BERITA SEMASARENCANA

Kebersihan, disiplin asas pengagihan makanan berkesan kepada gelandangan

SELAIN menjadi waktu yang baik untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, Ramadan juga menjadi peluang bagi banyak NGO untuk menyediakan makanan dan bantuan kepada golongan gelandangan.

Namun, dalam usaha ini, aspek kebersihan perlu diberi perhatian serius untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan golongan gelandangan terjaga.

Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Azhan Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe berkata, kebersihan adalah faktor yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya ketika menyediakan dan mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan.

Beliau berkata, antara punca berlakunya pencemaran sampah selepas proses pengagihan makanan adalah disiplin golongan gelandangan yang kurang terkawal.

“Dia teratur sebab kita yang mendisiplinkan mereka. Ada juga yang datang secara individu pada mulanya, seperti yang saya perhatikan, NGO yang memberi makan perlu ada kawalan, sebab jika tidak, mereka tidak dapat mendisiplinkan orang (gelandangan) dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Tribune selepas beliau selesai mengagihkan makanan kepada golongan asnaf dan gelandangan di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menetapkan panduan untuk pengagihan makanan kepada gelandangan dan golongan yang memerlukan.

Antara cadangan utama adalah kerjasama antara badan kebajikan berdaftar dan penggunaan pusat pengagihan khas untuk memastikan proses lebih teratur dan kebersihan terjamin.

Golongan asnaf dan gelandangan mengambil makanan yang disediakan oleh Pertubuhan Jejak Jalanan di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur. – Foto Hafiz/Malaysia Tribune

Ditanya mengenai inisiatif pengagihan makanan daripada pihaknya, Azhan berkata, pihaknya telah menjalankan program amal itu sejak lima tahun lalu, yang telah memberi manfaat kepada lebih daripada lima ribu orang.

Selain daripada pemberian makanan, Azhan berkata, pihaknya juga turut berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak, serta terawih berjemaah bersama golongan tersebut di kawasan yang telah didirikan khemah.

Dalam pada itu, Azhan turut menasihatkan NGO di luar sana yang ingin memberi bantuan makanan agar membawa perkakasan yang secukupnya, seperti plastik sampah, untuk memastikan kebersihan terjaga.

“Saya setiap kali saya agih makanan saya akan bawa banyak plastik sampah, sebab itu saya mohon NGO yang ingin memberi makan untuk bawa plastik sampah. Begitu juga dengan individu, bawa plastik sampah. Bila kita bagi makanan, kita perlu jaga kebersihan.

“Setiap kali saya turun, bila nampak sampah, saya segera kutip dan pastikan semuanya bersih. Kami juga ada bahagian pembersihan untuk memastikan kawasan itu terjaga,” ujarnya.

Ringkasnya, NGO yang memberi makanan kepada golongan gelandangan perlu memastikan bahawa aspek kebersihan tidak diabaikan bagi memastikan kesihatan golongan gelandangan tidak terancam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button