PENDAPATRENCANA

Kesilapan papar bendera tanpa bulan sabit: Antara kecuaian atau pengabaian identiti nasional?

Oleh MUHAMMAD NAIM NAZWAN IBRAHIM

PADA tarikh 15 April 2025, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penerbitan muka hadapan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Bulan sabit merupakan satu simbol penting dalam bendera negara yang melambangkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Kesilapan yang berlaku sempena liputan lawatan Presiden China ke Malaysia itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada kekesalan, kritikan, sehinggalah kepada tuduhan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap negara.

Justeru, ramai yang berpendapat tindakan harus diambil terhadap pengurusan akhbar tersebut sebagai pengajaran buat semua.

Permohonan maaf oleh akhbar Sin Chew Daily dibuat selepas kesilapan mereka menyiarkan bendera tanpa bulan sabit.

Ketiadaan bulan sabit bukan sekadar kecuaian grafik atau kesilapan teknikal semata-mata.

Ia menyentuh nilai simbolik yang sangat mendalam, bukan hanya kepada penganut agama Islam, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menghormati makna di sebalik Jalur Gemilang.

Simbol pada bendera bukan hanya sekadar hiasan tetapi ia adalah manifestasi identiti, sejarah dan prinsip negara.

Bulan sabit pada Jalur Gemilang melambangkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(1).

Bersama bintang pecah 14 yang mewakili perpaduan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan, bulan sabit menjadi antara elemen utama yang membezakan bendera Malaysia daripada bendera lain di dunia.

Ia bukan lambang yang boleh dimanipulasi atau diubah sewenang-wenangnya, apatah lagi dalam penerbitan awam yang mencapai jutaan pembaca.

Ramai pihak tampil mengkritik insiden ini. Pensyarah dan ahli akademik, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan terhadap identiti negara.

Dalam kenyataannya, beliau menegaskan bahawa media tidak boleh memandang remeh aspek simbol kebangsaan dan sebarang penyiaran yang menyimpang daripada bentuk asal perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Begitu juga dengan pandangan Dr. Azizul Azli Ahmad yang melihat kesilapan tersebut sebagai cubaan untuk mengetepikan Islam daripada naratif nasional.

Menurutnya, ia bukan sekadar ‘kesilapan teknikal’ tetapi satu simbol kepada agenda tersirat yang perlu disiasat secara menyeluruh.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kekecewaan terhadap kejadian tersebut.

Baginda menegaskan bahawa simbol negara adalah lambang kedaulatan dan kesatuan rakyat Malaysia yang tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan.

Bendera melambangkan simbol kedaulatan sesebuah negara dan ia perlu dihormati sebaiknya.

Sin Chew Daily segera mengeluarkan permohonan maaf rasmi kepada rakyat Malaysia dan menyatakan bahawa kesilapan berlaku secara tidak disengajakan disebabkan kecuaian teknikal.

Namun begitu, permohonan maaf tersebut tetap menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat.

Hal ini menjadi persoalan, bagaimana sebuah akhbar berpengalaman dan profesional boleh melakukan kesilapan sebesar itu dalam penerbitan utama?

Apakah tiada semakan akhir sebelum penerbitan? Apakah grafik yang memaparkan bendera telah diluluskan tanpa merujuk kepada spesifikasi rasmi bendera negara?

Atau adakah ini mencerminkan sikap sambil lewa terhadap elemen nasional yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam media tempatan?

Isu ini perlu dilihat lebih jauh daripada sekadar satu kesilapan editorial. Ia perlu menjadi pengajaran kepada semua organisasi media dan penerbitan agar lebih berhati-hati dalam memaparkan sebarang simbol kebangsaan.

Kesilapan seumpama ini boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama sekiranya tidak ditangani dengan profesional dan telus.

Media perlu memahami bahawa mereka memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi dan kesedaran nasional.

Mereka bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi juga penjaga kepada nilai dan identiti negara.

Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya dan agama, kita perlu bersatu dalam menjaga dan mempertahankan simbol negara yang telah menjadi lambang perpaduan sejak merdeka.

Bendera bukan sekadar kain yang dikibarkan tetapi ia adalah lambang perjuangan, pengorbanan dan harapan generasi terdahulu dan yang akan datang.

Kita tidak boleh berkompromi dalam hal melibatkan maruah dan kedaulatan negara.

Semoga insiden ini menjadi titik tolak kepada semua pihak, baik media, institusi pendidikan mahupun rakyat biasa supaya lebih menghargai dan memelihara simbol-simbol kebangsaan dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab.

* Penulis merupakan pelajar Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Muhammad Naim Nazwan

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button