PENDAPATRENCANA

Kemarahan terpilih Nadeswaran: Apabila fakta dibunuh demi persepsi

Retorik kosong, logik songsang dan hipokrasi politik bertopengkan kebebasan media

R Nadeswaran dalam kolum terkininya bertajuk “Azam’s blotted past does not warrant an extension” sekali lagi memperlihatkan gaya penulisan yang tidak bersandar kepada fakta sahih tetapi lebih kepada bayangan persepsi dan sentimen yang telah lama dijawab — dan ditolak oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Tulisan ini bukanlah kupasan kritikal. Ia adalah serangan bersifat peribadi yang disulam dengan naratif politik lama, bertujuan untuk membina kemarahan, bukan kebenaran.

Petikan artikel tulisan oleh R Nadeswaran di Malaysiakini baru-baru ini.

Mari kita bongkar satu persatu.

1. Fakta diperlekeh, persepsi dimuliakan

Nades sengaja mengelirukan pembaca dengan memetik kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC) seolah-olah menyokong teori konspirasinya. Hakikatnya, SC telah menyiasat dan menyatakan secara jelas bahawa tiada pelanggaran undang-undang oleh Tan Sri Azam Baki.

Pengendalian akaun dagangan saham oleh penjawat awam bukanlah jenayah — selagi tidak melanggar undang-undang pasaran modal.

SC mengesahkan Azam mengendali akaun tersebut, tetapi tidak mendapati sebarang kesalahan dari segi perundangan.

Namun bagi Nades, keputusan badan penguat kuasa bukanlah penentu. Yang penting ialah “rasa tidak puas hati” — walaupun tiada asas undang-undang.

2. “Akaun adik saya” dijadikan lawak murahan

Satu-satunya modal Nades ialah menyindir penjelasan bahawa akaun tersebut turut digunakan oleh adik Azam. Beliau menjadikan isu ini seolah-olah satu ‘skandal nasional’ — padahal tiada pertuduhan, tiada sabitan dan tiada kes yang dibawa ke mahkamah.

Lebih ironik, Nades juga tidak menyentuh bagaimana ramai pemimpin pembangkang suatu ketika dahulu juga memberikan penjelasan jauh lebih meragukan, tetapi tidak pernah menerima cemuhan daripadanya.

3. Di mana suara kamu ketika Tommy Thomas mengaku campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim?

Inilah hipokrasi yang paling ketara. Tommy Thomas dalam memoirnya secara terbuka mengakui bahawa pelantikan Tan Sri Richard Malanjum dan Tun Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara tidak melalui proses Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) — suatu pelanggaran yang lebih nyata terhadap peraturan sedia ada.

Tetapi Nades membisu. Tiada artikel pedas. Tiada retorik kononnya “tainted hands”. Mengapa diam? Kerana ia tidak selari dengan naratif politik yang mahu dipromosikan.

4. Logik songsang: “Kerana namanya tercemar, maka dia bersalah”

Menurut Nades, Azam harus berundur bukan kerana melanggar undang-undang, tetapi kerana namanya “telah tercemar”. Ini satu prinsip undang-undang rimba — hukum dahulu, siasat kemudian.

Jika prinsip ini digunakan secara menyeluruh, maka separuh daripada pemimpin politik negara — termasuk yang pernah diangkat oleh Nades — harus disingkirkan serta-merta.

5. Rekod prestasi diabaikan, naratif negatif diperbesarkan

Di bawah kepimpinan Azam, SPRM telah:

a. Menyiasat dan mendakwa pelbagai penjawat awam kanan;

b. Menyentuh tokoh-tokoh politik berprofil tinggi;

c. Mendedahkan RM177 juta wang tunai dalam penyiasatan terbaru.

Adakah ini tanda seorang yang “tidak layak” memimpin agensi pencegahan rasuah? Atau adakah ia petunjuk bahawa beliau berani menyentuh sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan parti — sesuatu yang tidak disukai oleh sesetengah pihak?

6. Kritik bukan masalah – Tapi biarlah jujur dan konsisten

Kritikan adalah perlu dalam demokrasi. Tetapi ia mesti jujur, konsisten dan berlandaskan fakta. Apa yang ditulis oleh Nades kali ini adalah satu naratif lama yang telah dijawab, dibersihkan melalui saluran sah, tetapi diulang semula untuk tujuan politik murahan.

Tan Sri Azam Baki telah melalui penyiasatan, diberikan keadilan prosedur dan bebas daripada pertuduhan.

Jika Nades benar-benar prihatin terhadap integriti institusi, beliau seharusnya turut bersuara terhadap pelanggaran prinsip yang berlaku di semua pihak — termasuk yang dilakukan oleh pihak yang dahulu disanjungnya.

Tetapi beliau tidak. Dan itulah puncak hipokrasi!!!

Azikry Yahaya
Ampang, Selangor

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button