PENDAPATRENCANA

Haramkan vape demi masa depan belia Malaysia

VAPE sering dipasarkan sebagai alternatif yang ‘lebih selamat’ daripada rokok, namun hakikatnya ia membawa risiko kesihatan yang serius terutamanya kepada paru-paru.

Vape bukan sekadar tabiat moden, tapi ia adalah bom jangka kimia yang tanpa kawalan ketat, boleh meletup dalam bentuk penyakit yang tidak sempat dicegah.

Baru-baru ini, tulisan Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak menerusi ruangan Berani Dalam Benar yang menyokong cadangan Majlis Raja-Raja untuk mengharamkan vape sepenuhnya patut diberi perhatian ramai.

Dzulkifli menyokong cadangan Majlis Raja-Raja untuk mengharamkan vape sepenuhnya.

Penulisannya sarat dengan keprihatinan terhadap kesihatan setiap daripada kita yang perlu dihayati, jika benar kita cakna dengan masa hadapan belia tunggak masa depan negara ini.

Dari segi sejarahnya di Malaysia, vape diperkenalkan sejak 2008 dan termasuk dalam zon kelabu undang undang di bawah Akta Racun 1952.

Ini bermakna, ia sukar dibawa masuk dan dijual secara formal tetapi tetap wujud secara tidak terkawal.

Pada 2015, beberapa negeri seperti Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah di bawah Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan vape adalah haram.

Pada Januari 2016, jualan vape adalah sepenuhnya haram di negeri-negeri ini.

Keputusan besar dilakukan Malaysia pada April 2023 apabila mengeluarkan nikotin daripada senarai racun.

Ia bermaksud, vape yang mengandungi nikotin boleh digunakan pengguna di negara ini.

Ini juga membolehkan cukai eksais ke atas cecair nikotin namun bukan mengiktiraf bahawa nikotin adalah selamat tetapi sebagai langkah prosedural untuk kawalan cukai.

Namun, keputusan ini mencetuskan kritikan dari pelbagai pihak terutamanya daripada Majlis Perubatan Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Gambar imbasan tomografi menunjukkan keadaan paru-paru yang rosak akibat menghisap vape dan perubahan selepas menerima rawatan steroid.

Mereka bimbang ia membuka pintu kepada akses vape tanpa kawalan terutamanya dalam kalangan remaja, memandangkan tiada rang undang-undang kawalan vape tersendiri dibentangkan sebelum ini.

Bahayanya vape perlu difahami oleh kita semua, terutama pengguna vape sendiri.

Misalnya, EVALI (E‑cigarette or Vaping Associated Lung Injury) merupakan penyakit paru-paru akut yang dikenal pasti pada 2018 dan boleh menyebabkan kesukaran bernafas, radang paru-paru, bahkan kematian.

Di Amerika Syarikat misalnya, sebanyak 2,807 kes dirawat dan 68 kematian dilaporkan pada Februari 2020.

Kesan buruk lain termasuklah penyakit pulmonari kronik kesan daripada bahan berbahaya dalam vape seperti diacetyle, formaldehid dan acrolein yang boleh merosakkan saluran kecil dalam paru paru yang menyebabkan penyakit pernafasan kronik.

Selain itu, risiko keracunan nikotin juga adalah risiko terutama kepada kanak-kanak dan remaja.

Di negara kita sahaja, direkodkan 111 kes tumpahan dan terhidu vape dalam tahun 2015 hingga 2023. Ini termasuklah kes seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang dimasukkan ke hospital kerana keracunan nikotin.

Tidak hairan, sebelum mencetuskan perbincangan tentang Majlis Raja‑Raja dan larangan vape, Dzulkifli sering menegaskan bahaya nikotin dan vape dalam beberapa tulisan terdahulu di ruangan Berani dalam Benar.

Antaranya, sewaktu sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei 2023, beliau menggelar pemansuhan larangan nikotin sebagai the darkest moment kerana membuka ruang kepada penyalahgunaan vape oleh belia.

Sebelumnya, Dzulkifli juga mengingatkan tentang perundangan sedia ada iaitu mengenai nikotin sebagai racun di bawah Akta Racun 1952 yang tidak seharusnya dipermudah, sambil menegaskan perlunya pendekatan berhati-hati terhadap pengawalan kandungan nikotin sebelum sebarang liberalisasi dasar dianggap wajar.

Maka, sudah masanya kita memikirkan tentang pengharaman vape seperti yang telah dilakukan beberapa negara lain seperti Brunei pada 2005, Kemboja dan Thailand sejak 2014, Singapura (2018), Laos (2021), India (2019), Mexico (2022), Venezuela (2023) dan Malvides (2024).

Selain itu, menurut data Global Center for Good Governance in Tobacco Control (Mei 2025), 46 negara kini melarang jualan vape secara menyeluruh.

Antaranya Argentina, Brazil, Iran, Iraq, Kuwait, Oman, Qatar, Sri Lanka, Turkmenistan, Uruguay, Uganda dan banyak lagi.

Sungguh pun usaha pengharaman ini, jika berjaya, pasti ada cabarannya, terutamanya penjualan dalam pasaran gelap yang akan tetap beredar, namun apa yang penting ialah kita perlu mengelakkan ancaman vape untuk melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin.

Hal ini jika berterusan dan tidak dikawal, akan menjadi masalah yang sulit untuk dipulihkan pada masa akan datang dan tindakan ini perlu kita putuskan dan laksanakan segera.

Amerika Syarikat misalnya, sebagai negara yang tidak mengharamkan vape sepenuhnya, diduga pada 2019-2020 apabila menyaksikan epidemik EVALI yang menyerang hingga hampir 3000 pengguna vape khususnya dalam kalangan anak mudanya.

Sejak tahun 2020, jumlah peranti rokok elektronik atau vape yang dijual di Amerika Syarikat telah melonjak kepada lebih 9,000 jenis. – AP

Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, lebih 60 kematian dicatatkan.

Di Afrika Selatan, vape juga tidak diharamkan dan penggunaannya di sekolah amat tinggi dan membimbangkan.

Kajian pada 2024 melaporkan hingga 36.4 peratus pelajar sekolah menengah pernah mencuba vape dan 16.8 peratus masih kerap menggunakannya.

Di sini kita dapat lihat, negara-negara yang tidak mengharamkan vape sepenuhnya boleh membawa kepada krisis kesihatan dan krisis sosial peringkat nasional.

Ketagihan EVALI di AS mengakibatkan ketagihan berjuta- juta orang pelajar di negara itu.

Kita tidak mahu, belia Malaysia mengalami insiden kesihatan yang teruk dan ketagihan tinggi, juga membawa negara ini kepada krisis awam yang serius hanya kerana berbolak balik dalam mengharamkan vape terutamanya selepas nikotin dikecualikan daripada Akta Racun pada 2023.

Amat menghairankan jika kita masih tidak gerun apabila mengetahui daripada Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022, bahawa lebih 600,000 pelajar sekolah menengah di Malaysia direkodkan telah mencuba vape.

Malah, ramai daripadanya tidak menyedari bahawa kandungan cecair vape mengandungi nikotin yang tinggi.

Poster menunjukkan bahaya ketagihan EVALI akibat menghisap vape.

Kajian menunjukkan bahawa pendedahan nikotin semasa remaja boleh merosakkan fungsi kognitif, melemahkan kawalan emosi dan meningkatkan risiko terhadap gangguan mental serta penyalahgunaan bahan lain pada masa hadapan.

Lebih berbahaya, imej dan reka bentuk vape yang berwarna-warni dan berperisa manis menjadikannya lebih menarik kepada kanak-kanak dan remaja berbanding rokok tradisional.

Lebih merisaukan, vape mudah didapati di kedai serbaneka di negara ini, mudah juga dibeli secara dalam talian, malah di pekarangan sekolah.

Dalam konteks ini, pengharaman sepenuhnya menjadi langkah pencegahan yang paling selamat dan berkesan untuk mengelakkan generasi akan datang terjerumus dalam kitaran ketagihan yang berbahaya dan mahal untuk dirawat.

Oleh DR. SITI SURIANI OTHMAN
Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button