
PKR tidak seharusnya melayan agenda tersembunyi yang cuba disuntik oleh pihak tertentu.
Parti harus memberi laluan kepada persaingan sihat antara dua tokoh sedia ada — Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail — yang masing-masing telah membuktikan komitmen serta sumbangan mereka terhadap perjuangan parti selama itu.
Pertembungan antara kedua-dua figura ini sudah cukup untuk memberi pilihan yang jelas kepada akar umbi tanpa perlu mencipta konflik baru.
Justeru, adalah lebih baik jika Nurul Izzah kekal memainkan peranan sebagai pemimpin yang menyokong dari belakang, dan tidak terlibat dalam perebutan kuasa yang berisiko mengheret PKR ke dalam krisis dalaman.
Kematangan politik menuntut keutamaan diberikan kepada kestabilan dan kesatuan parti, bukan kepada percaturan yang bersifat peribadi atau simbolik.
PKR memerlukan pemimpin yang bukan sahaja berwibawa, tetapi juga bebas daripada persepsi nepotisme dan kronisme.
Biarlah akar umbi memilih berdasarkan rekod dan visi, bukannya didorong oleh sentimen atau strategi licik pihak tertentu.
Jika kita benar-benar mahu melihat PKR terus menjadi kuasa reformasi utama, maka kita harus berani menolak ‘trojan horse’ yang sedang cuba menyusup ke dalam benteng perjuangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |