KESEMPATAN menyaksikan konvensyen AMANAH baru-baru ini memberikan pengalaman baharu pada saya. Dalam konteks politik kepartian, perhimpunan sebeginilah mencerminkan budaya dan gelagat sesebuah parti politik di semua peringkat.
Sewaktu suhu politik memuncak dengan beberapa peristiwa politik seperti penantian pengumuman calon dalam siri PRN Sabah dan desas-desus rombakan kabinet PMX, Konvensyen AMANAH kali ini tidak kurang hebat impaknya.
Terdapat beberapa peristiwa yang diingati sewaktu konvensyen berlangsung pada tanggal 8 dan 9 November di Dewan Raja Muda, Shah Alam, Selangor.
Antaranya adalah insiden ketegangan antara beberapa perwakilan pada hari kedua; tidak kurang sejam gelanggang perbahasan dibuka sehingga menjadi spotlight para pengamal media yang hadir ketika itu.
Ketegangan tercetus apabila terdapat dua usul berbeza yang dibawa oleh beberapa perwakilan iaitu sama ada meneruskan pemilihan Parti Amanah Negara pada tahun hadapan atau menangguhkan pemilihan ini untuk memberi laluan pilhan raya umum.
Pertembungan dua usul ini pada asasnya telah diterima sebagai cadangan. Namun, beberapa perwakilan berhasrat perkara tersebut perlu dibahaskan di konvensyen ini manakala ada sebahagian menolak.
Di tengah ketegangan itu, seorang perwakilan membangkitkan kredibiliti pengerusi yang dianggap tidak jelas dalam menetapkan agenda. Tindakan pasukan Arif membawa keluar perwakilan tersebut menambah riuh dewan. Suasana bertambah gamat ketika perbahasan usul pindaan umur sayap Wanita Muda Amanah (WARDA) daripada 35 ke 40 tahun diterima dengan ejekan beberapa perwakilan.
Gambaran ini mempamerkan rencam gelagat ahli: ada yang melihat sisi positif iaitu ahli AMANAH ini sangat kritis, lantang bersuara, dan tidak taat membuta tuli. Namun, tidak kurang yang mengkritik cerminan ideologi Islam Rahmah yang sepatutnya menekankan adab dan akhlak mulia dalam perbezaan pendapat.
Kedua indikator ini menjadi petunjuk bagaimana konflik dalaman boleh menjadi medan pembelajaran dan penilaian bagi sesebuah parti.
Apa yang boleh dipelajari?
Seperti mana parti politik lain di Malaysia, AMANAH juga tidak dapat lari daripada diuji konflik dalaman. Kebebasan bersuara dalam memberi pandangan adalah jaminan supaya lebih progresif berbanding seterunya; PAS.
Ketegangan yang berlaku baru-baru ini hanyalah sebahagian kecil daripada manifestasi pertembungan perbezaan pandangan yang berlaku dalam parti sudah hampir sedekad usianya. Selain perbezaan pandangan dalam memahami prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin, pertembungan konflik AMANAH juga tidak dapat lari daripada beberapa siri perebutan jawatan lantikan politik di peringkat akar umbi. Lumrah mana-mana parti akan melihat lantikan sebegini adalah medium terbaik dalam memegang tampuk kekuasaan setempat.
Soalnya, bagaimana ia diurus dan dicermati dengan baik.
Sikap pilih kasih kepada kelompok tertentu wajar diketepikan dalam membina kekuatan organisasi apatah lagi sebuah parti politik beridentitikan Islam Rahmah.
Seharusnya, budaya perbezaan pandangan diangkat dalam keadaan yang baik yang mana hujah kritikan, pandangan akar umbi dijadikan panduan utama berbanding dengan ejekan dan kemarahan semata-mata. Seperti kata Mahatma Gandhi: “Honest disagreement is often a good sign of progress.” (Terjemahan: Perbezaan pendapat yang jujur selalunya adalah tanda kemajuan).
Konvensyen ini mengingatkan kita bahawa perbezaan pandangan bukanlah penghalang kemajuan bahkan pemangkin kepada perubahan ke arah kebaikan. Dalam keriuhan dalam konvensyen ini, teserlah peluang bagi demokrasi dalaman yang matang. Suara lantang akar umbi bukan setakat hanya didengari sahaja tetapi memberi impak kepada hala tuju parti AMANAH ini.
Kita diajar bahawa hikmah lahir dari ujian, dan ujian sering muncul dalam pelbagai bentuk antaranya kegentaran (dalam konteks ini adalah konflik).
Gegak gempita yang berlaku dalam konvensyen ini hakikatnya bukan sekadar persembahan emosi tetapi isyarat bahawa parti ini masih mampu bergerak ke hadapan dan masih mencari keseimbangan antara idealisme dan realiti. Suka saya untuk mengingatkan ungkapan Martin Luther King Jr. mengingatkan kita bahawa: “True peace is not merely the absence of tension; it is the presence of justice”.
Maka, kedamaian yang sebenar tidak lahir daripada sunyi suara, tetapi daripada keberanian menegakkan yang benar meskipun digoncang badai.
Selagi teras Islam Rahmatan Lil Alamin menjadi kompas utama, maka konflik atau perbezaan pandangan akan dilihat sebagai sunatullah sebagaima firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Maidah Ayat 8 maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
ARTIKEL OLEH
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






