GAYA HIDUPRENCANA

Dari pramugari ke ratu hartanah, Michelle Lai cipta sejarah ubah suai 39 kondominium serentak

SIAPA sangka, kehilangan pekerjaan boleh membuka pintu rezeki yang lebih besar, lebih luas malah mencipta sejarah tersendiri.

Itulah kisah Michelle Lai, 47, seorang wanita tabah yang pernah terbang tinggi sebagai pramugari, namun kini berdiri megah di tapak projek sebagai usahawan hartanah yang disegani.

Namanya tercatat dalam Rekod ASEAN apabila syarikat miliknya, Auntie Michelle Resources (M) Sdn. Bhd. berjaya menyempurnakan pengubahsuaian 39 unit kondominium serentak dalam tempoh hanya sebulan.

Michelle bersama suaminya, Francis ketika menerima anugerah ASEAN Records kerana kejayaannya mengubah suai 39 unit kondominium serentak baru-baru ini.

Ia satu pencapaian luar biasa yang jarang dikuasai wanita.

“Dulu saya berdiri di ketinggian 30,000 kaki. Kini, saya berdiri di tapak binaan dan saya berbangga dengan kedua-dua pengalaman itu,” ujar Michelle kepada Malaysia Tribune.

Permulaan yang pahit

Segalanya bermula sewaktu pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia pada tahun 2020.

Operasi penerbangan dihentikan, dan Michelle seperti ribuan yang lain kehilangan sumber rezeki utama.

Namun, beliau tidak duduk diam dan terus berusaha meneroka peluang baharu untuk meneruskan survival kehidupan.

Bersama sebahagian pekerja yang menjadi tonggak syarikat Auntie Michelle Resources Sdn. Bhd.

“Saya tiada pengalaman dalam bidang hartanah. Tapi saya mula dengan mengecat, membersih dan menghias rumah kosong milik kawan-kawan. Dari situ saya belajar, cuba dan terus buat,” katanya.

Ternyata langkah kecil itu menjadi tapak kukuh untuk mencapai satu impian yang besar.

Dengan ketabahan dan kerja keras, Michelle mengembangkan perniagaan sehingga dikenali ramai sebagai penyelesai masalah dalam pengurusan sewaan hartanah.

Wanita dalam dunia binaan

Pencapaian mengubah suai 39 unit kondominium melibatkan kerja reka bentuk dalaman, pemasangan perabot, mengecat, sehingga iklan sewaan bukan sahaja satu pencapaian teknikal.

Sebaliknya ia simbol kekuatan wanita yang bangkit dalam bidang yang sebelum ini sinonim dengan kaum lelaki.

Salah satu unit kondominium yang telah siap diubah suai oleh Michelle dan pasukannya.

Lebih membanggakan, operasi itu disiapkan dalam tempoh 192 jam kerja kumulatif dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dalam masa sama, Michelle berjaya memulihkan semula keyakinan ramai pemilik rumah yang kecewa dengan pengalaman penyewa bermasalah.

“Bagi saya, hartanah bukan hanya soal rupa bentuk fizikal. Ia tentang mewujudkan sistem jana pendapatan pasif untuk pemilik rumah dan itu boleh dicapai dengan strategi yang betul,” kongsi beliau.

Formula 3M: Kajian Pasaran, Ubah Suai dan Pengurusan

Kini, Michelle menjenamakan pendekatannya sebagai 3M iaitu Market Study (Kajian Pasaran), Makeover (Ubah Suai) dan Management (Pengurusan).

Ia satu pendekatan menyeluruh untuk memastikan rumah bukan sekadar cantik, tapi mampu menjana keuntungan sebenar untuk pemiliknya.

Michelle membuktikan wanita juga boleh berjaya dalam bidang yang sering didominasi kaum lelaki.

Malah, beliau sedang membina sebuah platform digital interaktif untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia terutama wanita untuk mempelajari strategi sewaan, memahami kajian kes, dan membina rangkaian komuniti pelabur hartanah.

Wanita Melatih Wanita

Apa yang lebih menginspirasikan, Michelle tidak kedekut ilmu. Beliau kini aktif melatih dan membimbing golongan wanita muda untuk menyertai industri binaan, reka bentuk dalaman dan pengurusan hartanah.

“Kita mahu lebih ramai wanita menceburi bidang ini. Bukan sekadar ikut-ikut, tapi betul-betul menjadi pakar dalam urus hartanah dari A hingga Z,” katanya sambil tersenyum.

Kejayaan Michelle mampu menyuntik inspirasi buat golongan wanita di luar sana agar tidak takut mencuba perkara baharu dalam hidup.

Apa yang pasti, Michelle adalah wajah baharu wanita moden yang cekal, berani mencuba dan tidak takut untuk memimpin.

Kisahnya membuktikan, dalam apa jua bidang sekali pun, wanita boleh mencipta kejayaan luar biasa apabila diberi peluang, ruang dan keberanian untuk bangkit semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button