AMBERITA SEMASARENCANA

Kuasa sedekah: Niat belanja anak makan durian ditambah rezeki tidak disangka

KUALA LUMPUR – Niat seorang lelaki untuk menghadiahkan durian kepada anak-anaknya bertukar menjadi kisah penuh pengajaran apabila menerima durian percuma daripada pelanggan lain yang tidak dikenalinya.

Kisah berkenaan dikongsi peniaga durian, Fazrul Nizam Angah, yang menganggap kejadian itu sebagai bukti bahawa ‘kuasa sedekah dan niat ikhlas’ mampu membuka pintu rezeki dari arah yang tidak dijangka.

Menurut Fazrul, lelaki yang digelarnya ‘Brader Carhartt’ itu sering dilihat membeli burger di gerai bersebelahan, tetapi sekadar menjeling ke arah gerai duriannya.

“Dia datang hampir setiap hari. Saya perasan beg silang jenama Carhartt yang dia pakai, itu yang saya panggil dia Brader Carhartt.

“Penampilannya kemas dan bersahaja. Tapi setiap kali lalu depan gerai saya, dia hanya senyum dan pandang durian dari jauh,” katanya dalam hantaran di Facebook yang dikongsi lebih 500 kali.

Namun pada hari keempat, lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Legenda itu akhirnya singgah dan menyatakan hasrat untuk membeli durian.

“Dia tanya mana durian terbaik. Saya syorkan D13 atau Golden Bun, RM26 sebiji. Dia sempat berseloroh, katanya baru dapat gaji dan memang niat nak beli durian untuk anak-anak,” ujar Fazrul.

Dalam perbualan singkat itu, Fazrul sempat bertanya lelaki tersebut dari mana dan hendak ke mana perjalanan hariannya.

“Dia kerja di Pasir Gudang. Berulang-alik dengan motosikal setiap hari. Apabila disebut jarak yang agak jauh, dia sekadar bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan.

“Dia kata ramai lagi kawan yang tak ada kerja, jadi dia bersyukur dengan rezekinya walaupun penat,” tambahnya.

Tersentuh dengan kejujuran dan kesederhanaan lelaki itu, Fazrul menghadiahkan seulas durian Udang Merah sebagai jamuan percuma.

Namun yang paling mengejutkan, ketika mereka sedang berbual, sepasang suami isteri yang merupakan pelanggan Fazrul tiba-tiba kembali ke gerai dan menghadiahkan sebiji durian IOI kepada lelaki berkenaan.

“Pasangan itu dah pun masuk kereta, tapi berpatah balik hanya untuk beri durian kepada Brader Carhartt. Dia terkejut, tapi sangat bersyukur. Senyum dia tu ikhlas dan menyentuh hati,” katanya.

Fazrul berkata, kejadian itu menjadi peringatan buat dirinya tentang hikmah memasang niat yang baik di dalam hati.

“Nabi Muhammad SAW pun ada bersabda bahawa harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Bahkan Allah akan angkat darjat orang yang merendah diri dan suka memaafkan.

“Hari itu saya nampak sendiri keajaiban kata-kata itu,” katanya mengakhiri cerita.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button