PENDAPATRENCANA

Menyantuni komuniti pekak dalam pelancongan dengan teknologi AR

Oleh MIRZA SYAHIRAH MOHD SHAHARUL ANWAR & DR. SITI SURIANI OTHMAN

TEKNOLOGI Realiti Luasan atau Augmented Reality (AR) kini semakin lazim digunakan dalam aplikasi kehidupan seharian.

Daripada filter di media sosial seperti Instagram dan TikTok hinggalah sistem navigasi seperti Google Maps.

Dengan populariti ini, AR harus dijadikan satu peluang besar dalam memajukan bidang pelancongan.

Hari ini, AR nampaknya sudah mula merapatkan jurang komunikasi khususnya dalam memperkasa komuniti pekak yang sering terpinggir dalam pengalaman pelancongan arus perdana.

Kemodenan arus teknologi membolehkan pelbagai golongan menikmati hasilnya termasuk komuniti pekak.

Di Malaysia, komuniti pekak masih bergelut untuk mendapatkan akses maklumat yang setara dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk pelancongan.

Sebagai golongan minoriti, golongan ini mengharapkan agar masyarakat sama-sama berusaha menyelami dunia komuniti pekak dengan lebih simpati dan empati.

Projek kolaboratif antara Universiti Utara Malaysia (UUM), Jabatan Muzium Negara dan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia dalam memperkenalkan aplikasi AR di Muzium Seni Kedah yang memvisualkan semula detik bersejarah Perang Kedah-Siam adalah contoh bagaimana AR digunakan untuk menghidupkan sejarah dan boleh memanfaatkan golongan pekak.

Hanya dengan mengimbas kod QR, pengunjung boleh mengakses animasi dan teks interaktif melalui enam modul berdurasi dua minit.

Ciri ini bukan sahaja menarik bagi pelawat umum, malah amat praktikal dan bermakna kepada komuniti pekak yang tidak perlu bergantung kepada pemandu pelancong atau penerangan lisan untuk memahami konteks sejarah.

Pengunjung boleh menyaksikan manuskrip digital al-Quran dari Terengganu yang dapat dilihat dengan menggunakan teknologi AR di Galeri Digital Warisan Budaya UMT.

Walau bagaimanapun, realiti semasa masih jauh daripada ideal.

Di kebanyakan destinasi pelancongan, maklumat penting lazimnya disampaikan secara audio atau teks biasa tanpa mempertimbangkan keperluan visual atau isyarat bagi mereka yang tidak dapat mendengar.

Ini bukan sahaja menyekat akses kepada maklumat, malah mewujudkan rasa terpinggir dalam kalangan komuniti pekak yang akhirnya terpaksa bergantung kepada individu lain yang memahami bahasa isyarat.

Mungkin inisiatif yang dilakukan di Barat lebih menunjukkan kecaknaan mereka kepada golongan ini.

Kesatuan Orang Pekak Eropah (The European Union of the Deaf) misalnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan muzium sejarah yang direka bentuk khas untuk komuniti pekak.

Setiap informasi di muzium ini disampaikan melalui bahasa isyarat, manakala pemandu pelancongnya sendiri merupakan individu pekak yang terlatih.

Pendekatan ini bukan sahaja mencipta pengalaman pelancongan yang benar-benar inklusif, malah membuka peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tersebut.

Penggunaan bahasa isyarat melalui program siaran arus perdana juga dilihat meraikan komuniti pekak di Malaysia.

Mereka bukan lagi sekadar pelawat, tetapi menjadi penyumbang utama dalam membina naratif pelancongan yang lebih adil dan menyeluruh.

Langkah seperti ini boleh menjadi pencetus kepada usaha serupa, terutamanya dalam kalangan institusi pendidikan dan agensi pelancongan di Malaysia.

Penawaran kurikulum yang menggabungkan reka bentuk AR dengan prinsip reka bentuk inklusif boleh menjadi titik tolak kepada pelancongan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) yang lebih menyeluruh.

Dengan gabungan kefahaman teknikal dan empati sosial, generasi akan datang mampu membangunkan sistem pelancongan yang benar-benar menyantuni semua.

Selain itu, teknologi AR berpotensi meningkatkan kesedaran awam terhadap keperluan akses maklumat yang inklusif, bukan sahaja untuk komuniti pekak, tetapi juga bagi pelbagai kategori OKU.

Bayangkan destinasi pelancongan yang bukan sahaja indah dipandang, tetapi juga bijak menyampaikan informasi dalam bentuk yang boleh dinikmati oleh semua tanpa mengira batasan komunikasi.

AR bukan sekadar teknologi, tetapi peluang untuk mencipta dunia pelancongan yang lebih inklusif, bermakna dan menyeluruh.

Kita dapat lihat bahawa AR bukan sekadar teknologi, tetapi peluang untuk mencipta dunia pelancongan yang lebih inklusif, bermakna dan menyeluruh.

Dalam usaha merintis masa depan pelancongan yang adil dan terbuka, komuniti pekak wajar diberi tempat sebagai pencipta, penyumbang dan peneraju, bukan sekadar peserta pasif.

Dengan kolaborasi aktif antara agensi pelancongan, NGO, institusi pendidikan dan pembangun teknologi, impian ini bukan sesuatu yang mustahil.

Inilah masanya untuk kita melihat pelancongan bukan hanya sebagai hiburan, tetapi sebagai satu medan pemerkasaan yang sebenar dan dibangunkan untuk semua.

  • Penulis merupakan Pelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan & Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Mirza Syahirah Mohd Shaharul Anwar
Dr. Siti Suriani Othman

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button