RencanaGaya Hidup

14 hari di bumi Anbiya, singkap sejarah Islam bersama In Saff Travel

Artikel: Noor Fazrina Noor Kamal

PENERBANGAN selama 8 jam 30 minit pada hari Rabu bertarikh 13 November lalu, dengan bacaan rintangan angin di hadapan pesawat (headwind) sentiasa di bawah kiraan 20 knots, menjadikan ia satu perjalanan yang sangat mendamaikan, terlalu indah tak terungkap dek kata-kata.

Ini adalah pertama kalinya penulis berkesempatan menunaikan ibadah umrah dan ziarah selama 14 hari bersama agensi pelancongan terkenal, In Saff Travel & Tours. Menaiki pesawat khas Umrah dari Malaysia Airlines, iaitu Amal by Malaysia Airlines terus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah.

Kami disantuni kru kabin yang manis menutup aurat, perjalanan dirasakan amat berkah kerana dimulakan dengan bacaan doa menaiki pesawat dan pengumuman solat serta cara mengambil wuduk menggunakan spray wuduk, juga penerangan tatacara solat di tempat duduk. Malah apabila hampir pesawat melalui kawasan Miqat (niat umrah) kapten membuat pengumuman khas, menambah keyakinan penulis untuk melaksanakan ibadah umrah dan ziarah sekaligus melenyapkan rasa gemuruh penulis yang agak sudah lama tidak menaiki pesawat.

Apa yang menariknya, perjalanan ini bukan sekadar menunaikan ibadah di tanah suci, tetapi juga menerokai jejak-jejak sejarah Islam yang boleh dikategorikan ‘rare’, namun penuh kesan mendalam kepada umat Islam. Lawatan ini membawa dimensi unik yang memperkaya pengetahuan sejarah, budaya, dan rohani para peserta melalui kunjungan ke lokasi-lokasi bersejarah yang jarang dikunjungi.

Di Telaga Uthman yang kini ditutup Kerajaan Arab Saudi kerana berlaku banyak aktiviti khurafat.

Kota Tua Jeddah, bangunan lama dibaikpulih dan dijaga UNESCO dengan senibina kayu ‘roshan’ hasil ukiran masyarakat Arab kaum Uthmaniyyah dan Parsi.

Menjejaki Kota Tua di Jeddah Rombongan kami menetap di Hotel Karam Al Balad, Jeddah yang terletak tak jauh dari Kota Tua, Jeddah. Dikenali juga sebagai Bandar Lama Al Balad, kota ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Bangunan disini masih mengekalkan seni bina tradisionalnya yang unik, seperti rumah-rumah dengan ukiran kayu ‘roshan’ pada penutup tingkap dan balkoni kayu berjeriji halus. Dipengaruh budaya Arab Uthmaniyyah dan Parsi.

Menghayati lokasi ini membawa penulis ke zaman kegemilangan perdagangan di Laut Merah. Kawasan ini pernah menjadi pusat perdagangan yang menghubungkan dunia Arab dengan Asia. Pasar-pasar tradisional di Al Balad terus mengekalkan budaya perdagangan lama, menjual rempah ratus, tekstil, dan pelbagai produk buatan tangan. Tidak jauh dari Kota Tua ini terletaknya Masjid Qissas.

Masjid Qissas yang tempat hukuman hudud mula dijalankan. Dahulunya hudud dilaksanakan di Mekah namun bagi menghormati tempat suci, lokasi dipindah ke Jeddah dan kekal hingga hari ini.

Masjid ini menyimpan sejarah penting dalam perundangan Islam, di mana hukuman hudud pernah dilaksanakan pada zaman awal Islam. Masjid Qissas bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga pusat keadilan dan penyelesaian masalah masyarakat ketika itu. Kunjungan ke masjid ini memberikan pemahaman mendalam tentang bagaimana hukum Islam dilaksanakan secara adil dalam kehidupan masyarakat. Masjid ini juga dibangunkan lengkap dengan landskap menghijau serta tasik buatan yang sangat indah.

Merasai suasana sejuk di Taif Hari ke-2 rombongan kami meneruskan perjalanan ke Taif, menaiki bas Persiaran perjalanan ini mengambil masa kira-kira 3 jam dari Jeddah. Lokasi pertama ziarah Taif bermula di Masjid Abdullah Ibnu Abbas, sebuah masjid yang didedikasikan kepada ulama besar ini. Abdullah Ibnu Abbas, sepupu Nabi Muhammad SAW, dikenali kerana sumbangannya yang besar dalam ilmu tafsir Al-Qur’an dan hadis.

