RENCANA

IKMa tumpu program pendigitalan usahawan, ahli koperasi

KUALA LUMPUR – Transformasi digital yang kian pesat menyaksikan banyak perubahan berlaku dalam dunia perniagaan melalui penawaran pelbagai kemudahan bagi mereka yang benar-benar memanfaatkan teknologi semasa itu.

Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan adaptasi atau penerimaan terhadap teknologi itu bukan lagi satu pilihan sebaliknya sudah menjadi satu keperluan.

Menyedari cabaran mendepani dunia perniagaan yang semakin sengit, Institut Koperasi Malaysia Malaysia (IKMa) kini komited dalam usaha transformasi digitalnya.

Pegawai Latihan IKMa, Mohd Fitri Ab. Rahman berkata, sebagai sebuah pusat latihan dan pembangunan modal insan koperasi utama, tumpuan diberikan kepada aspek pendigitalan usahawan koperasi di seluruh Malaysia.

“Matlamat kita adalah untuk menyediakan latihan dan khidmat rundingan bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan koperasi sekaligus menaik taraf prestasi perniagaan setanding dengan syarikat-syarikat korporat di luar sana.

“Galakan penggunaan teknologi terkini dalam perniagaan juga diharap dapat menarik minat lebih ramai golongan belia untuk menceburkan diri dalam bidang koperasi,” katanya ketika ditemui selepas Pocket Talk Keusahawan sempena Hari Peneroka Felda 2024 di Maeps, Serdang, hari ini.

Mohd. Fitri berkata, usaha pendigitalan yang diusahakan IKMa ketika ini termasuk memupuk kesedaran transformasi perniagaan, penggunaan kecerdasan buatan (AI), penggunaan aplikasi, analitik data dan perkongsian maklumat untuk meningkatkan kecekapan, inovasi dan pengalaman pengguna.

Mohd Fitri Ab. Rahman
Latihan pendigitalan bertujuan menaik taraf golongan usahawan koperasi setaraf dengan sektor korporat di negara ini.

Katanya, antara usaha pendigitalan yang diperkenalkan IKMa secara berkala dan berstruktur pula adalah latihan kemahiran operasi (digital) yang dinamakan Cooperative Digital Empowerment (CODE).

Katanya, program bimbingan selama 12 bulan yang bermula sejak Januari lalu itu memberi pendedahan mengenai sistem pengurusan aset, platform tempahan dan pembayaran secara dalam talian.

“Dengan bantuan pakar rujuk dan individu yang berkelayakan dalam ekosistem, usahawan koperasi dapat menimba ilmu untuk menguruskan perniagaan mereka dengan lebih efisyien.

“Buat masa ini, 40 usahawan telah menerima manfaat daripada program yang menumpukan empat sektor permulaan iaitu peruncitan (e-Comart), pelancongan (e-Cotourism), perniagaan kewangan (Ar-Rahnu) (e-Corahnu) dan pentadbiran koperasi (e-Coom) itu sendiri,” katanya.

Salah satu bengkel latihan anjuran IKMa yang memberi latihan kemahiran kepada usahawan dalam sektor pelancongan.

Selain itu kata beliau, progam pendigitalan IKMa juga memberi pendedahan kepada aspek pengurusan digitalisasi koperasi, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya.

“Ia termasuk penglibatan anggota dalam penggunaan platform digital seperti portal anggota, aplikasi, media sosial dan program secara dalam talian.

“Peserta juga diberi pendedahan mengenai pengurusan rekod secara digital dan penyimpanan data, capaian dan pelaporan menggunakan cloud,” katanya.

Mohd Fitri berkata, melalui program-program pendigitalan yang telah dan sedang dilaksanakan, IKMa berharap pihaknya dapat membantu melahirkan usahawan berpotensi, relevan dan berdaya saing.

Penganjuran kursus Sijil Eksekutif Pemasaran Digital yang dianjurkan IKMa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button