
Isu gelandangan: YKN perkasa koordinasi agihan bantuan
BAYANGKAN hidup tanpa tempat berteduh, tanpa jaminan makanan dan hala tuju yang jelas. Inilah realiti yang dihadapi oleh ribuan gelandangan di Malaysia, terutama di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur.
Namun, di sebalik cabaran ini, pelbagai pihak tampil membantu termasuk Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang memainkan peranan penting dalam menyusun inisiatif bagi menangani isu tersebut secara sistematik dan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, YKN telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Anjung Singgah pada tahun 2011.
“Projek ini dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menyediakan perlindungan sementara kepada golongan gelandangan.
“Kemudian, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menangani isu ini, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) telah diwujudkan pada tahun 2016 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.
“YKN memainkan peranan utama sebagai koordinator dalam menguruskan pusat transit ini, memastikan bantuan dan perkhidmatan yang diberikan lebih sistematik dan menyeluruh,” kata Nordina ketika ditemui Malaysia Tribune hari ini.

Menurut beliau lagi, konsep yang digunakan dalam PTGKL adalah lebih mesra dan berhalangan rendah (low barrier), menjadikannya lebih mudah diakses oleh golongan gelandangan.
“Antara fokus utama YKN adalah memastikan tiada pembaziran makanan berlaku di bandar raya Kuala Lumpur.
“Keinginan masyarakat untuk bersedekah amat tinggi, terutama pada bulan Ramadan. Namun, jika agihan tidak disusun dengan baik, makanan sering dibiarkan di kaki lima, mengakibatkan pembaziran serta peningkatan kos pembersihan oleh DBKL,” jelasnya.
Bagi mengatasi masalah itu, YKN bekerjasama dengan DBKL dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam menyelaras agihan makanan.
Mereka mengatur jadual agihan berdasarkan sumbangan daripada NGO, syarikat korporat dan orang awam.
Makanan yang diterima kemudian dihantar ke PTGKL dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku yang diuruskan oleh DBKL.

“Pendekatan ini membolehkan sumbangan lebih bersasar dan efisien, mengelakkan lebihan makanan serta memastikan gelandangan mendapat bantuan yang mencukupi.
“Selain itu, pusat transit dan pusat khidmat gelandangan ini turut berperanan dalam membantu golongan gelandangan mendapatkan pekerjaan.
“Bila ada premis di pusat sebegini, bantuan dapat kita berikan secara lebih holistik. Contohnya bila NGO atau syarikat korporat datang, mereka bukan sekadar beri makanan tetapi juga sumbangan tunai. Begitu juga pusat zakat yang akan memberi sumbangan yang bersesuaian dengan keperluan gelandangan,” ujar beliau.
Di samping itu, YKN turut bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja, PERKESO dan syarikat yang berdaftar bagi mencarikan pekerjaan yang sesuai untuk gelandangan.
“Biasanya kami akan mengadakan sesi kaunseling bersama mereka. Jika terdapat gelandangan yang boleh dikembalikan ke kampung halaman, YKN akan membantu memenuhi keperluan mereka dengan bantuan yang sewajarnya.

“Tak ada gunanya mereka datang ke bandar raya jika tiada kerja, tiada keluarga dan hanya duduk di jalanan sedangkan mereka masih ada keluarga di kampung halaman,” tegasnya.
Dalam pada itu, Nordina turut menzahirkan penghargaan kepada NGO dan rakan korporat yang telah menyumbang sejak awal projek bantuan kepada gelandangan ini dilaksanakan.
“NGO seperti Pertiwi Soup Kitchen, Food4U dan Eliana Charity Group serta banyak lagi yang setia bersama kami.
“Dan untuk pengetahuan, sehingga kini tidak pernah lagi bantuan agihan makanan kepada gelandangan terputus walaupun sehari.
“Semua NGO ini menggunakan hasil kutipan mereka sendiri termasuk sumbangan daripada pihak korporat dan orang ramai. Malah, tiada peruntukan kerajaan yang digunakan mereka bagi tujuan ini.

“Jadi, keikhlasan mereka dalam membantu golongan gelandangan sukar diukur dan dibalas,” ungkapnya.
Justeru, Nordina turut menyeru masyarakat di luar sana jika ingin membantu dan menyumbang, lakukannya mengikut saluran yang betul melalui NGO-NGO yang berdaftar dengan YKN, DBKL dan pihak berkuasa.
“Apa yang pasti, usaha menyelesaikan isu golongan gelandangan ini memerlukan penglibatan ramai pihak dan pendekatan bersifat holistik.
“Secara tidak langsung, ia akan dapat membantu menjadikan bandar raya kita bersih, selamat dan tidak ada gelandangan yang meningkat setiap tahun,” katanya mengakhiri bicara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |