
Keperluan koordinasi dalam agihan makanan kepada gelandangan – Pertiwi
DI sebalik kemegahan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang pesat membangun, masih terdapat segelintir individu yang terpaksa menghabiskan malam mereka di kaki lima dan lorong-lorong sepi.
Gelandangan di kota raya bukan sekadar kisah tentang kemiskinan tetapi juga tentang harapan, perjuangan dan sistem sokongan yang cuba membantu mereka keluar daripada kancah kehidupan jalanan.

Dalam menghadapi realiti ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting dalam memastikan mereka tidak terpinggir daripada mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan sokongan sosial.
Naib Yang Dipertua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), Laili Ismail menekankan kepentingan koordinasi dalam agihan makanan kepada gelandangan secara berpusat bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan.

“Untuk makluman, kami di Pertiwi Soup Kitchen beroperasi mengagihkan makanan kepada gelandangan sepanjang tahun kecuali pada hari Selasa. Kami ada tukang masak sendiri yang menyediakan makanan tersebut.
“Agihan makanan ini merangkumi makan tengah hari, makan malam dan supper. Bagi menyediakan kesemua keperluan ini, kosnya mencecah RM70,000 sebulan di mana sumber kewangan datang daripada syarikat penaja dan penderma individu.

“Bagaimanapun, masih ada individu atau kumpulan lain yang memberi makanan secara rawak, menyebabkan sesetengah gelandangan melihatnya sebagai pesta tanpa kawalan,” jelas Laili kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, masalah agihan makanan yang tidak terkawal kepada gelandangan oleh individu atau organisasi tanpa koordinasi dengan NGO yang sudah lama beroperasi akan memburukkan keadaan dan persekitaran.
“Kami tidak mahu berebut dan akhirnya melakukan pembaziran. Oleh itu, kami cuba menyelaraskan bantuan agar lebih berkesan.

“Harus diingat, koordinasi sangat penting dalam situasi ini sekali gus mampu mengatasi masalah pembaziran ketika mengagihkan makanan kepada gelandangan,” tambahnya.
Bagi memastikan agihan lebih tersusun, Pertiwi turut bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa NGO berdaftar yang lain.
Namun, terdapat juga NGO yang terpaksa menarik diri akibat kekangan dana, menjadikan koordinasi antara badan-badan bantuan semakin kritikal.

“Nasihat saya kepada masyarakat dan orang ramai yang ingin menyumbang kepada gelandangan, sebaiknya mereka boleh berhubung dengan pihak DBKL dan NGO yang terlibat bagi mengelakkan pertindihan agihan makanan atau pembaziran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Laili mengakui walaupun jumlah gelandangan di jalanan semakin berkurangan hasil inisiatif DBKL dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyediakan tempat tinggal untuk mereka, masih terdapat individu yang memilih untuk kekal di jalanan.
“Ini juga cabaran bagi kami untuk mendidik mereka agar memikirkan masa depan terutamanya buat yang telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.

“Justeru, Pertiwi bukan hanya menumpukan kepada gelandangan tetapi juga memberi pendidikan kepada anak-anak B40 dan anak gelandangan di sekitar ibu kota,” katanya lagi.
Malah, beliau turut menjelaskan bahawa cabaran utama bukanlah disiplin gelandangan tetapi latar belakang mereka yang pelbagai.
“Ramai golongan muda menjadi gelandangan, jadi kami adakan klinik kesihatan mental setiap bulan bagi memahami masalah mereka dan membantu mereka keluar daripada kehidupan ini,” kongsi beliau.
Sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, Pertiwi juga akan menyediakan iftar, moreh dan sahur selain menambah bantuan makanan kepada keluarga yang tinggal di rumah sendiri.

“Kami sudah ada penaja utama tetapi penderma boleh menambah sumbangan dalam bentuk makanan tambahan seperti buah, sate atau juga makanan kering seperti beras, tepung, minyak dan sebagainya,” katanya.
Sebelum mengakhiri pertemuan, Laili sangat berharap masyarakat lebih peka dalam menyumbang dan menyalurkan bantuan menerusi saluran yang betul bagi memastikan setiap gelandangan mendapat bantuan yang sewajarnya.
Sementara itu, menurut kenyataan dari Jabatan Wilayah Persekutuan, kebajikan golongan gelandangan sentiasa dipelihara khususnya melalui agihan makanan di pusat-pusat penempatan sementara gelandangan dengan kerjasama NGO yang berdaftar seperti PERTIWI.

Sehingga kini, sebanyak 10 NGO berkolaborasi dengan DBKL bagi tujuan agihan makanan dan bantuan di Pusat Khidmat Gelandangan (PKG) Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti (PPK) Chow Kit.
Manakala sejumlah 16 NGO menjadi rakan kolaborasi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi agihan makanan dan bantuan di Anjung Kembara.
Dalam usaha membina sebuah masyarakat yang lebih prihatin, kerjasama antara NGO, pihak berkuasa dan individu perlu terus diperkukuh agar bantuan dapat diberikan secara lebih efektif dan bermakna.
Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun RHB Pertiwi 21403510201591.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |