AMRENCANA

Bukan hanya tempat berbincang, Malaysia buktikan ASEAN mampu selesaikan pertikaian tanpa campur tangan tentera asing

Oleh: PROF DR MOHD MIZAN MOHAMMAD ASLAM

KONFLIK sempadan antara Thailand dan Kemboja bukanlah pertikaian baru dalam sejarah Asia Tenggara. Sejak penetapan sempadan oleh penjajah Perancis pada tahun 1907, isu persempadanan sepanjang 818 kilometer antara kedua-dua negara menjadi sumber ketegangan yang berulang.

Beberapa kuil purba yang terletak berhampiran sempadan, khususnya Preah Vihear dan Prasat Ta Moan Thom, menjadi simbol kebangsaan dan titik pertikaian utama yang sering mencetuskan konflik.

Pada Mei lalu, ketegangan kembali meletus apabila berlaku pertempuran antara pasukan tentera kedua-dua negara, yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan yang semakin meruncing menjelang akhir Julai di mana pertempuran artileri berat, serangan udara Thailand dan penutupan sempadan secara unilateral yang meragut puluhan nyawa menggambarkan betapa seriusnya konflik ini. Tuduhan saling menyerang kawasan awam dan penafian tanggungjawab oleh kedua-dua negara menambah kekusutan diplomatik.

Dalam saat genting ini, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 melangkah ke hadapan dan mempamerkan kepimpinan diplomatik yang tegas tetapi berhemah. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam peranannya sebagai pengerusi blok serantau, tampil dengan strategi diplomasi senyap yang akhirnya berjaya membawa dua pemimpin bertelagah iaitu Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai ke Meja Rundingan Khas ASEAN di Putrajaya semalam.

Tanpa sebarang publisiti berlebihan, Anwar merancang satu sesi rundingan yang kompleks, memandangkan Thailand pada awalnya menolak penglibatan pihak ketiga. Namun, pendekatan berperingkat dan berasaskan hubungan peribadi antara pemimpin ASEAN serta usaha membina kepercayaan telah membuahkan hasil. Hasilnya ialah satu gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, berkuat kuasa tepat pada jam 12 tengah malam, yang diumumkan bersama dalam satu kenyataan media tiga pihak.

Anwar turut menegaskan bahawa penyelesaian ini mencerminkan nilai-nilai ASEAN Centrality, prinsip yang diangkat tinggi dalam Joint Communiqué Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 (AMM-58) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

rundingan damai
Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN ketika mesyuarat rundingan damai bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet (kiri) dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai (kanan) di Putrajaya, hari ini. – IZZUDDIN ABD RADZAK/PEJABAT PERDANA MENTERI

Dalam ucapan pembukaan beliau ketika itu, Anwar menyeru kepada pengukuhan kesepaduan dalaman ASEAN serta pentingnya terus berinteraksi dengan dunia luar secara berdikari dan berprinsip. Gencatan senjata Thailand-Kemboja merupakan demonstrasi sebenar kepada seruan ini.

Namun, di sebalik sorotan utama terhadap Anwar, peranan Menteri Luar juga harus diberi penghargaan. Sebelum rundingan berlangsung, Datuk Seri Mohamad Hasan telah terlibat secara aktif dalam dialog dengan Menteri-Menteri Luar Thailand dan Kemboja, ia sekali gus membuka laluan penting bagi Perdana Menteri untuk mengambil tindakan susulan. Keakraban peribadi beliau dengan rakan sejawat ASEAN turut membantu melicinkan proses rundingan.

Sementara itu, kehadiran Amerika Syarikat dan China dalam rundingan ini mengesahkan bahawa konflik ini bukan sahaja bersifat serantau, tetapi juga mendapat perhatian kuasa global. Amerika Syarikat (AS), melalui Presiden Donald J. Trump, memberi tekanan politik kepada Thailand dan Kemboja melalui ancaman mengenakan tarif perdagangan. Tekanan ini berjaya mewujudkan desakan ekonomi yang mempercepatkan kesediaan kedua-dua negara untuk berunding.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut menyatakan bahawa AS menghargai kepimpinan Malaysia dalam menjadi tuan rumah dan pengantara rundingan ini. Malah, AS bertindak sebagai penganjur bersama kepada rundingan damai Putrajaya, menunjukkan peranan aktifnya dalam mendorong kestabilan di Asia Tenggara.

China pula mengambil pendekatan neutral dan konstruktif, seperti yang diumumkan oleh Kedutaan Besar China di Bangkok. Beijing mengekalkan hubungan rapat dengan semua pihak iaitu Thailand, Kemboja dan Malaysia dalam usaha memastikan rundingan berlangsung dalam suasana saling menghormati dan tanpa dominasi politik.

Kehadiran AS dan China dalam satu rundingan ASEAN merupakan detik penting yang menyerlahkan keupayaan Malaysia mengimbangi pengaruh dua kuasa besar dunia dalam lingkungan ASEAN secara berkecuali tetapi strategik.

Implikasi penyelesaian konflik ini amat besar. Pertama, ia menandakan kebangkitan semula kredibiliti ASEAN sebagai mekanisme penyelesaian konflik serantau yang sah dan efektif. Kritikan selama ini terhadap ASEAN sebagai “hanya tempat berbincang” kini dapat disanggah dengan fakta bahawa ASEAN, melalui kepimpinan Malaysia, berjaya menyelesaikan pertikaian bersenjata secara damai tanpa campur tangan ketenteraan asing.

Kedua, ia mengukuhkan naratif Malaysia sebagai negara berkecuali yang mampu menjadi pemudah cara (honest broker) dalam krisis antarabangsa, sekali gus menaikkan reputasi diplomatik negara di mata dunia. Ketiga, kejayaan ini memberi harapan baharu bahawa pertikaian sempadan akibat warisan penjajahan masih boleh dileraikan melalui rundingan dalam semangat kejiranan serantau.

Perdana Menteri Kemboja sendiri menyifatkan gencatan senjata yang dicapai sebagai “keputusan bijak” dan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia atas kepimpinan yang ditunjukkan. Thailand pula menyatakan komitmen untuk melaksanakan gencatan senjata dengan penuh keikhlasan. Media-media antarabangsa seperti BBC pula memuji peranan Anwar sebagai pemimpin yang berani tampil dengan penyelesaian tegas.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim, bersama Hun Manet (kiri) dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai sejurus mesyuarat rundingan damai di antara kedua buah negara di Putrajaya, semalam. Foto : PMO

Dalam Joint Communiqué AMM-58, ASEAN menegaskan komitmen terhadap penyelesaian damai, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan prinsip ASEAN Centrality sebagai teras kepimpinan serantau. Malaysia telah membuktikan bahawa prinsip ini bukan sekadar retorik, tetapi boleh diterjemahkan kepada tindakan nyata yang mencegah pertumpahan darah.

Kejayaan ini ialah bukti bahawa ASEAN masih relevan dan dengan Malaysia di barisan hadapan, rantau ini mampu melakar masa depannya sendiri tanpa perlu tunduk kepada tekanan kuasa luar.

PROF DR MOHD MIZAN MOHAMMAD ASLAM
  • Penulis merupakan Pensyarah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button