
Memorabilia vintaj: Menyelami dunia koleksi bernilai sejarah
DI sebuah rumah yang terletak di Pengkalan Rama, Melaka, Mohd Alyas Husin, 36, menyusun rapi koleksi barang vintajnya dalam sebuah bilik khas yang telah dikumpul sejak lebih sedekad lalu.
Sebagai bapa kepada dua cahaya mata, minatnya terhadap barang-barang lama bukan sekadar hobi, tetapi satu kecintaan yang sukar diketepikan.

Bermula pada tahun 2013 dengan mengumpul pakaian denim, kini dia sudah memiliki hampir 100 koleksi yang merangkumi pelbagai jenis barangan vintaj.
“Saya mula kumpul denim dulu. Dari situ, minat semakin berkembang bila saya mula berkawan dengan pengumpul barang antik.
“Mereka banyak berkongsi ilmu dan pengalaman, buat saya lebih menghargai nilai setiap barang lama yang saya simpan,” katanya kepada Malaysia Tribune sambil menunjukkan beberapa helaian jaket vintaj kesayangannya.

Bermula dengan denim, Mohd Alyas kini memiliki koleksi yang lebih luas.
Antara barangan berharga dalam simpanannya ialah kasut Amny dari Amerika Syarikat, koleksi jaket-jaket vintaj, motosikal RXZ, basikal pedal antik, cermin mata vintaj, perabot antik dan syiling.
Setiap barang yang dikumpul bukan sahaja bernilai dari segi estetik, tetapi juga mempunyai kisah tersendiri.

“Bila kita pegang barang lama, kita boleh bayangkan sejarahnya.
“Mungkin dulu ada orang yang menggunakannya dalam kehidupan seharian dan kini ia menjadi sebahagian daripada koleksi saya,” tambahnya.
Walaupun ramai yang berminat untuk membeli koleksinya, Mohd Alyas tegas dengan pendiriannya untuk tidak menjual.
Baginya, barang-barang itu bukan sekadar objek, tetapi mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

“Saya dapat banyak tawaran, ada yang nak beli dengan harga tinggi.
“Tapi saya tak pernah terfikir nak jual. Ini bukan sekadar koleksi, ia kenangan dan kepuasan bagi saya,” jelasnya.
Baru-baru ini, beliau turut menjadikan koleksi vintajnya sebagai latar belakang sambutan Hari Raya Aidilfitri keluarganya.

“Pada 1 Syawal lalu, saya gunakan backdrop barangan vintaj untuk sesi bergambar.
“Ramai yang suka sebab ia membangkitkan nostalgia,” katanya dengan senyuman.
Minatnya terhadap barang vintaj turut membawanya menyertai komuniti pengumpul seperti My Denim, tempat dia bertukar pandangan dan berkongsi koleksi bersama peminat lain.
“Seronok bila ada komuniti yang sama minat. Kita boleh bertukar cerita, cari barang lama yang rare dan sama-sama hargai nilai seni dalam barang-barang lama ini,” katanya.

Ditanya sama ada pernah berdepan gangguan mistik kerana menyimpan barangan lama, dia hanya menggelengkan kepala.
“Setakat ini memang tak pernah pula ada gangguan. Semuanya dalam keadaan baik-baik saja,” ungkapnya.
Dengan minat yang semakin mendalam dan koleksi yang terus bertambah, Mohd Alyas tidak hanya mengumpul barangan lama, tetapi juga membantu memastikan sejarah dan warisan terus dihargai oleh generasi akan datang.
“Selagi ada minat dan ruang untuk menyimpan, saya akan terus mengumpul,” katanya mengakhiri perbualan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |