PENDAPATRENCANA

Merdeka 118: Pencakar langit mercu tanda kebanggaan, kemajuan ekonomi Malaysia

Oleh MOHAMMAD ALIF ISMAIL

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya berasa amat bangga melihat perkembangan pesat negara dalam bidang pembangunan infrastruktur, khususnya dalam pembinaan pencakar langit.

Menurut laporan Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH), Malaysia kini berada di tangga keempat dunia dari segi jumlah pencakar langit, hanya di belakang China, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sehingga tahun 2025, negara kita memiliki sebanyak 293 bangunan melebihi ketinggian 150 meter (m) termasuk 67 buah melebihi 200m dan enam pencakar langit yang melebihi 300m.

Ini jelas menunjukkan keupayaan teknologi dan kejuruteraan tempatan yang semakin maju dan diyakini di peringkat antarabangsa.

Terletak di tapak bersejarah berdekatan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, menara ini memiliki 118 tingkat dengan ketinggian mencecah 678.9 meter.

Bagi saya, pencakar langit bukan sekadar struktur bangunan yang tinggi. Ia melambangkan kekuatan sesebuah negara dari sudut teknologi, ekonomi dan kejuruteraan.

Lebih daripada itu, pencakar langit menjadi mercu tanda kebanggaan nasional, menarik pelabur asing serta mencerminkan kemajuan dan kestabilan sesebuah negara.

Antara yang paling membanggakan saya ialah Menara Merdeka 118. Ia bukan sahaja menakjubkan dari sudut seni bina malah sarat dengan simbolik sejarah dan nilai kebangsaan.

Perkara yang lebih menarik filem Thunderbolts terbitan Marvel Studios telah memilih Merdeka 118, menara kedua tertinggi di dunia sebagai salah satu lokasi penggambaran.

Pemilihan Merdeka 118 sebagai lokasi penggambaran filem luar telah membuktikan bahawa Malaysia berpotensi menarik produksi bertaraf antarabangsa serta mampu mempromosikan negara dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Keunikan dan sejarah Menara Merdeka 118

Dirasmikan pada 10 Januari 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menara Merdeka 118 membawa makna yang mendalam kepada saya sebagai rakyat Malaysia.

Ia dinamakan bersempena memperingati detik bersejarah kemerdekaan negara.

Terletak di tapak bersejarah berdekatan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, menara ini memiliki 118 tingkat dengan ketinggian mencecah 678.9 meter.

Ia bukan sahaja menjadi bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara, malah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.

Saya berasa kagum apabila mengetahui bahawa menara ini dibina oleh anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd dan merupakan sebahagian daripada projek pembangunan bersepadu.

Projek ini bukan sahaja menyediakan ruang pejabat dan hotel mewah, tetapi juga pusat membeli-belah dan pelbagai kemudahan runcit yang mampu merancakkan lagi ekonomi setempat.

Sebanyak 50 peratus daripada kawasan projek menara ini merangkumi kawasan Stadium Negara dan Stadium Merdeka dengan nilai pembangunan kasar mencecah RM7 bilion.

Menara ini terdiri daripada 18,000 panel kaca yang membentuk fasad kristal serta mempunyai ruang lantai seluas 3.1 juta kaki persegi.

Bangunan yang mula dibina pada tahun 2014 ini turut dilengkapi dengan sistem lif terpantas di dunia, yang hanya mengambil masa 65 saat untuk membawa pengunjung dari tingkat 1 ke tingkat 118.

Menara ini terdiri daripada 18,000 panel kaca yang membentuk fasad kristal serta mempunyai ruang lantai seluas 3.1 juta kaki persegi.

Menariknya, lif ini diperbuat daripada kaca dan keluli membolehkan pengunjung menikmati pemandangan panorama Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan naik dan turun di Merdeka 118.

Reka bentuknya yang moden hasil kerjasama antara RSP Architects Sdn. Bhd dan Fender Katsalidis Architects dari Melbourne, Australia menyerlahkan nilai sejarah melalui imej ikonik Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengangkat tangan sewaktu laungan merdeka sebanyak tujuh kali pada 31 Ogos 1957.

Seni bina pencakar langit ini melambangkan identiti negara, di mana tapak asas menara direka dalam bentuk berlian yang diinspirasikan daripada motif songket Melayu.

Selain itu, elemen segi tiga pada permukaan menara yang melambangkan kepelbagaian budaya, menjadikan menara ini bukan sahaja megah, tetapi turut menjiwai identiti Malaysia yang berbilang kaum.

Tarikan dan ciri-ciri utama

1. Menara tertinggi di rantau ini

Merdeka 118 mengungguli kedudukan sebagai bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara dan antara tertinggi di dunia. Ini menjadikannya simbol pencapaian negara dalam bidang seni bina dan kejuruteraan moden.

2. Pemandangan 360 darjah Kuala Lumpur

Pelantar tinjauan di puncak menara menawarkan panorama bandar raya Kuala Lumpur yang menakjubkan, termasuk pemandangan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

3. Hotel dan ruang komersial bertaraf dunia

Menara ini turut menempatkan ruang pejabat premium serta hotel mewah dengan fasiliti bertaraf antarabangsa, menjadikannya destinasi utama bagi pelabur, pelancong dan pemain industri global.

4. Pembangunan bersepadu

Projek ini merangkumi pelbagai elemen seperti kawasan hijau, kemudahan rekreasi dan pusat beli-belah. Ia bukan sekadar bangunan pencakar langit, tetapi pusat gaya hidup moden yang menggabungkan sejarah dan kemajuan.

5. Bangunan mesra alam

Merdeka 118 menjadi bangunan pertama di Malaysia yang berjaya meraih tiga akreditasi hijau iaitu Indeks Bangunan Hijau (GBI), GreenRE dan LEED menjadikannya perintis kepada pembangunan mampan di negara ini.

Impak ekonomi dan sosial

Merdeka 118 dijangka memberi impak ekonomi yang signifikan kepada negara. Pembinaannya mencipta ribuan peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, hospitaliti dan pelancongan.

Kehadiran ruang pejabat, hotel dan kawasan perniagaan dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur serta meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitarnya.

Pembinaan Menara Merdeka 118 mencipta ribuan peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, hospitaliti dan pelancongan.

Lebih daripada sekadar bangunan tinggi, Menara Merdeka 118 merupakan mercu tanda nasional yang mencerminkan identiti Malaysia sebagai negara moden, progresif dan berdaya saing di pentas antarabangsa.

Ia menggabungkan warisan sejarah dengan kemajuan teknologi, menjadikannya lambang perpaduan, kemerdekaan dan aspirasi masa depan negara.

Secara peribadi, saya melihat Menara Merdeka 118 bukan hanya sebagai struktur pencakar langit biasa, tetapi sebagai manifestasi perjuangan dan pencapaian negara yang telah menempuh pelbagai cabaran sepanjang sejarah.

Ia menjadi simbol harapan, kebanggaan dan kemajuan untuk generasi kini dan akan datang.

Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya Menara Merdeka 118 bukan sekadar bangunan tertinggi, tetapi lambang cita-cita tinggi sebuah negara yang tidak pernah berhenti membangun dan terus melakar kejayaan di persada dunia.

* Penulis merupakan Pelajar Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Mohammad Alif Ismail

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button