PENDAPATRENCANA

Emas: Antara doa diam dan jalan bebas daripada riba

Oleh NUR ILMI NADHIRAH DEFINAL

DALAM dunia yang semakin bising dengan angka, statistik dan ramalan ekonomi, ada satu benda kecil yang diam-diam mencuri perhatian – emas.

Ia tidak bercakap, tidak bergerak, tetapi keberadaannya memberi rasa yang sukar dijelaskan. Rasa aman. Rasa cukup.

Ramai yang mula menyimpan emas bukan kerana mereka kaya. Tapi kerana mereka takut. Takut dengan inflasi. Takut duit tak cukup. Takut masa depan lebih mahal daripada hari ini.

Semakin ramai yang sanggup melabur untuk membeli emas demi keselesaan hidup di kemudian hari. – Foto Media Mulia

Menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM), lebih 61 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan kecemasan melebihi RM1,000, menunjukkan betapa rapuhnya kedudukan kewangan majoriti rakyat.

Dalam realiti ini, emas muncul sebagai penyelamat senyap, aset fizikal yang boleh digenggam saat angka dalam akaun bank terasa rapuh.

Dan lebih daripada itu, mungkin kerana mereka sudah muak hidup dalam sistem ekonomi yang tidak berpihak, sistem yang menjadikan riba dan hutang sebagai lumrah.

Emas simbol ketenangan jiwa

Bagi sesetengah orang, emas bukan sekadar logam. Ia adalah pengganti kepada rasa yang hilang dan tidak cukup.

Bila genggaman terhadap masa depan terasa longgar, kita mencari sesuatu yang nyata, padat dan berat. Emas memenuhi ruang.

Dafi, 48 tahun, berkongsi pengalamannya sepanjang mengumpul emas.

“Saya menyesal tak ambil tahu cara kumpul emas dengan betul. Kami sekeluarga mesti dah lama tenang tanpa hutang.”

Bukan tentang jadi kaya. Tapi tentang tenang. Di tengah ekonomi yang rapuh, emas menawarkan kestabilan yang tiada dalam angka digital.

Media sosial & lahirnya tekanan kewangan sunyi

Dalam dunia digital hari ini, ketenangan itu juga mula dicari melalui skrin, di mana emas bukan sahaja dibeli, tapi juga dipamerkan.

Di TikTok dan Instagram, emas kini viral sebagai simbol survival ekonomi.

‘Cara simpan emas RM1 sehari’ bukan lagi sekadar tip. Ia menjadi penanda siapa yang ‘pandai’ dan siapa yang masih ‘ketinggalan’.

Maka muncul FOMO (Fear Of Missing Out) yang perlahan-lahan menghimpit jiwa anak muda.

Menurut World Gold Council (2024), permintaan emas global mencecah 4,974 tan. Kadar tertinggi sejak empat tahun dan peningkatan paling ketara datang daripada pelabur muda termasuk di Asia Tenggara.

Di Malaysia, permintaan melonjak sejak 2020, walaupun penyusutan nilai ringgit memberi tekanan pada akhir 2024.

Dalam diam, ramai yang mula membeli bukan sebab mampu, tapi sebab takut. Takut jika tak ada simpanan, hidup akan tumbang bila-bila masa.

Emas, kapitalisme dan jalan keluar daripada sistem

Menyimpan emas adalah bentuk senyap pemberontakan terhadap sistem kewangan moden yang jarang dibicarakan.

Dalam Islam, riba (faedah) diharamkan dengan tegas kerana ia menindas.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 275: “Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Emas yang nilainya jelas dan tidak dicipta dari hutang menjadi alternatif halal.

Menurut panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, emas fizikal dibenarkan sebagai instrumen simpanan yang bebas riba jika dimiliki secara penuh dan tidak melibatkan jual beli bertangguh.

Ramai hari ini mencari cara untuk keluar dari perangkap hutang, terutamanya hutang bank.

Antara jalan yang mula diteroka ialah menukar aset kertas kepada emas, lalu lunaskan pinjaman sedikit demi sedikit dengan kaedah fizikal dan simpanan kekal.

Bagi yang benar-benar faham, emas bukan sekadar pelaburan. Ia cara untuk hidup dengan lebih berkat dan bebas dari sistem yang memperkaya satu pihak sambil menindas yang lain.

Warisan lama, jiwa baru

Orang Melayu telah lama hidup dengan emas. Dulu, emas ialah mas kahwin. Hadiah cinta. Warisan turun-temurun. Hari ini, ia berubah jadi simbol ketahanan mental.

Emas sebagai warisan zaman dahulu kala.

“Dulu arwah mak selalu simpan emas. Masa tu tak ambil tahu pun kenapa mak selalu pergi kedai emas. Sekarang, kalau boleh mesti kena ada walaupun segram dalam tangan,” kata Ida, 46, seorang suri rumah yang mengumpul emas.

Emas bukan sekadar benda lama. Ia kini jadi bahasa baru untuk bercerita tentang rasa takut, harapan dan perjuangan jiwa dalam dunia yang tidak stabil.

Apa sebenarnya kita cari?

Mungkin kita tak benar-benar cari emas. Mungkin yang kita cari ialah rasa aman, rasa bebas dari sistem yang menyesakkan. Mungkin kita ingin percaya yang masih ada cara hidup yang berkat, yang adil.

Dan mungkin segram emas itu bukan sekadar logam, tapi doa senyap kita untuk hari esok.

“Semoga aku cukup. Semoga aku tidak bergantung pada riba. Semoga aku selamat.”

* Penulis merupakan Pelajar Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Nur Ilmi Nadhirah Definal

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button