RENCANA

Isteri sebak kongsi memori berniaga semperit bersama arwah suami

PEMERGIAN suami akibat kemalangan jalan raya di Kuala Kangsar, Perak pada 4 Disember 2023 membuatkan Norlilawati Mohd Shah seolah-olah kehilangan separuh nyawanya.

Apatah lagi kejadian tragis itu berlaku ketika dia dan arwah suaminya, Khairil Anuwar Mustakim, 40, dalam perjalanan pulang ke Rembau, Negeri Sembilan selepas mengikuti konvoi motosikal berkuasa tinggi ke Hatyai, Thailand.

Status Facebook Allahyarham Khairil Anuwar mengenai konvoi motosikal berkuasa tinggi yang dimuat naik ketika mereka mahu pulang ke Malaysia pada hari kejadian yang meragut nyawanya.

“Semuanya berlaku sekelip mata. Satu saat saja bila saya nampak kereta melintang di hadapan. Ya Allah, nak buat apa ni? Itu yang saya fikir sebelum tercampak dari motosikal yang kami tunggang,” imbau wanita berusia 42 tahun itu kepada Malaysia Tribune.

Suaminya kemudian disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping sekali gus menjadikan Norlilawati ibu tunggal kepada tiga cahaya mata.

Akibat kemalangan itu, dia turut mengalami cedera parah. Bahagian pelvik dan kaki kirinya terpaksa dimasukkan besi bagi merawat kecederaan yang dialami.

Norlilawati menziarahi kubur suaminya selepas habis tempoh iddah dalam keadaan masih menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Malah, dia perlu menjalani beberapa pembedahan dan terlantar selama beberapa bulan.

Menurut Norlilawati, sepanjang usia perkahwinan mereka, arwah suaminya sentiasa bersemangat membantu dirinya menguruskan perniagaan kecil-kecilan kuih semperit.

Apatah lagi ketika bulan puasa, tempahan memang berkali-kali ganda dari hari biasa.

“Arwah selalu lebih teruja daripada saya sendiri. Pernah ketika kami menetap di Shah Alam, suami berusaha membuat kuih semperit dari awal sampai akhir.

Arwah juga rajin membantu dan tidak kekok membuat kerja-kerja membakar kuih semperit.

“Biasanya, bab timbang tepung memang kerja saya, tapi arwah suka uli adunan sampai ke proses membungkus. Dari situlah dia mula mendapat idea untuk mengembangkan perniagaan kami,” kenangnya.

Tambah Norlilawati, suami pernah cuba berinovasi dengan alat tuang maruku bagi mempercepatkan proses pembuatan, tetapi percubaannya mencetuskan ‘kekecohan’ apabila peralatan tradisi milik ibunya itu rosak.

Namun, arwah suaminya tidak pernah berputus asa. Malah, beliau turut menempah pelapik khas bagi memudahkan kerja, walaupun pada akhirnya Norlilawati lebih selesa membuat semperit dengan cara manual.

Sebelum berpindah ke kampung, rezeki tidak disangka hadir apabila Norlilawati mendapat tempahan kuih raya dari sebuah hospital swasta di Lembah Klang.

“Ketika itu, rumah kami berubah menjadi ‘kilang kuih’ dengan arwah yang paling gembira melihat kejayaan isterinya ini.

Dari mula adunan hingga pembungkusan, arwah sentiasa ringan tangan membantu Norlilawati.

“Arwah juga yang bersusah payah menguruskan penghantaran kuih kepada pelanggan termasuk negeri-negeri di Pantai Timur.

“Sikap prihatin dan sokongan tidak berbelah bahagi arwah juga jelas apabila dia sanggup mengiklankan jawatan kosong untuk membantu saya walaupun saya lebih selesa bekerja sendirian bagi memastikan harga kuih kekal berpatutan.

“Bagaimanapun, demi tidak mengecewakan suami, akhirnya saya ambil seorang dua pembantu, termasuk anak saudara arwah,” cerita Norlilawati.

Tidak cukup dengan itu, arwah juga pernah ‘memaksa’ rakan-rakannya membeli kuih semperit isterinya sehingga tercipta istilah ‘tempahan paksa’.

Anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk wanita ini meneruskan kehidupannya.

Peliknya, rakan-rakan suami Norlilawati tetap melayan dan terus menyokong perniagaan tersebut, membuktikan betapa besar pengaruh dan kasih sayang arwah dalam kehidupan mereka.

Meskipun begitu banyak kenangan manis yang dikongsi, ada satu perkara yang Norlilawati tetap bertegas dengan suaminya iaitu tidak mahu meletakkan stiker pada bungkusan kuih.

Kini, lebih setahun meneruskan hidup tanpa arwah suaminya, Norlilawati terus gigih meneruskan produksi kuih semperit dengan ditemani anak-anak mereka.

Apa yang membuatkan wanita itu bahagia apabila suaminya konsisten menyimpan duit daripada apa yang diusahakan termasuk hasil kebun seperti pisang semata-mata untuk menunaikan haji.

Saat bahagia ketika pasangan ini bercuti ke Hatyai sebelum mereka terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa si suami menjadi kenangan terindah buat Norlilawati.

“Alhamdulillah, tahun lepas saya telah buatkan badal haji arwah suami menggunakan duit simpanan hasil kebunnya.

“Kini, hanya doa yang mampu saya kirimkan buat mereka. Semoga roh arwah suami, ibu dan ayah saya ditempatkan di syurga tertinggi,” doa Norlilawati tidak pernah putus.

Al Fatihah buat Khairil Anuwar Mustakim.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button