
Fungsi hati: Wira senyap yang menentukan hidup dan mati
DI sebalik degupan jantung dan hembusan nafas yang kita syukuri setiap hari, tersembunyi satu organ yang jarang diberi perhatian, namun menjadi tunjang kehidupan iaitu hati.
Hati tidak pernah berhenti bekerja. Siang dan malam ia menyaring, melindungi, mengimbangi dan memberi tenaga.
Namun malangnya, ia juga sering diabaikan. Kita hanya mula mengambil peduli apabila kerosakannya sudah terlalu parah untuk kita cegah.

Sempena Hari Hati Sedunia pada 19 April lalu, Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Chow Suet Yin berkongsi peranan besar yang dimainkan oleh organ ini dan bagaimana kita boleh menjaga kesihatannya sebelum segalanya terlambat.
1. Hati benteng detoks semula jadi tubuh
Di zaman media sosial yang sarat dengan promosi diet detoks, kita terlupa bahawa hati adalah sistem detoks asli yang paling berkesan.
Ia menghasilkan enzim sendiri untuk memecahkan sisa metabolik dan menyingkirkan toksin melalui air kencing dan najis.
Tanpa keupayaan ini, bahan buangan seperti bilirubin boleh terkumpul dan menyebabkan jaundis, merosakkan otak dan akhirnya membawa kepada koma.

2. Agen pencernaan dan penyimpan nutrien
Hati turut menghasilkan hempedu, cecair penting untuk menghadam lemak serta membantu penyerapan vitamin larut lemak seperti A, D, E dan K.
Tanpa hempedu, tubuh tidak dapat menyerap nutrien penting ini, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai masalah kesihatan seperti penglihatan merosot, tulang rapuh, kelemahan otot dan gangguan pembekuan darah.
3. Penjaga imuniti tubuh
Salah satu pertahanan tubuh yang kurang dikenali ialah sel Kupffer, sejenis sel imuniti yang tertumpu di hati.
Ia membantu menapis bakteria dan virus dari saluran pencernaan lalu mengelakkan jangkitan dan keradangan.
Hati yang sihat secara tidak langsung bermaksud sistem imun yang kuat dan tubuh yang lebih terlindung.

4. Enjin metabolisme dan tenaga
Hati menyimpan tenaga dalam bentuk glikogen dan melepaskannya apabila badan memerlukan.
Ia juga mengawal paras gula dalam darah dan menghasilkan protein penting untuk pembekuan darah serta albumin bagi mengekalkan isipadu darah.
Bila fungsi ini terjejas, kita mudah rasa lemah, lebam dan mengalami bengkak pada kaki atau abdomen.
Benarkah hati tidak pernah rosak?
Walaupun hati memiliki kebolehan luar biasa untuk sembuh sendiri, ia bukanlah kebal.
Gaya hidup yang tidak sihat termasuk pengambilan alkohol berlebihan, makanan tinggi lemak dan gula, obesiti serta pengambilan ubat tanpa kawalan adalah musuh utama hati.
Dari fatty liver ke sirosis: Perjalanan yang menakutkan
Menurut Dr. Suet Yin, penyakit hati biasanya bermula dengan hati berlemak (fatty liver) iaitu satu keadaan yang tiada simptom dan hanya dapat dikesan melalui imbasan.
Tanpa perubahan gaya hidup, ia boleh berkembang kepada radang, fibrosis dan akhirnya sirosis, di mana kerosakan tidak lagi dapat dipulihkan.
Antara simptom sirosis termasuk jaundis, lebam mudah, muntah darah, kekeliruan dan keletihan melampau.
Pada tahap ini juga, risiko kanser hati dan kegagalan hati meningkat secara mendadak.

Langkah bijak menyelamatkan hati
Kunci utama dalam menjaga hati ialah melalui perubahan gaya hidup:
1. Pemakanan sihat: Kurangkan lemak tepu, makanan diproses, gula dan garam. Pilih lemak baik dari minyak zaitun, avokado, kacang dan ikan berlemak.
2. Aktif secara fizikal dan kawal berat badan: Penurunan berat sebanyak 5–10 peratus boleh membalikkan keadaan fatty liver.
3. Tidur mencukupi: Hati bekerja keras ketika kita tidur. Tidur yang berkualiti penting untuk pemulihan.
4. Elak pengambilan ubat atau herba tanpa nasihat doktor: Sesetengah bahan boleh memberi kesan buruk pada hati.
5. Buat pemeriksaan tahunan: Supaya masalah hati dapat dikesan awal dan dicegah sebelum terlambat.
Sayangi hati anda
Hati adalah penyelamat senyap yang tidak pernah merungut. Ia memberi kita peluang untuk hidup sihat, bergerak aktif dan terus bernyawa.
Maka, jangan biarkan ia menderita dalam diam. Marilah kita menghargai peranannya dan berjanji untuk melindunginya kerana hati yang sihat adalah kunci kehidupan yang berkualiti dan bermanfaat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |