GAYA HIDUPRENCANA

Kebebasan bersuara di media sosial: Antara hak dan tanggungjawab

DALAM era digital yang kian berkembang, media sosial menjadi platform utama untuk menyuarakan pendapat dan berkongsi maklumat.

Kebebasan bersuara di media sosial sering dianggap sebagai hak asasi, namun ia perlu diimbangi dengan tanggungjawab.

Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor menegaskan bahawa kebebasan bersuara di media sosial adalah elemen penting dalam demokrasi digital, namun ia tidak boleh disalahgunakan tanpa batasan.

Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor

Katanya, kebebasan itu sering disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu dan kebencian, terutama berkaitan isu sensitif seperti agama, bangsa, dan politik.

Beliau menekankan bahawa kebebasan bersuara di media sosial perlu ada kawalan melalui undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan.

“Walaupun media sosial memberi ruang untuk perbincangan, ia masih memerlukan mekanisme kawalan untuk mencegah penyebaran fitnah dan gangguan keharmonian sosial.

Kerajaan mengutamakan hak kebebasan bersuara namun semua pihak perlu diingat agar tidak menggugat keharmonian negara.

“Dalam perspektif Islam, kebebasan bersuara juga perlu disertai dengan tanggungjawab, mengutamakan kebenaran dan melarang penyebaran fitnah,” katanya.

Tambah beliau, Al-Quran menekankan peri pentingnya untuk menyelidik sesuatu kebenaran berita sebelum mempercayainya.

Salah satu kebimbangan yang turut dibangkitkan Dr. Khairunneezam adalah isu buli siber yang semakin meningkat di Malaysia.

Menurut kajian Microsoft Global Youth Online Behaviour Survey 2012, Malaysia menduduki tempat ke-17 dalam isu buli siber. Pada tahun 2020, Malaysia berada di tempat kedua di rantau Asia untuk kes buli siber.

Buli siber sering dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik alam maya.

Dr. Khairunneezam menyatakan bahawa hal itu berlaku kerana sesetengah individu merasakan diri mereka terlindung di sebalik identiti mereka di media sosial, membolehkan mereka melakukan buli dan perbuatan negatif tanpa takut dikenakan tindakan.

Justeru katanya, kerajaan perlu mengambil langkah penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat untuk menangani penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian di media sosial.

Selain itu beliau juga menegaskan kesan negatif media sosial terhadap hubungan kekeluargaan.

Dr. Khairunneezam memetik kajian oleh Sherry Turkle dalam bukunya Alone Together (2019) yang menyatakan bahawa media sosial boleh merenggangkan hubungan keluarga kerana ia menggantikan komunikasi bersemuka dengan interaksi digital.

Penggunaan gajet masa kini boleh menyebabkan kurangnya interaksi antara ahli keluarga dan rakan-rakan apabila bersemuka.

“Manakan tidak, komunikasi interpersonal tidak berlaku dengan aktif. Di meja makan pun, duduk bersama-sama, tapi masing-masing menyuap makanan dengan tumpuan pada gajet masing-masing juga,” katanya.

Sedangkan ujar beliau, dalam masyarakat moden, kebebasan bersuara juga boleh menyebabkan konflik dalam keluarga, terutamanya apabila terdapat perbezaan pandangan dalam isu politik, agama, atau sosial.

Walaupun perbincangan isu sensitif di media sosial boleh memberi perspektif berbeza, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.

Menyedari perkara itu, Kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan perundangan seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan untuk mengatasi kesalahan dalam media sosial, termasuk penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian.

Kebebasan bersuara bukan alasan untuk melakukan pembohongan di media sosial.

Selain itu, pindaan terhadap Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 turut meletakkan tanggungjawab terhadap platform media sosial untuk menguruskan kandungan yang melanggar undang-undang.

Mulai 1 Januari 2025, platform media sosial akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengawasi kandungan berbahaya dan menyalahi undang-undang.

Kerangka kawal selia ini bertujuan memastikan platform media sosial beroperasi dengan lebih bertanggungjawab dan berintegriti.

Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang dalam kebebasan bersuara tidak hanya bersifat menghukum, tetapi juga mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab.

Pengguna perlu faham had dan tanggungjawab dalam menggunakan media sosial agar tidak menyebarkan kebencian, pembohongan atau pembulian.

Pendidikan digital dan literasi media juga perlu ditingkatkan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memastikan mereka memahami had dan tanggungjawab dalam menggunakan media sosial.

Dr. Khairunneezam mengingatkan bahawa peranan pemerintah dalam memastikan keadilan dan mencegah kerosakan sosial adalah penting.

Ini sesuai dengan ajaran Islam yang menekankan kepentingan amanah dalam kepimpinan, termasuk dalam mengawal selia media sosial, seperti yang ditegaskan dalam Surah An-Nisa ayat 58.

Secara keseluruhannya, kebebasan bersuara di media sosial harus digunakan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab untuk mengelakkan perpecahan dan membina masyarakat yang lebih harmoni dan berilmu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button