Selain itu, peserta juga menikmati keindahan kawasan pergunungan Taif sambil mencuba aktiviti menarik seperti menaiki toboggan dan kereta kabel sambil menikmati pemandangan indah bukit bukau yang tidak mudah dapat dilihat di negara lain. Kami turut melawat ladang dan kilang memproses bunga mawar, Al Kamal Rose Factory, kilang ini diasaskan pada 1831 merupakan kilang tertua di Arab Saudi dan telah beroperasi selama tujuh generasi. Ia menggunakan kaedah tradisional untuk mengekstrak minyak dan air mawar yang melibatkan penyulingan kelopak mawar dalam periuk tembaga besar selama beberapa jam.

Sebelum bertolak ke Mekah, kami sempat menjamu selera di sebuah restaurant Nasi Arab dan membeli belah di pasar buah yang terkenal di Taif. Umrah pertama memasuki hari ke-3, kami bersiap sedia untuk umrah yang pertama setelah dibawa bermiqat di Qarbul Manzil yang terletak di Taif. Kami amat bertuah kerana memasuki Masjidil melalui Pintu Babussalam, salah satu pintu yang penuh keberkatan.

Babussalam, yang bermaksud ‘Pintu Keamanan,’ menjadi simbolik bagi perjalanan rohani yang membawa kedamaian dan ketenangan hati. Setiap langkah ke dalam masjid ini memberi peluang kepada jemaah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan rasa syukur yang mendalam. Usai umrah, keesokan harinya kami dibawa ke Gua Hira’ di Gunung Nur, Kerajaan Arab Saudi kini telah menyediakan laluan anak tangga untuk memudahkan para pengunjung sampai sendiri ke tempat Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama. Pendakian ke Gua Hira’ yang mencabar memberi peluang kepada peserta untuk menghayati kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW pada detik pertama dakwah agama Islam.

Seterusnya Jemaah dibawa ke Masjid Al-Hudaibiyah pula membawa kenangan kepada Perjanjian Hudaibiyah, satu peristiwa penting yang membuka jalan kepada penyebaran Islam secara lebih meluas. Aktiviti menunggang unta di kawasan ini menghidupkan suasana zaman Nabi Muhammad SAW. Para jemaah juga berpeluang membeli cenderahati dengan harga yang lebih murah di kawasan ini.

Kami turut dibawa melihat tempat rukun haji seperti di Muzdalifah adalah lokasi lain yang penting dalam ibadah haji, terletak di antara Arafah dan Mina. tempat jemaah berhenti selepas wukuf di Arafah untuk mengumpul batu-batu kecil. Di sini, jemaah melaksanakan solat berjemaah dalam suasana penuh ketenangan, diikuti dengan hidangan tradisional nasi Arab daging anak unta yang sangat menyelerakan. Sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah, kami singgah sekali lagi di Jeddah untuk memenuhi undangan pihak University Business and Technology, Jeddah.

Dalam lawatan ini juga kami telah dibawa menjamu selera di sebuah restoran mewah terletak betul-betul di tepi Laut Merah menikmati hidangan tengahari di Blue Ocean Restaurant di Miami Beach, Jeddah Madinah: Tempat Bersejarah dan Masjid Ikonik Di Madinah, Masjid Nabawi tersergam indah disinilah masjid yang dijanjikan 1000 kali lebih baik berbanding masjid lain kecuali di Masjidil Haram menurut Riwayat Bukhari dan Muslim dan Ahmad.

Pemandangan di hadapan Masjid Qissas yang sangat cantik dengan landskap menghijau.

Di sinilah juga terletak Maqam Rasulullah berpandukan kubah hijau dan situlah juga terletaknya Taman Syurga Raudah yang kini hanya boleh dimasuki dengan mendaftar menerusi aplikasi Nusuk. Masjid Nabawi dikelilingi hotel-hotel yang indah serta pusat perniagaan yang rancak, malah ada yang beroperasi hampir 24 jam. Semuanya boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki. Tidak jauh dari Masjid Nabawi terletaknya Masjid Saidina Ali.

