GAYA HIDUPINISIATIF KERAJAANKEMENTERIAN KOMUNIKASIRENCANA

Cadangan had umur 16 tahun: Strategi lindungi kanak-kanak daripada CSAM

PERLINDUNGAN kanak-kanak dalam era digital kini menjadi keutamaan kerajaan dan masyarakat.

Salah satu ancaman paling serius adalah bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang muncul dalam bentuk imej diubah suai, rakaman dipaksa dan diedarkan melalui kumpulan peribadi atau tertutup.

Penyebaran kandungan sebegini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mangsa tetapi juga membuka ruang kepada eksploitasi berulang, terutamanya bagi kanak-kanak yang mudah terdedah kepada media digital tanpa pengawasan.

Perlindungan digital kanak kanak
Penggunaan gajet bagi kanak-kanak tanpa pengawasan berisiko terhadap eksploitasi dunia digital. – Foto Hiasan

Penemuan terkini menunjukkan bahawa CSAM dihasil dan diedar pada skala yang membimbangkan.

Akaun tanpa nama, rangkaian tertutup dan mekanisme pembayaran tanpa tunai membolehkan bahan ini tersebar luas sebelum penguatkuasaan atau pemadaman dapat dilakukan.

Malah, siasatan turut mendapati keterlibatan belia, menandakan pendedahan awal kepada persekitaran yang berisiko tinggi.

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa strategi perlindungan kanak-kanak perlu bersifat proaktif, berlapis dan melibatkan pelbagai pihak.

Dalam usaha mengurangkan risiko, kerajaan telah mencadangkan umur minimum 16 tahun bagi akses platform digital, disokong oleh kawalan akses berasaskan umur.

Perlindungan digital kanak kanak
Ancaman paling serius adalah bahan penderaan seksual kanak-kanak yang muncul dalam bentuk imej diubah suai atau rakaman secara paksa akibat tindakan individu yang tidak bertanggungjawab. – Foto Hiasan

Langkah itu bertujuan menghalang kanak-kanak memasuki ruang berisiko tinggi tanpa pengawasan sekali gus mencegah pendedahan awal kepada kandungan haram.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Syahirah Abdul Shukor berkata, cadangan menetapkan had umur minima 16 tahun bagi akses ke platform media sosial bukan sekadar langkah pentadbiran tetapi satu strategi penting dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak di alam digital.

“Ia juga bertujuan mengurangkan risiko pendedahan awal terhadap kandungan berbahaya termasuk CSAM selain memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengesan dan mencegah penyalahgunaan sebelum ia berlaku.

“Pendekatan pencegahan seperti ini lebih berkesan daripada langkah responsif semata-mata kerana ia membina mekanisme keselamatan sejak awal,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau, dengan mengawal kehadiran kanak-kanak di bawah 16 tahun, risiko mereka menjadi sasaran ‘grooming’ atau bahan eksploitasi dapat dikurangkan secara signifikan.

“Ini adalah langkah proaktif yang memberi kelebihan dalam pengesanan dan pemantauan oleh pihak berkuasa,” tegasnya.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Syahirah Abdul Shukor.

Bagaimanapun jelas beliau, secara undang-undang, pelaksanaan had umur 16 tahun memerlukan keselarasan dengan peruntukan sedia ada.

Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001 misalnya, mendefinisikan ‘kanak-kanak’ sebagai individu berumur di bawah 18 tahun dan memperuntukkan perlindungan khusus tetapi ia tidak menangani isu pendaftaran dan penggunaan platform digital.

“Sementara itu, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) menetapkan bahawa persetujuan untuk pemprosesan data peribadi kanak-kanak di bawah 18 tahun mesti diberikan oleh ibu bapa atau penjaga dan pindaan mungkin diperlukan untuk memperincikan mekanisme pengesahan umur yang wajib diikuti platform, khususnya bagi mereka yang berusia 13 hingga 15 tahun.

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) pula boleh diperkukuh untuk memasukkan syarat pelesenan atau kod amalan yang mewajibkan penyedia platform mematuhi had umur yang ditetapkan kerajaan Malaysia,” jelas beliau.

Dalam konteks CSAM pula, Dr Syahirah menegaskan bahawa tanggungjawab undang-undang penyedia platform adalah kritikal.

Katanya, penyedia platform seperti Meta, Google dan TikTok perlu mengaplikasikan teknologi pengecaman cap jari digital (hashing) untuk menghalang muat naik CSAM yang dikenali, menggunakan alatan AI dan pasukan moderator bagi mengesan kandungan baharu atau diubah suai serta melaporkan semua penemuan kepada pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa.

“Tanggungjawab platform bukan hanya moral tetapi juga sah di sisi undang-undang. Mereka memainkan peranan penting dalam memastikan bahan haram tidak beredar dan membolehkan pihak berkuasa mengesan serta mengambil tindakan terhadap pesalah siber,” tegasnya.

Menyentuh tentang cabaran dalam penguatkuasaan sekatan umur, Dr Syahirah berkongsi ia termasuklah isu identiti palsu dan akaun anonim.

Ujarnya, platform beroperasi merentasi sempadan dan kebanyakannya hanya bergantung pada pengakuan umur pengguna.

Kebanyakan platform media sosial beroperasi merentasi sempadan dan ia hanya bergantung pada pengakuan umur pengguna.

“Mewajibkan pengesahan identiti digital seperti melalui MyKad menimbulkan isu privasi dan memerlukan rangka kerja perundangan baharu.

“Tambahan pula, kedaulatan undang-undang Malaysia hanya mempunyai bidang kuasa terhad ke atas syarikat asing tanpa entiti operasi di negara ini.

“Justeru, sebarang tindakan penguatkuasaan memerlukan perjanjian bilateral atau mekanisme undang-undang yang mempunyai kesan extraterritorial.

“Selain itu, had umur 16 tahun juga perlu diimbangi dengan hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat dan pendidikan,” katanya lagi.

Dr Syahirah menegaskan bahawa prinsip Best Interest of the Child dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) membenarkan sekatan akses jika bertujuan melindungi keselamatan atau kesihatan kanak-kanak.

“Walau bagaimanapun, undang-undang harus menyediakan pengecualian bagi akses pendidikan atau perkhidmatan penting yang dipantau oleh ibu bapa atau guru supaya hak kanak-kanak untuk belajar dan berkembang tidak terjejas,” jelasnya.

Dari segi penguatkuasaan sedia ada, Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 menetapkan penalti berat termasuk penjara sehingga 20 tahun dan sebatan atau penjara seumur hidup bagi pengeluaran, pengedaran atau pemilikan CSAM.

Cadangan had umur 16 tahun mampu mengurangkan risiko eksploitasi, memperkukuh penguatkuasaan dan menjamin keselamatan digital terhadap kanak-kanak. – Foto Hiasan

Oleh itu, had umur 16 tahun dilihat sebagai mekanisme pencegahan yang melengkapi penguatkuasaan ini kerana ia mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko serta mewujudkan mekanisme pengesanan yang lebih mudah bagi pihak berkuasa.

Kesimpulannya, cadangan had umur minima 16 tahun bukan sekadar garis panduan teknikal tetapi satu pendekatan pencegahan yang mampu mengurangkan risiko eksploitasi, memperkukuh penguatkuasaan dan memberi keselamatan digital lebih efektif kepada kanak-kanak.

“Pendekatan proaktif ini adalah lebih berkesan berbanding langkah responsif semata-mata kerana ia membina asas keselamatan sejak awal dan menyokong kerangka undang-undang sedia ada dalam memerangi jenayah siber terhadap kanak-kanak,” tegas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button