BERITA SEMASARENCANA

Khaby Lame ikon TikTok global, pikat hati jutaan pengikut dengan komedi ringkas

TERKENAL dengan komedi ringkas tanpa kata-kata tetapi memaparkan penyelesaian mudah kepada life hacks yang terlalu rumit, Khaby Lame merupakan sensasi media sosial yang menguasai dunia dalam talian.

Bintang TikTok global yang memiliki pengikut paling ramai berjumlah 162.4 juta dan meraih 2.5 billion Likes itu asalnya hanya seorang pekerja kilang di Chivasso, Itali.

Dilahirkan di Senegal, Afrika Barat pada 9 Mac 2000, Khaby pernah digelar Everyman of the Internet oleh gergasi media Amerika Syarikat, The New York Times dek kerana populariti yang dikecapi lelaki berkulit hitam itu.

Khaby menjadi sensasi media sosial dengan mencipta kandungan video parodi yang mempersoalkan kehidupan life hacks yang terlalu rumit.

Pengaruh dan populariti

Pada Januari 2022, Khaby atau nama sebenarnya Khabane Lame telah menandatangani perjanjian jangka panjang dengan jenama fesyen terkenal, Hugo Boss sekali gus menjadi wajah untuk kempen #BeYourOwnBoss syarikat itu.

Kolaborasi itu termasuklah penampilannya dalam iklan dan di pentas peragaan.

Pada tahun yang sama juga, Khaby dilantik sebagai juri filem pendek TikTok sempena Festival Filem Cannes yang menunjukkan pengiktirafan dan bukti pengaruh besarnya di platform tersebut.

Popularitinya menyebabkan Khaby pernah dilantik sebagai juri filem pendek sempena Festival Filem Cannes di Perancis.

Malah, suaranya pernah digunakan menerusi filem Black Panther Wakanda Forever dan membuat cameo dalam filem 2024 iaitu Bad Boys: Ride or Die lakonan Will Smith dan Martin Lawrence yang mencatat kutipan box-office sebanyak AS$404.2 juta (RM1.8 bilion)

Justeru, tidak hairanlah apabila Khaby pernah menerima pengiktirafan dalam senarai Fortune’s 40 Under 40 dan Forbes’ 30 Under 30 pada tahun 2022, serta peranannya sebagai juri dalam rancangan Italia’s Got Talent edisi 2023.

Permulaan karier

Sebelum menempa nama sebagai bintang media sosial terkenal dunia, Khaby menjalani kehidupan yang sederhana sebagai pekerja kilang di Itali.

Namun, apabila pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020, dia kehilangan pekerjaannya sama seperti jutaan penduduk dunia yang lain.

Khaby menjalani kehidupan biasa sebagai seorang pekerja kilang di Itali sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020.

Bagaimanapun, situasi itu tidak mematahkan semangat Khaby, sebaliknya ia menjadi titik perubahan dalam kehidupannya.

Khaby mula memuat naik video di TikTok dengan menggunakan akaun bernama @khaby.lame.

Beliau mencipta kandungan parodi yang mempersoalkan video life hacks yang terlalu rumit.

Dengan ekspresi wajah yang bersahaja dan gerakan tangan yang ikonik, video-videonya berjaya menarik perhatian ramai.

Fenomena media sosial

Keunikan Khaby terletak pada pendekatannya yang universal. Tanpa menggunakan kata-kata, dia berjaya menyampaikan mesej yang boleh difahami oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira bahasa atau budaya.

Kreativiti Khaby dalam menggunakan memek mukanya berhasil menarik perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia.

Hasilnya kini, Khaby menjadi salah seorang pencipta kandungan paling diikuti di dunia.

Inspirasi untuk semua

Apa yang pasti, Khaby adalah contoh bagaimana kegigihan dan kreativiti mampu mengubah nasib seseorang.

Daripada seorang individu yang kehilangan pekerjaan, dia kini menjadi inspirasi global, menunjukkan bahawa kesederhanaan juga boleh membawa kejayaan yang tidak dijangka.

Kisah Khaby mengingatkan kita bahawa dalam menghadapi cabaran hidup, kita harus berani mencuba sesuatu yang baru dan melihat peluang di sebalik kesukaran.

Akaun TikTok Khaby yang kini mempunyai 162.4 juta pengikut serta mencatat 2.5 bilion Likes.

“Saya ingin menunjukkan bahawa anda boleh mencapai sesuatu tanpa perlu bercakap banyak. Hanya menjadi diri sendiri sudah cukup,” ujar Khaby dalam satu temubual.

Kenyataan ini mencerminkan falsafah hidup Khaby yang menekankan kesederhanaan, kejujuran dan menjadi diri sendiri.

Ia juga menyampaikan mesej bahawa komunikasi tidak semestinya bergantung kepada bahasa, tetapi keikhlasan dan kebolehan menyampaikan mesej secara visual.

Keimanan yang teguh

Terbaharu, Khaby telah memuatnaik gambarnya yang memakai ihram di hadapan Kaabah di Tanah Suci Mekah dengan kapsyen yang tertulis:

Khaby memuat naik gambarnya di hadapan Kaabah sebagai tanda syukur di atas segala kurniaan Allah kepadanya.

“Saya hanya ingin mengatakan, Alhamdulillah. Allah telah memberikan segalanya kepada saya – yang paling penting, kekuatan untuk terus maju dan percaya kepada impian saya.

“Saya telah menghadapi banyak dugaan dalam hidup dan ketika segalanya kelihatan mustahil, iman saya membuatkan saya tetap berdiri. Terima kasih, ya Allah, kerana menjadi satu-satunya harapan saya.”

Masya-Allah. Semoga lebih ramai umat Islam terinspirasi dengan semangat juang yang ditunjukkan Khaby, tanpa pernah berputus asa dengan hidup, sebaliknya terus meyakini bantuan Allah pasti ada apabila tiba masanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button