Tambah memudahkan perjalanan, dan dengan bayaran hanya 10 riyal, dari Masjid Ghamamah kami menaiki buggy car ke Masjid Quba’, masjid pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW selepas hijrah ke Madinah, melambangkan perpaduan antara Muhajirin dan Ansar. Solat di masjid ini dijanjikan ganjaran seperti satu umrah.

Kami turut dibawa ke Telaga Uthman yang pada awalnya dimiliki oleh seorang Yahudi. Kebijaksanaan Uthman seorang yang sangat bijak bernegosiasi dan berpolitik telah berjaya memiliki separuh pemilikan, melalui perjanjian ini pemilik Yahudi dan Uthman bergilir menggunakan telaga tersebut, iaitu satu hari untuk Uthman dan satu hari untuk pemilik asal.

Pada hari yang menjadi pemilikan Uthman, beliau mengumumkan bahawa pengambilan air dari telaga itu adalah secara percuma, akibatnya umat Islam hanya mengambil masa pada hari giliran Uthman dan pada hari pemilik Yahudi tiada siapa yang membeli airnya. Akhirnya pemilik Yahudi berputus asa dan terus menjual telaga tersebut sepenuhnya kepada Uthman. Telaga tersebut dimanfaatkan oleh umat Islam sehinggalah ia ditutup oleh Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini kerana sering dijadikan tempat khurafat meminta hajat.

Selepas melihat Telaga Uthman, kami dibawa ke Masjid Syaikheen yang terletak di Medan Uhud. Masjid ini menjadi saksi persiapan ketenteraan sebelum Perang Uhud, mengingatkan kepemimpinan Rasulullah SAW yang sangat bijak merancang strategi peperangan dengan mengasingkan orang munafik dari menyertai perang. Malah ketika nabi mengatur bala tenteranya, dikatakan hentakan kaki para tentera rasul telah berjaya menggegarkan pihak musuh yang meninjau dari jauh.

Kami juga amat terharu kerana dibawa melihat lokasi di mana Nabi merawat lukanya setelah dilibas pedang musuh. Ketika itu darah yang keluar dari luka nabi tidak berhenti, maka anakanda baginda Saidatina Fatimah membakar sepotong tikar lalu abunya disapu ke luka tersebut sekaligus menghentikan pendarahan dengan cepat.

Lawatan ke Universiti Islam Madinah melengkapkan perjalanan ini, memperlihatkan sumbangan institusi ini dalam melahirkan ramai ulama besar dan memperkaya ilmu pengetahuan Islam.

Secara kesimpulannya, perjalanan selama 14 hari bersama In Saff Travel ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, meninggalkan kesan mendalam di hati penulis. Dari kunjungan ke tempat-tempat bersejarah yang jarang dikunjungi seperti Masjid Qissas di Al Balad dan Gua Hira’ di Mekah, hingga kepada pengalaman rohani yang mendalam di Masjidil Haram dan Masjid Quba’, setiap detik perjalanan ini penuh dengan pengajaran dan makna.

Apa yang membezakan In Saff Travel & Tours Travel daripada agensi pelancongan lain adalah pendekatan mereka yang unik. Mereka membawa jemaah ke lokasi-lokasi yang tidak ditawarkan oleh kebanyakan agensi lain, memberikan dimensi baharu dalam memahami sejarah Islam dan menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat.

Destinasi seperti Taif dengan Masjid Abdullah Ibnu Abbas, Telaga Uthman di Madinah dan pengalaman budaya di Miami Beach, Jeddah, adalah antara tarikan eksklusif yang menjadikan perjalanan ini lebih istimewa.

Selain itu, pakej turut menawarkan pelbagai pilihan pakej yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan setiap pelanggan. Dari pakej ekonomi yang berpatutan sehingga pakej eksklusif dengan penginapan di hotel bertaraf lima bintang seperti Hotel Clock Tower di Masjidil Haram, semuanya diuruskan dengan profesional dengan keselesaan pelanggan sebagai keutamaan.

Keseluruhan pengalaman ini tidak hanya memperkaya pengetahuan sejarah dan rohani, tetapi juga meningkatkan rasa syukur, keinsafan, dan penghargaan terhadap nilai-nilai Islam. Bagi penulis, In Saff Travel & Tours Travel telah membuktikan bahawa perjalanan ibadah tidak sekadar ritual tetapi juga peluang untuk menjejaki sejarah Islam yang mendalam, membuka mata kepada keindahan budaya dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT.

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman penulis yang merupakan bekas wartawan Utusan Malaysia dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button