RENCANA

Chatbot Sebenarnya.my: Teknologi AI permudah akses maklumat sahih

PELANCARAN chatbot di laman Sebenarnya.my oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menandakan satu langkah ke hadapan dalam usaha menangani penyebaran maklumat palsu.

Chatbot ini yang berfungsi sebagai pembantu digital, menawarkan pengguna kemudahan untuk mendapatkan maklumat sahih dengan pantas dan berkesan.

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Digital Negara, Ts. Ahmad Tarmizi Abdul Kadir berkata, antara kelebihan utama chatbot ini ialah keupayaannya untuk membantu masyarakat mendapatkan maklumat dengan lebih efisien.

Majlis Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my berlangsung pada 28 Januari lalu oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Cyberjaya.

“Sistem ini mungkin mengambil sedikit masa untuk memberi maklum balas kerana ia melakukan pengesahan terhadap data terlebih dahulu.

“Namun, langkah ini amat penting bagi memastikan setiap jawapan yang diberikan bukan sahaja sahih tetapi juga boleh dipercayai.

“Dengan kebolehan untuk berfungsi dalam empat bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, chatbot Sebenarnya.my dilihat sebagai satu kemajuan besar dalam usaha memastikan rakyat Malaysia lebih celik terhadap maklumat yang mereka terima.

“Penggunaannya juga menjadikan proses menyemak fakta lebih mudah dan menggalakkan masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat,” kata Ahmad Tarmizi kepada Malaysia Tribune.

Ahmad Tarmizi

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik METrO Kuantan, Nor Akashah Kassim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Online di platform media sosial berkongsi pengalamannya menggunakan chatbot ini dan menyifatkannya sebagai contoh bagaimana teknologi boleh membantu masyarakat dalam era digital.

“Selepas menggunakan chatbot Sebenarnya.my ini, ia memberi respons pantas dalam masa nyata. Tak sampai setengah minit, pertanyaan kita sudah dibalas.

“Ia menjadikan chatbot ini sebagai alat yang sangat berguna untuk mendapatkan maklumat segera tanpa perlu menunggu lama. Fungsi ini amat relevan dalam dunia yang serba pantas di mana akses kepada maklumat tepat adalah keutamaan.

“Selain itu, keupayaan chatbot ini untuk memahami kedua-dua bahasa utama, Melayu dan Inggeris selain bahasa Mandarin dan Tamil menjadikannya lebih inklusif dan mesra pengguna.

Berfungsi dalam empat bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, chatbot Sebenarnya.my dilihat sebagai satu kemajuan besar dalam usaha memastikan rakyat Malaysia lebih celik terhadap maklumat yang mereka terima.

“Kelebihan ini amat penting dalam konteks Malaysia, yang mempunyai masyarakat berbilang kaum serta ramai pelancong asing yang mungkin memerlukan pengesahan maklumat berkaitan negara ini,” jelas beliau.

Tambah Nor Akashah, kebolehan chatbot ini membantu pengguna menyemak fakta dengan mudah juga wajar dipuji.

“Saya sendiri telah cuba bertanyakan soalan mengenai larangan perjalanan rakyat Malaysia ke Israel dan menerima jawapan yang tepat dan terperinci.

“Justeru, chatbot ini bukan sahaja memberikan maklumat yang sahih tetapi turut menyertakan sumber rujukan dari laman Sebenarnya.my bagi memastikan pengguna boleh mendapatkan fakta yang lebih lengkap,” katanya lagi.

Nor Akashah

Bagaimanapun, beliau memberitahu, walaupun chatbot ini berfungsi dengan baik dalam menyemak fakta, ia masih terhad dalam memberikan jawapan di luar skop pengesahan maklumat.

“Setakat ini, tanpa info atau fakta, ia tak dapat memberikan maklumat dengan tepat. Chatbot ini bukan seperti ChatGPT.

“Namun, saya percaya chatbot ini masih dalam fasa awal pembangunan dan ia berpotensi untuk diperkembangkan lagi bagi meningkatkan keupayaan kecerdasan buatannya,” ujar Nor Akashah lebih lanjut.

Dengan segala kelebihannya, chatbot ini berpotensi menjadi game changer dalam industri pengesahan fakta di Malaysia.

Chatbot Sebenarnya.my ini boleh menjadi alat utama bagi masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan mengelakkan penyebaran berita palsu.

Jika diberi pendedahan yang lebih besar, chatbot Sebenarnya.my ini boleh menjadi alat utama bagi masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan mengelakkan penyebaran berita palsu.

Apa yang pasti, pelancaran chatbot di laman Sebenarnya.my adalah satu langkah yang signifikan dalam mendigitalisasikan akses kepada maklumat yang tepat.

Dengan penambahbaikan berterusan dan promosi yang lebih meluas, chatbot ini mampu memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih bermaklumat dan bertanggungjawab dalam menyebarkan berita.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button