
Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR & PROF MADYA DR. NURULIZA ROSLAN
MALAYSIA telah beberapa kali dilantik sebagai Pengerusi ASEAN sejak pertubuhan itu dibentuk pada tahun 1967.
Sebagai salah satu negara pengasas ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk dasar dan hala tuju kerjasama serantau.
Kali pertama Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN adalah pada tahun 1977 iaitu 10 tahun selepas ASEAN ditubuhkan.
Ketika itu, Malaysia membantu memperkukuh hubungan diplomatik antara negara anggota dan merangka dasar perdagangan serta keselamatan serantau.

Pada tahun 1997, Malaysia sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi ASEAN sempena ulang tahun ke-30 ASEAN.
Dalam tempoh tersebut, Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur dan mengukuhkan kerjasama ekonomi dalam menghadapi Krisis Kewangan Asia.
Sewaktu rantau ini berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi, Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan pasaran serantau serta mempromosikan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara negara anggota.
Pada tahun 2005, Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN buat kali ketiga dan memperkenalkan konsep East Asia Summit (EAS) yang melibatkan negara-negara seperti China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.
Inisiatif berkenaan bertujuan memperluaskan kerjasama serantau dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, keselamatan dan pembangunan ekonomi.
Langkah itu berjaya memperkukuhkan kedudukan ASEAN sebagai blok serantau yang berdaya saing dan relevan dalam arena global.
Tahun 2015 menyaksikan Malaysia sekali lagi menjadi Pengerusi ASEAN dengan menggagaskan inisiatif Komuniti ASEAN 2015.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan integrasi ekonomi, politik dan sosial dalam kalangan negara anggota untuk menjadikan ASEAN sebagai satu entiti yang lebih bersatu dan berdaya saing.

Malaysia memainkan peranan utama dalam merangka hala tuju ASEAN ke arah merealisasikan visi ini sekali gus memberi impak kepada pembangunan sumber manusia dan peluang pekerjaan di rantau ini.
Tahun 2025, Malaysia sekali lagi diberi mandat untuk menjadi Pengerusi ASEAN.
Kepengerusian ini menjadi satu harapan kepada rakyat Malaysia sendiri dalam usaha memperkukuhkan lagi peranan negara dalam membentuk dasar serantau yang lebih progresif terutamanya dalam aspek ekonomi digital dan kestabilan geopolitik.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk dasar dan hala tuju kerjasama serantau termasuk dalam aspek pembangunan sumber manusia.
Kedudukan ini memberikan impak besar kepada sektor pekerjaan, ekonomi dan sosial di dalam negara.
Dengan tumpuan terhadap integrasi serantau, kepengerusian ini membuka peluang luas bagi tenaga kerja tempatan tetapi pada masa yang sama menimbulkan cabaran yang perlu diatasi.
Salah satu kesan ketara ialah peningkatan daya saing tenaga kerja Malaysia. Dengan hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih erat antara negara ASEAN, permintaan terhadap tenaga kerja mahir meningkat.
Sektor seperti teknologi digital, kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan halal dijangka berkembang pesat.
Statistik daripada Bank Dunia menunjukkan bahawa pada tahun 2023, hampir 60 peratus daripada tenaga kerja ASEAN bekerja dalam sektor perkhidmatan dan trend ini dijangka terus meningkat.

Namun, cabaran utama adalah memastikan rakyat Malaysia mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja serantau yang semakin kompleks.
Selain itu, isu penghijrahan tenaga kerja juga menjadi perhatian. Malaysia bukan sahaja menjadi destinasi pilihan pekerja asing, tetapi juga mengalami penghijrahan tenaga mahir ke negara lain.
Laporan oleh TalentCorp pada 2022 mendapati lebih 500,000 rakyat Malaysia bekerja di luar negara, terutamanya dalam sektor teknologi dan kewangan.
Jika tidak ditangani dengan baik, fenomena ini boleh menjejaskan pembangunan sumber manusia domestik dan mengurangkan daya saing negara.
Dalam aspek sosial, Kepengerusian Malaysia di ASEAN turut membawa impak kepada mobiliti pekerja dan integrasi budaya.
Polisi yang lebih terbuka terhadap pekerja asing boleh meningkatkan kepelbagaian tenaga kerja dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Namun, ia juga menimbulkan cabaran dari segi kebajikan pekerja, kestabilan sosial dan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Oleh itu, dasar yang seimbang diperlukan bagi memastikan manfaat ini dinikmati secara inklusif.
Prospek masa depan bergantung kepada sejauh mana Malaysia dapat memanfaatkan kepengerusiannya untuk memperkukuh sistem pendidikan dan latihan kemahiran.
Pakar ekonomi seperti Profesor Jomo Kwame Sundaram, menekankan kepentingan pendidikan berkualiti tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dalam ekonomi digital.
Dengan inisiatif yang tepat, Malaysia bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing pekerja domestik tetapi juga menjadi hab sumber manusia bagi rantau ASEAN.
Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berpeluang untuk memperkasa tenaga kerja tempatan melalui dasar yang progresif dan inklusif.
Walaupun terdapat cabaran dari segi kesenjangan (ketidakseimbangan) kemahiran, penghijrahan tenaga kerja dan keseimbangan sosial dengan perancangan yang teliti, Malaysia mampu menjadikan kepengerusian ini sebagai batu loncatan untuk pembangunan sumber manusia yang mampan.


* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan & Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.
Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malaysia Tribune
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |