RENCANABISNES & EKONOMI

Epilepsi tidak bantut semangat Khamsiah berniaga

SEMANGAT dan keazaman mampu menjadi senjata paling kuat untuk mengatasi segala cabaran dalam dunia perniagaan.

Ini terbukti melalui kisah seorang wanita cekal, Khamsiah Kamarudin, 49, yang menghidap epilepsi namun berjaya mengusahakan perniagaan bouquet dan hamper sejak empat tahun lalu di Seremban, Negeri Sembilan.

“Saya mula berniaga pada Julai 2021 dengan menawarkan pakej gubahan bunga dan hadiah untuk majlis-majlis rasmi serta tidak rasmi.

Antara gubahan hasil kreativiti Khamsiah dalam mencari rezeki yang halal buat keluarga.

“Tempahan bouquet ditawarkan pada harga yang berpatutan serendah RM20.

“Selain itu, saya juga membuka tempahan pukal melebihi 10 slot pada harga RM10 setiap slot, manakala untuk pelanggan yang inginkan sesuatu yang eksklusif, slot ‘kayangan’ disediakan pada harga bermula RM50,” kata Khamsiah kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, semua hamper yang dihasilkan lengkap dengan dekorasi istimewa dan dibuat dengan penuh teliti untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan.

“Saya percaya pada hasil kerja dan keikhlasan dalam perniagaan. Setiap hasil dekorasi adalah refleksi usaha dan kasih sayang saya kepada pelanggan,” ujar Khamsiah.

Khamsiah sentiasa berusaha menjaga kualiti dengan gubahan segar demi kepuasan pelanggan.

Katanya, perniagaan yang dimulakan dari rumah itu sejak empat tahun lalu itu menerima sambutan yang amat menggalakkan dari pelanggan kerana kurangnya persaingan dalam perniagaan cenderahati atau popular dipanggil ‘surprise’ ketika ini.

“Ia semakin mendapat sambutan dengan adanya servis penghantaran yang memudahkan pelanggan membuat tempahan hanya melalui telefon,” ujarnya.

Pada peringkat awal perniagaan, Khamsiah mengaku hanya menerima antara empat hingga lima tempahan setiap hari.

Kualiti yang diberikan Khamsiah membuatkan para pelanggan sentiasa berpuas hati dengan khidmatnya.

Namun, seiring peredaran masa, permintaan terus meningkat kerana ramai yang berpuas hati dengan kualiti dan harga sehingga jumlah tempahan meningkat kepada 10 slot setiap hari.

Salah satu pengalaman paling bermakna buat Khamsiah ialah menerima tempahan besar daripada sebuah sekolah tabika sempena majlis konvokesyen, melibatkan lebih 20 slot bouquet.

Namun, perjalanan perniagaan Khamsiah tidaklah mudah.

Seperti perniagaan lain, beliau juga menghadapi cabaran seperti kemunculan surprise planner baharu yang menjual hasil dekorasi pada harga jauh lebih murah.

Selain itu, kenaikan harga barang turut menjejaskan margin keuntungan yang diperolehi.

“Kadangkala rasa down juga bila persaingan makin sengit, tapi saya sentiasa ingatkan diri bahawa rezeki itu milik Allah.

Gubahan bouquet juga boleh dibuat mengikut citarasa pelanggan terutama dalam pemilihan coklat dan sebagainya.

“Saya hanya perlu terus berusaha dengan niat yang betul,” ujar Khamsiah penuh keazaman.

Beliau turut berkongsi bahawa kejayaan memerlukan kesabaran.

Demi untuk menjaga kualiti, beliau sentiasa memastikan semua tempahan dibuat dengan menggunakan bunga segar.

Menjelang tahun 2025, ibu kepada dua orang cahaya mata dan seorang cucu ini memasang harapan besar untuk perniagaannya.

“Doa saya agar Allah memberkati usaha yang dilakukan, membuka pintu rezeki yang lebih luas dan mempermudahkan urusan saya sebagai seorang pesakit sawan.

“Saya mahu perniagaan bouquet dan hamper ini terus maju dan menjadi sumber inspirasi kepada orang lain,” kata Khamsiah.

Khamsiah bersama keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Walaupun masih mengambil ubat bagi rawatan penyakitnya, Khamsiah tetap positif mendepani kehidupan yang dilalui.

Malah, beliau berjaya membuktikan kesukaran dan cabaran dalam hidup bukan penghalang untuk seseorang mencapai kejayaan asalkan terus gigih berusaha, tidak berputus asa dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Asy Syuraa, ayat 12 yang bermaksud:

“Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi. Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Untuk tempahan bouquet atau maklumat lanjut mengenai bisnes yang dijalankan, orang ramai boleh hubungi Khamsiah di talian 011-1311 4611.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button