Luar NegaraRencana

Nasib anak-anak Palestin, dunia terus membisu terhadap kezaliman Israel

DALAM suasana kedinginan di sebalik jeriji besi, di bawah pemerhatian mata-mata kejam rejim Zionis, seramai 365 orang kanak-kanak Palestin merintih di penjara Israel.

Sebahagian besar mereka hanyalah kanak-kanak yang masih perlu dipimpin tangan, namun telah diperlakukan seperti lagaknya penjenayah berbahaya.

Menurut NGO Save the Children, lebih 10,000 kanak-kanak Palestin telah dipenjarakan oleh rejim Zionis sepanjang tempoh 20 tahun lalu.

Apa yang memilukan, lebih 100 orang daripada mereka ditahan tanpa sebarang perbicaraan di bawah sistem penahanan pentadbiran rejim yang zalim.

Angka ini hanyalah secebis daripada 10,000 tahanan Palestin yang meringkuk dalam penjara Israel. Lelaki, wanita dan anak kecil, semuanya menjadi mangsa kerakusan rejim yang tidak pernah kenal belas kasihan.

Di mana dunia? Di mana keadilan yang selalu dilaungkan?

Undang-undang dilanggar sesuka hati

Ironinya, undang-undang antarabangsa yang melindungi kanak-kanak sudah lama wujud. Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan jelas menetapkan bahawa ‘tiada kanak-kanak boleh diseksa, dikenakan hukuman kejam dan dipenjara seumur hidup tanpa kemungkinan pembebasan.’

Israel menandatangani perjanjian tersebut pada tahun 1991. Tetapi sejak itu, mereka dengan angkuh menginjak-injaknya tanpa rasa bersalah.

Kanak-kanak Palestin terus diperlakukan seperti musuh, dipenjara tanpa bukti kukuh, didera secara mental dan fizikal, malah ada yang menderita penyakit serius akibat layanan tidak berperikemanusiaan di penjara Israel.

Bukti paling nyata? Lihat sahaja tiga kisah ini:

1. Ahmad Manasra, 13 tahun

Pada tahun 2015, Ahmad ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun (kemudian dikurangkan kepada 9 tahun) atas dakwaan membantu sepupunya menikam penduduk haram Israel.

Gambar fail menunjukkan kanak-kanak bernama Ahmad Manasra yang ditahan di penjara Israel pada tahun 2015.

Walaupun mahkamah sendiri mengesahkan dia tidak bersalah, Ahmad tetap merengkok dalam penjara. Kini, dia mengalami skizofrenia dan kemurungan yang teruk akibat penyeksaan mental yang berterusan.

2. Bahaa H, 7 tahun

Pada pagi yang sepatutnya penuh keceriaan di Hari Raya Aidiladha 2024, Bahaa ditangkap ketika sedang membeli gula-gula bersama rakan-rakannya di Ramallah.

Tuduhannya? Membaling batu ke arah tentera Israel. Dia dipukul dengan kejam sebelum akhirnya dibebaskan selepas tiga jam, tetapi trauma yang dialaminya akan kekal seumur hidup.

3. Ayham al-Salaymeh, 14 tahun

Ayham juga menjadi mangsa atas tuduhan yang sama – membaling batu. Tetapi hukumannya jauh lebih berat iaitu penjara selama setahun.

Ayham Al-Salaymeh dipenjara selama setahun kerana tindakannya membaling batu kepada tentera Israel.

Sebelum itu, pada usia 12 tahun, dia sudah dikenakan perintah berkurung oleh rejim Israel dan apabila undang-undang baharu diperkenalkan pada 2016 yang membenarkan penahanan seawal usia 12 tahun, dia terus dipenjara.

Kanak-kanak sebagai ancaman?

Jika direnungkan, kesalahan mereka ini tidak sepatutnya dihukum dengan pemenjaraan. Membaling batu bukan jenayah besar, apatah lagi jika dibandingkan dengan kekejaman tentera Israel yang menembak dan membunuh orang awam setiap hari.

Tetapi bagi Israel, setiap kanak-kanak Palestin adalah ancaman bagi mereka.

Itulah sebabnya mengapa mereka sanggup menggubal undang-undang zalim pada 2016 yang membenarkan penahanan seawal usia 12 tahun.

Itulah juga sebabnya mengapa hukuman membaling batu dinaikkan kepada penjara selama 20 tahun dan tempoh tahanan tanpa perbicaraan dilanjutkan daripada 96 jam kepada 45 hari.

Kanak-kanak tidak diberi hak untuk membela diri, tidak dibenarkan bertemu keluarga, malah ada yang diseksa secara kejam di dalam tahanan.

Membesar di bawah bayangan penindasan

Menurut NGO Save the Children, lebih 10,000 kanak-kanak Palestin telah dipenjarakan dalam tempoh 20 tahun terakhir.

Mereka bukan sekadar tahanan, bahkan adalah saksi hidup kepada kekejaman yang diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Zaman kanak-kanak ini hanya dibayangi penindasan dan kekejaman tentera Israel yang tidak berkesudahan.

Jika seorang kanak-kanak berusia 7 tahun berani membaling batu ke arah tentera Israel, ia bukan kerana dia dilahirkan sebagai pejuang, tetapi kerana sejak kecil dia telah menyaksikan keluarganya dibunuh, rumahnya dimusnahkan dan tanah airnya dijajah.

Inilah transgenerational trauma yang tidak difahami dunia bahawa kanak-kanak Palestin tidak membesar dengan mainan, tetapi dengan suara letupan dan raungan ibu yang kehilangan anak mereka.

Dunia, sampai bila kita akan diam?

365 orang kanak-kanak Palestin yang ditahan hari ini sepatutnya berada di sekolah, bermain bersama rakan-rakan atau sedang memeluk ibu mereka dengan penuh kasih sayang.

Tetapi sebaliknya, mereka terkunci di dalam sel sempit yang gelap dan sunyi, menunggu hari demi hari tanpa harapan.

Apakah kita hanya akan melihat tanpa melakukan apa-apa? Adakah kita akan terus membiarkan kanak-kanak ini kehilangan masa kecil mereka, masa depan mereka dan akhirnya nyawa mereka?

Hakikatnya, kegagalan kita untuk membela nasib anak-anak Palestin bukan sekadar kegagalan dalam mempertahankan keadilan, tetapi juga kegagalan dalam menghadirkan rasa empati sebagai manusia.

Sedangkan apa yang mereka mahukan hanyalah satu perkara iaitu MERDEKA!

  • Artikel ini ditulis oleh Sabrina Suhaimi dari Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang telah diolah semula oleh wartawan Malaysia Tribune. Boleh layari laman web https://www.cgm.com.my/blog/ untuk maklumat lanjut mengenai Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button