GAYA HIDUPRENCANA

Konsert dari perspektif psikologi, fitrah manusia cenderung pada hiburan

INSIDEN yang berlaku sewaktu penganjuran sebuah konsert hujung tahun lalu telah mencetuskan perdebatan hangat dalam masyarakat.

Konsert yang sepatutnya menjadi medan hiburan bertukar menjadi tragedi apabila beberapa kes pengambilan bahan terlarang dan isu keselamatan dibangkitkan.

Empat pengunjung iaitu dua lelaki dan dua wanita dilaporkan meninggal dunia akibat pengambilan dadah jenis perangsang.

INSIDEN di sebuah konsert sempena sambutan ambang tahun baru 2025 yang lalu telah menyebabkan empat pengunjung meninggal dunia akibat pengambilan bahan terlarang.

Kejadian ini menimbulkan persoalan mengenai keperluan garis panduan yang lebih ketat dalam penganjuran konsert.

Pegawai Psikologi Kanan dari Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulfikar Ahmad berkata, dari sudut psikologi manusia secara fitrahnya cenderung kepada keseronokan dan hiburan.

“Namun, dalam apa jua aktiviti termasuk konsert, perlu ada garis panduan yang jelas bagi mengawal tindakan individu dalam batas yang ditetapkan.

“Jika sesuatu perkara tidak dikawal selia, manusia boleh bertindak di luar batas, sama ada dalam keseronokan mahupun ketika dilanda kesedihan,” kata Dr. Zulfikar ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Dr Zulfikar Ahmad

Menurut beliau, isu utama yang sering timbul adalah menyalahkan pihak tertentu apabila berlakunya insiden yang tidak diingini dalam penganjuran sesebuah konsert.

“Siapa yang patut dipersalahkan? Pihak yang meluluskan, penganjur atau pengunjung konsert sendiri? Masing-masing akan saling menuding jari.

“Realitinya, manusia hadir ke konsert dengan pelbagai latar belakang dan niat untuk berhibur. Pada tahap itu, kawalan pastinya menjadi lebih sukar,” tambahnya.

Kata beliau lagi, dalam penganjuran sesuatu konsert, langkah keselamatan seperti pemeriksaan badan (body search) pasti dilaksanakan.

Bagaimanapun, insiden yang berlaku tetap menjadi perbincangan hangat, menjadikan ia seperti blaming game di mana pihak-pihak tertentu cuba mengelak tanggungjawab.

“Manusia sepatutnya belajar daripada kesilapan dan tidak sekadar menyalahkan pihak lain tanpa tindakan pencegahan yang lebih baik.

Acara hiburan atau konsert bersifat Islamik seperti nasyid mampu memberi manfaat buat penontonnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa penganjuran konsert tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang sepenuhnya negatif.

“Konsert nasyid, misalnya, boleh memberikan impak positif dalam membentuk motivasi diri dan sahsiah individu. Oleh itu, polisi yang digubal perlu adil dan digunapakai untuk semua jenis konsert,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Zulfikar juga menekankan bahawa hiburan merupakan salah satu elemen dalam kesejahteraan hidup manusia.

Namun, terdapat individu yang menganggap hiburan sebagai satu-satunya keperluan dalam hidup, sehingga sanggup mengambil bahan terlarang untuk menikmati pengalaman yang lebih tinggi dengan menjadi khayal (high).

“Pada peringkat ini, pengawalan dan pendidikan sangat penting. Kita perlu memastikan masyarakat tidak terlalu taksub kepada hiburan hingga mengabaikan keseimbangan dalam kehidupan,” ujarnya.

Selain itu, dalam aspek psikologi, muzik juga digunakan sebagai terapi. Ia salah satu strategi untuk menangani situasi apabila seseorang time out.

Dalam aspek psikologi muzik juga merupakan sejenis terapi untuk meraih ketenangan diri.

Tetapi, beliau menegaskan bahawa strategi yang salah dalam penganjuran konsert boleh membawa kesan negatif kepada mental dan emosi individu.

Sebagai langkah keselamatan, penganjur perlu memastikan garis panduan yang ketat dipatuhi tanpa mengorbankan etika dan tanggungjawab.

“Jika penganjur hanya mengejar keuntungan, ada kecenderungan untuk mereka melanggar peraturan demi keuntungan lebih besar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengunjung konsert pula perlu menjadi penonton yang bijak dan tidak terlalu fanatik hingga kehilangan kawalan diri.

“Dalam sejarah penganjuran konsert di Malaysia, kita pernah menjemput artis antarabangsa seperti Michael Jackson dan kumpulan Metallica.

“Persoalannya, adakah kita sudah cukup bersedia untuk mengawal impak budaya yang dibawa oleh artis luar?” soal beliau.

Penyanyi yang digelar Raja Pop, Michael Jackson pernah berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan konsert di negara ini.

Tambah beliau lagi, jika konsert dikatakan dapat membantu ekonomi, penganjurannya bersifat serampang dua mata yang memberi manfaat kepada semua.

Namun, penganjur perlu ingat bahawa jika mereka mensasarkan keuntungan besar, ada kecenderungan untuk melanggar peraturan.

“Kalau sesuatu itu tidak memberi manfaat, maka tak salah ia dihentikan.

“Tetapi bila ia memberi manfaat tetapi disalahgunakan oleh manusia, ia akan jadi seperti pisau pemotong yang mungkin membahayakan diri,” kata beliau.

Ironinya, keselamatan dalam penganjuran konsert bukan hanya terletak pada pihak berkuasa atau penganjur, tetapi juga pada individu yang menghadiri acara tersebut.

“Kita tidak boleh menafikan keperluan hiburan dalam kehidupan. Islam juga tidak melarangnya.

“Nikmatilah hiburan dalam keadaan pemikiran yang waras. Jika tidak, kesannya akan terpalit kepada semua,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button