SEMPENA dengan Kepengerusian ASEAN tahun ini, Balai Seni Negara menganjurkan satu pameran seni visual yang relevan dan signifikan mengenainya.
Pameran bertajuk Hadiah Dari ASEAN itu telah bermula pada 17 Februari lalu dan akan berlangsung sehingga 31 Julai 2025.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, pameran itu akan membawa pengunjung menyaksikan koleksi hadiah karya seni dari negara anggota ASEAN serta ASEAN+6 termasuk Korea Selatan, Jepun, China dan India.

“Sebanyak 33 karya seni yang dihadiahkan kepada Malaysia antara tahun 1960 hingga 2009 boleh disaksikan pada pameran istimewa ini.
“Karya-karya ini pernah dipamerkan dalam pameran seni antarabangsa di Balai Seni Negara merangkumi pelbagai bentuk, medium dan saiz hasil daripada kreativiti seniman antarabangsa yang kini menjadi sebahagian daripada Koleksi Tetap Negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pameran itu menekankan peranan seni dalam memperkukuh diplomasi budaya serta menyokong aspirasi ASEAN 2025 dalam mempromosikan perpaduan dalam kepelbagaian.
“Setiap karya yang dipamerkan bukan sekadar hasil seni, malah menjadi simbol hubungan erat antara negara-negara ASEAN dan rakan serantau.

“Ia mencerminkan warisan budaya yang dikongsi bersama sekali gus menyumbang kepada perkembangan seni visual di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Pameran tersebut menghimpunkan karya-karya seniman terkemuka dari Malaysia termasuk Lim Nan Seng, Mii Awas, Aw Eng Kwang, Chang Yong Chia, Amir Tadok, Ahmad Kassim, Linggam dan Abil Manan.
Dari negara jiran, Indonesia pula dipamerkan karya Nurdian Ichsan, sementara Singapura diwakili Ahmad Abu Bakar dan Thomas Cheong Kah Ho.
Karya seniman lain termasuklah karya oleh Suebpong Powthai, Supphaka Palprame, Sayumporn Kasornsuwan dan Wanna Thitamma dari Thailand; Akito Morino, Keiichi Ito, Hideo Matsumoto dan Masakazu Hoki (Jepun); Myung-Ah Lee, Ui Sun Joung, Dong-Hoi Kim, Dae-Soo Lee, Han-Won Lee, Byung-Ho Seo, Bok-Ja Won, Sun-Woo Park, Chung-Hwi Cho, Byoung-Kwoun Park dan Young-Shick Kwon (Korea); Zheng Ning (China) serta Gurjinder Kaur dan Goutam Das dari India.

Hadiah Dari ASEAN memperkukuh peranan Malaysia sebagai pusat budaya dan diplomasi serantau, dengan memaparkan keindahan serta kepelbagaian seni dari negara-negara anggota.
Sebagai tuan rumah bagi ASEAN 2025, Malaysia sentiasa komited dalam menyediakan platform yang menggalakkan pertukaran seni, menonjolkan nilai-nilai bersama serta memperkukuh hubungan sejarah yang telah lama terjalin.
Karya-karya yang dipamerkan bukan sahaja dilihat mampu untuk memperkaya naratif seni, tetapi juga menggambarkan kepelbagaian tradisi dan perkembangan seni kontemporari yang pesat di rantau ini.
Orang ramai dijemput untuk mengunjungi Balai Seni Negara dan menerokai naratif seni yang terdapat dalam pameran Hadiah Dari ASEAN yang dibuka setiap hari sehingga 31 Julai 2025 bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








