
MUZIUM dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) sekali lagi mencuri tumpuan dengan pelancaran dua pameran istimewa yang bukan sahaja memperlihatkan kekayaan sejarah dan budaya rantau ini malah menyatukan unsur seni, warisan dan identiti serantau dalam satu pengalaman budaya yang menyeluruh.
Pameran Keunggulan Numismatik: Sejarah Tertempa, Warisan Terukir dan Rona & Kata mengangkat naratif yang jarang diketengahkan kepada umum iaitu dari mata wang purba yang menjadi saksi perjalanan tamadun, hinggalah karya seni yang bersulamkan puisi dan sastera.

Kedua-dua pameran ini bukan hanya mengetengahkan artifak atau hasil seni, bahkan ia menawarkan jendela kepada sejarah, identiti dan jalinan budaya yang membentuk ASEAN hari ini.
Pameran ini dianjurkan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor-Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang berlangsung dari 7 hingga 10 April lalu di Kuala Lumpur.
Pada majlis pelancarannya, ia turut diserikan dengan kehadiran 10 Gabenor dari negara-negara ASEAN – simbolik kepada semangat kesatuan serantau yang ingin diraih menerusi budaya dan seni.
Keunggulan Numismatik meneroka perjalanan evolusi mata wang dunia – dari kulit siput gerus yang digunakan seawal 2,000 sebelum masihi, hingga ke wang kertas pertama yang tercatat pada abad ke-7.

Lebih menarik, pengunjung dibawa mengembara ke 18 buah kerajaan purba di Asia Tenggara melalui syiling dan wang kertas, serta diorama ‘Pasar ASEAN’ yang menghidupkan semula suasana pasar-pasar terkenal di rantau ini.
Pameran itu turut menampilkan artifak dan replika langka dari negara-negara ASEAN, serta memperkenalkan peranan penting bank pusat dalam membentuk sistem kewangan dan kestabilan ekonomi setiap negara.
Sementara itu, Rona & Kata mempersembahkan lebih 150 karya seni yang menggabungkan keindahan visual dengan kekuatan kata-kata.
Terbahagi kepada tiga segmen utama – He, the Colour and the Word, Inspired by Words, dan Letters from ASEAN – pameran ini menyatukan puisi, muzik, filem dan ilustrasi, mewujudkan satu pengalaman seni pelbagai dimensi yang menyentuh rasa dan pemikiran.
“Pameran BNM MAG kali ini bukan sekadar pameran biasa, tetapi merupakan gerbang ilmu untuk meraih pemahaman yang mendalam dan bermakna terhadap kisah-kisah serta sejarah yang menyatukan ASEAN menerusi mata wang dan karya seni,” ujar Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli.

Menurut beliau lagi, kedua-dua pameran itu mencerminkan bagaimana budaya mampu merapatkan jurang dan menjadi pemangkin dialog yang berkekalan antara negara-negara serantau.
Bagi memperkayakan pengalaman pengunjung, pameran tersebut turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, sudut bergambar menarik serta cenderahati eksklusif yang diinspirasikan daripada tema pameran – membolehkan pengunjung membawa pulang sebahagian daripada pengalaman budaya yang unik ini.
Pameran berkembar ini dibuka kepada orang ramai dari 10 April hingga 12 Oktober 2025 dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat – daripada pencinta seni dan sejarah, keluarga, hinggalah pengunjung antarabangsa yang ingin mengenali ASEAN dari sudut pandang baharu.

Dalam masa yang sama, Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Library) turut mengadakan pameran Pages of ASEAN di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dari 7 April hingga 30 Mei 2025.
Pameran itu mempersembahkan pelbagai bahan terbitan eksklusif dari seluruh ASEAN serta menawarkan jualan dan ulasan buku dengan kerjasama INCEIF University.
Turut menarik perhatian ialah pameran buku gergasi dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia dan Reruai U-Pustaka – platform perpustakaan digital percuma yang menyediakan e-buku, buku audio dan pelbagai lagi bahan bacaan digital.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari museum.bnm.gov.my atau ikuti BNM MAG di Facebook (@BNM.MAG), Instagram (@bnmmag) dan X (@BNM_MAG).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |