PENDAPATRENCANA

Kemurungan selepas SPM: Jangan terperangkap jerat emosi

PENCAPAIAN dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering dianggap sebagai penentu penting dalam fasa permulaan kehidupan seorang remaja malah diumpamakan sebagai ‘tiket’ kepada masa depan yang cerah.

Namun selepas tamatnya peperiksaan, ramai pelajar mula berdepan dengan satu fasa kehidupan yang baru. Fasa ini merupakan satu transisi daripada alam persekolahan yang disebut sebagai ‘penantian’.

Dalam fasa ini, mereka menantikan keputusan peperiksaan. Ada antara mereka yang mengalami kerisauan apabila memikirkan keputusan SPM yang bakal keluar sambil dihimpit ketidakpastian tentang hala tuju masa hadapan. Situasi ini bertambah buruk apabila keputusan peperiksaan yang keluar tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Saban tahun, hampir setengah juta pelajar di Malaysia menduduki peperiksaan SPM. Pada tahun 2024, seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.  Daripada jumlah ini pula, sebanyak 98.2 peratus calon telah hadir menduduki SPM 2024 berbanding 97.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Selain jumlah pelajar yang menduduki SPM semakin bertambah, rakyat juga dikejutkan dengan prestasi cemerlang keputusan SPM 2024 di mana SPM 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49, berbanding 4.60 pada 2023.

Analisis keputusan SPM 2024 menunjukkan bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2024 meningkat kepada 14,179 atau 3.7 peratus, berbanding 11,713 calon pada 2023.

Kemurungan selepas SPM bukanlah sekadar rasa bosan atau kehilangan arah semata-mata. Ia merupakan satu keadaan psikologi yang boleh melibatkan perubahan emosi secara berterusan seperti rasa sedih, murung, hilang minat terhadap aktiviti harian, sukar tidur, kehilangan selera makan, rasa tidak berguna dan dalam kes lebih serius, membawa kepada pemikiran untuk mencederakan diri sendiri dan tingkah laku bunuh diri.

Apa yang membimbangkan, ramai remaja tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami kemurungan, atau memilih untuk mendiamkan diri kerana takut dilabel sebagai “lemah” atau “tidak bersyukur”.

Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong kepada kemurungan dalam kalangan pelajar selepas SPM. Antaranya ialah tekanan sosial dan keluarga, terutamanya jika mereka merasakan harapan ibu bapa terlalu tinggi atau sering dibandingkan dengan rakan sebaya.

Ketidakpastian masa depan turut menyumbang, terutama jika pelajar tidak pasti sama ada mereka akan dapat menyambung pengajian, memilih kursus yang sesuai atau mencapai keputusan yang diharapkan.

Selain itu, identiti diri yang masih belum terbina dengan kukuh pada usia remaja juga menyukarkan mereka mengurus tekanan hidup. Tambahan itu, perkembangan era digital masa kini di platform seperti Instagram dan TikTok turut menjadi faktor penyumbang kepada wujudnya isu ini.

Pengaruh media sosial yang berupaya untuk mem’viral’kan apa sahaja isu termasuklah kejayaan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang boleh menimbulkan perbandingan diri mereka dengan kejayaan atau gaya hidup rakan lain yang seterusnya membuatkan pelajar dengan keputusan peperiksaan yang tidak cemerlang berasa rendah diri, tertekan dan seterusnya membawa kepada kemurungan.

Walaupun kemurungan ini kelihatan menakutkan, namun sekiranya dihadapi dengan tenang dan bijak, pelajar dapat melangkah keluar daripada belenggu ini. Terdapat beberapa strategi daya tindak yang boleh membantu pelajar mengurangkan tekanan emosi dan menangani kemurungan dengan lebih berkesan.

Langkah pertama adalah dengan mengenali dan mengakui emosi yang dirasai. Pelajar harus diberi ruang untuk menerima bahawa rasa sedih, cemas, atau bimbang adalah perkara biasa.

Penulisan jurnal harian boleh menjadi salah satu cara untuk meluahkan emosi yang terbuku di hati. Di samping itu, penting bagi pelajar membina rutin harian yang seimbang.

Aktiviti seperti menyertai kelas jangka pendek, melakukan kerja sambilan, bersenam atau menjadi sukarelawan dapat membantu mengisi masa lapang dengan cara yang lebih bermakna.

Sokongan sosial juga memainkan peranan penting dalam pemulihan emosi. Pelajar digalakkan untuk berkomunikasi dengan rakan atau ahli keluarga yang boleh dipercayai. Mengasingkan diri hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Mereka juga perlu belajar untuk mengawal penggunaan media sosial agar tidak terperangkap dalam kitaran perbandingan yang memudaratkan. Paling penting, pelajar harus sedar bahawa meminta bantuan profesional bukanlah satu kelemahan.

Terdapat banyak perkhidmatan kaunseling dan sokongan emosi yang boleh diakses secara percuma seperti Talian Kasih 15999 atau Befrienders.
Kesimpulannya, kemurungan selepas SPM adalah satu isu kesihatan mental yang wajar diberi perhatian serius dan tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak termasuklah diri pelajar itu sendiri, ibu bapa, guru dan masyarakat umumnya.

Ia bukan sahaja berkait dengan tekanan peperiksaan, tetapi juga melibatkan pembentukan jati diri dan masa depan belia remaja di Malaysia. Dengan sokongan, kesedaran dan kefahaman yang mendalam oleh semua pihak, remaja dapat melalui fasa ini dengan lebih kuat, yakin dan sejahtera.

Pepatah Inggeris ada menyatakan ‘Kegagalan bukanlah pengakhiran dan kejayaan pula tidak berpenghujung’. Tamatnya SPM bukanlah penamat kehidupan, sebaliknya ia merupakan permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar dan bermakna.

 

Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz

Penulis: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button