GAYA HIDUPRENCANA

Ekspedisi pelancongan ke Medan dan Bali: Meneroka budaya, menggilap jati diri

PELUANG menerokai keindahan negara jiran, Indonesia baru-baru ini membuatkan sekumpulan pelajar dari Politeknik METro Kuantan (PMKu) meraih pengalaman yang mengujakan.

Melalui penganjuran Program Ekspedisi Pelancongan ke Medan dan Bali, para pelajar bukan sekadar menikmati percutian luar biasa, tetapi juga mendalami satu perjalanan ilmu merentasi budaya dan sempadan negara. Dari kota sejarah Medan ke pulau eksotik Bali, setiap langkah mereka dipenuhi pengalaman baharu yang mendewasakan.

Ekspedisi ini turut melibatkan kerjasama antara Politeknik METro Kuantan dan Politeknik Pariwisata Medan.

Berlangsung pada 15 hingga 18 April lalu, ekspedisi ini disertai oleh 35 orang pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan (DPP) di PMKu.

Ketua Program Diploma Pengurusan Pelancongan, Nurhidayah Hilimi berkata, ekspedisi itu membuka peluang kepada pelajar untuk mengalami sendiri budaya, adat dan gaya hidup masyarakat tempatan di Medan dan Bali.

“Ia juga mengasah kepekaan antara budaya yang amat penting dalam profesion pelancongan masa kini.

“Melalui pendekatan hands-on di lokasi bersejarah dan semula jadi, peserta dapat memahami konsep warisan, kelestarian serta interpretasi pelancongan dari perspektif antarabangsa sekali gus memperkayakan strategi pelancongan tempatan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Para peserta berpeluang merakam gambar di kaki Gunung Sinabung yang masih aktif di Medan.

Untuk program di Medan, lawatan disertai 18 orang pelajar semester 4 DPP bersama tiga pensyarah iaitu Nor Akashah, Farizah Mohamad dan Nurhidayah Hilimi melalui program International Collaboration & Cultural Exchange Bridge of Tradition antara PMKu dan Politeknik Pariwisata Medan.

Antara yang dilawati ialah kolam blue water Aek Manik, ladang teh Sidamanik, pelayaran ke Pulau Samosir di Danau Toba dan mendaki Bukit Teletubbies (Bukit Burung dan Bukit Holbung).

Mereka turut melawat kawasan sawah padi di Sianjurmulamula, air terjun Efrata dan Sipisopiso, pasar buah dan ladang strawberi di Brastagi, meneroka keindahan kaki Gunung Sinabung dan Maimon Palace iaitu lambang sejarah Kesultanan Deli.

Melalui ekspedisi ini, ia memberi peluang kepada para pelajar menerokai pelbagai lokasi menarik dan kepelbagaian budaya negara jiran.

Salah seorang peserta, Mohammad Fazly Fahmi Abdul Halim berkata, ekspedisi itu bukan hanya tentang melancong tetapi suatu penjelajahan ilmu yang memberi pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah yang menarik.

“Setiap tempat yang dijejaki, ada pelajaran tersendiri yang tak diajar dalam kelas,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 17 orang pelajar bersama dua pensyarah, Surayahanim Ali dan Anis Syabirah Md Isa menyertai misi International Cultural Exchange and Student Engagement bersama Politeknik Negeri Bali (PNB).

Ia diketuai oleh Dr. I Ketut Sutama, MA selaku Timbalan Pengarah untuk Perkongsian PNB.

Salah satu lokasi menarik yang dilawati memaparkan keindahan alam semula jadi di Medan, Indonesia.

Antara pengalaman yang dikutip di Bali termasuklah lawatan ke Pantai Pandawa dan Uluwatu Temple; menyaksikan persembahan budaya di Garuda Wisnu Kencana (GWK) Cultural Park serta melawat Rumah Agung dan Monumen Bajra Sandhi.

Selain itu, para pelajar turut menyertai aktiviti lasak ATV Ride Bali Adventure, menghayati budaya di persembahan Tarian Kecak, lawatan ke Penglipuran Village iaitu kampung tradisional yang terkenal antara paling bersih di dunia dan kunjungan ke Tanah Lot Temple, ikonik di atas batu di tengah laut,

Bagi Nuur Aishah Nik Muhammad ‘Izzat, beliau teruja dapat menyertai program tersebut.

“Bali membuka mata saya tentang kekayaan budaya dan keindahan alam semula jadi.

“Setiap lokasi, dari pantai putih ke kampung tradisional meninggalkan memori yang sukar dilupakan,” ujarnya.

Para peserta juga berpeluang merasai pengalaman melakukan aktiviti Ride Bali yang menyeronokkan.

Sewaktu majlis flag-off sebelum ekspedisi, Pengarah Politeknik METrO Kuantan, Ahmad Nasrul Hisyam Hamzah turut menitipkan pesan kepada para peserta agar memanfaatkan peluang itu sebaiknya.

“Jadikan perjalanan ini sebagai wadah untuk menggilap jati diri sebagai warga PMKu yang berilmu, berbudaya, dan menjadi duta pelancongan Malaysia di persada dunia,” katanya.

Apa yang pasti, program seumpama ini turut menyediakan ruang untuk pelajar menghasilkan karya kreatif  seperti fotografi dan vlog pelancongan berdasarkan pengalaman autentik sepanjang pengembaraan mereka.

Ekspedisi ini menjadi bukti bahawa pembelajaran melalui pengalaman nyata mampu membuahkan hasil yang jauh lebih bermakna daripada teori semata-mata.

Inisiatif ini selaras dengan matlamat PMKu untuk membentuk graduan pelancongan yang bukan sahaja profesional malah berjiwa global, memahami nilai warisan dan kelestarian sejagat.

Ekspedisi berkenaan jelas menjadi bukti bahawa pembelajaran melalui pengalaman nyata mampu membuahkan hasil yang jauh lebih bermakna daripada teori semata-mata, menjadikan setiap perjalanan satu pengembaraan ilmu dan kehidupan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button