
Dah ke Belum? Jangan lepaskan tarikan hutan tertua dunia ini
MERANCANG satu lagi pengembaraan alam semula jadi bersama rakan atau keluarga tidak lama lagi? Hutan Simpan Royal Belum di Gerik, Perak mungkin destinasi seterusnya yang patut berada dalam senarai untuk dikunjungi.
Dengan keluasan lebih 117,500 hektar, hutan Royal Belum merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia, dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun – lebih tua daripada hutan Amazon dan Congo!
Royal Belum terkenal dengan tarikan biodiversiti luar biasa, menjadi habitat kepada pelbagai spesies haiwan liar seperti harimau Malaya, gajah Asia dan seladang. Faktor ini menjadikannya syurga bagi pelancong dan penyelidik yang mahu mendekati alam semula jadi dalam erti kata sebenar.
Antara tarikan utama yang sering menyapa kehadiran pelancong adalah burung enggang yang juga merupakan ikon hutan penuh khazanah ini. Dianggarkan terdapat 10 spesies enggang di Royal Belum.
Bagi pencinta tumbuh-tumbuhan pula, hutan ini menjadi rumah kepada Rafflesia, bunga terbesar di dunia yang sering mekar di kawasan tertentu seperti Sungai Gadong dan Sungai Papan. Jangan lupa bertanyakan pemandu pelancong anda jika kehadiran anda ‘tepat’ pada masanya.
Direkodkan sebanyak 2,150 spesies tumbuhan menghuni Royal Belum dengan 95 merupakan spesies dikategorikan sebagai terancam peringkat global dan 149 spesies endemik.
Pengunjung juga boleh menaiki bot menyusuri Tasik Temengor sambil menikmati keindahan alam. Beberapa tarikan air terjun seperti Air Terjun Ruok adalah tempat yang sesuai untuk bermandi-manda dan mengabadikan kenangan.


Melawat Perkampungan Orang Asli
Hutan ini turut menjadi tempat tinggal kepada suku kaum orang asli Jahai, salah satu komuniti orang asli utama di Malaysia. Pelancong boleh belajar mengenai budaya dan melihat gaya hidup mereka yang masih mengekalkan elemen tradisional.
Peluang yang ada juga boleh digunakan untuk memancing bagi mereka yang gemarkan aktiviti itu. Tasik Temengor menawarkan pengalaman memancing yang menarik dengan 63 spesies ikan air tawar dan tarikan seperti Kelah, Baung dan Toman.
Jungle Trekking dan Wildlife Spotting
Laluan hutan yang mencabar membawa anda lebih dekat dengan hidupan liar Royal Belum. Jika bernasib baik, anda mungkin dapat melihat tapak kaki harimau atau gajah yang melintasi laluan! Cara termudah untuk menjejak haiwan di hutan ini adalah dengan melawat sira haiwan yang menjadi tempat haiwan menikmati air garam semula jadi.
Berkhemah atau Menginap di Houseboat
Bagi yang ingin merasai pengalaman unik, anda boleh memilih untuk bermalam di houseboat yang terapung di tasik atau berkhemah di kawasan khas dalam hutan.
Keunikan Royal Belum
Tidak seperti destinasi pelancongan biasa, Royal Belum memerlukan permit khas untuk dimasuki kerana ia merupakan kawasan hutan simpan. Ini menjadikannya destinasi eksklusif yang masih belum terjejas oleh pembangunan moden.

Cara Ke Sana
Royal Belum terletak kira-kira lima jam perjalanan dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), menuju ke Jeti Awam Pulau Banding sebelum menaiki bot ke kawasan hutan.
Royal Belum adalah destinasi yang sempurna bagi mereka yang ingin lari dari hiruk-pikuk kota dan merasai keindahan alam semula jadi yang asli.
Jika anda sukakan cabaran, suka meneroka hutan atau ingin menikmati kedamaian tasik dan sungai, inilah tempat yang harus anda kunjungi!

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |