
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, media sosial telah menjadi platform utama bagi anak muda untuk berbicara tentang pelbagai isu termasuk sesuatu yang lebih peribadi seperti trauma.
Jika dahulu pengalaman hidup yang menyakitkan jarang sekali dikongsikan kepada umum, kini kita sering melihat kisah-kisah trauma disebarkan di platform seperti X, TikTok, Instagram dan lain-lain.
Fenomena ini menimbulkan persoalan kenapa anak muda begitu terbuka untuk membincangkan trauma mereka di media sosial? Adakah ini membawa kebaikan atau sebaliknya?

Bagi ramai anak muda, media sosial dianggap sebagai ruang selamat untuk meluahkan perasaan. Mereka boleh berkongsi pengalaman tanpa perlu menghadapi reaksi secara langsung seperti di dunia nyata.
Tambahan pula, pengguna media sosial sering kali menyokong satu sama lain, mencipta komuniti yang penuh empati.
Misalnya, apabila seseorang berkongsi tentang pengalaman trauma, komen-komen yang diterima biasanya berbentuk sokongan seperti You’re so brave for sharing this atau I feel you.
Platform seperti TikTok, X dan Instagram juga memberikan anak muda peluang untuk menceritakan kisah mereka secara kreatif, sama ada melalui video pendek, utas (thread) atau meme.
Format ini bukan sahaja menarik perhatian, tetapi juga membantu menjadikan perbincangan tentang trauma lebih mudah dihadam oleh khalayak.
Satu lagi faktor yang mendorong anak muda berkongsi tentang trauma mereka ialah normalisasi perbincangan isu-isu kesihatan mental.
Di media sosial, istilah seperti anxiety, PTSD, dan toxic relationships sudah menjadi perkara biasa.
Generasi muda tidak lagi melihat trauma sebagai sesuatu yang perlu disembunyikan, tetapi sebagai topik penting untuk difahami dan dibincangkan.
Di samping itu, peningkatan kesedaran tentang kesihatan mental melalui kempen-kempen global dan tempatan turut memberi impak kepada cara anak muda melihat trauma.
Sebagai contoh, program seperti Kempen #StandTogether di Malaysia yang mempromosikan empati dan sokongan antara generasi muda telah memainkan peranan penting dalam normalisasi perbincangan isu-isu kesihatan mental.
Media sosial menjadi medium utama untuk menyampaikan mesej-mesej ini, menjadikan generasi muda lebih peka terhadap kepentingan berkongsi dan mencari sokongan.
Di samping itu, algoritma platform media sosial seperti TikTok sering kali mengutamakan kandungan yang mendapat banyak perhatian.
Kisah-kisah trauma peribadi yang menyentuh emosi cenderung untuk menarik interaksi seperti komen, tanda suka dan perkongsian.

Analisis oleh Emplifi yang dilaporkan oleh Business Insider pada Julai 2023 menunjukkan bahawa TikTok mempunyai kadar penglibatan yang tinggi manakala Instagram Reels mempunyai capaian dan interaksi yang lebih luas.
Fenomena ini membuktikan bahawa kandungan sebegini bukan sahaja menarik perhatian malah juga mencipta gelombang viral yang besar.
Apabila seseorang berkongsi pengalaman trauma, video atau ciapan, mereka berpotensi menjadi viral.
Ini bukan sahaja memberi peluang untuk cerita tersebut didengar, tetapi juga membuatkan pengguna lain merasa terdorong untuk berkongsi pengalaman mereka sendiri.
Fenomena ini mencetuskan kesan domino di mana ia menggalakkan lebih ramai berkongsi trauma mereka.
Sebagai contoh, satu video tentang hubungan toksik boleh mencetuskan perbualan panjang di bahagian komen, di mana pengguna lain turut berkongsi pengalaman serupa.
Hal ini menunjukkan bagaimana media sosial berfungsi sebagai ruang kolektif untuk memahami dan mengatasi trauma.
Walaupun perbincangan tentang trauma di media sosial membawa banyak manfaat, ia juga datang dengan risiko.
Pakar Psikologi dan Pengasas CPC International, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, meluahkan perasaan di platform media sosial boleh membantu individu dengan kebimbangan sosial kerana maklum balas positif yang diterima dapat memberikan kelegaan.
Namun, beliau menasihatkan bahawa perkongsian perlu mempunyai batasan, terutamanya apabila melibatkan konflik peribadi kerana tindakan ini boleh mengundang masyarakat menjadi ‘hakim tidak bertauliah’ yang hanya akan memperburuk situasi.
Salah satu risiko yang sering dibincangkan ialah eksploitasi trauma untuk mendapat perhatian atau clout.
Dalam usaha untuk menjadi relevan atau viral, ada pengguna yang mungkin sengaja memperbesar atau mencipta cerita trauma yang tidak benar.
Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Azrul Zafri Azmi turut mengingatkan bahawa tindakan berkongsi emosi secara terbuka di media sosial boleh mengundang risiko lain, seperti penyalahgunaan data peribadi oleh pihak berniat buruk.
Beliau menekankan bahawa media sosial sepatutnya digunakan untuk menyebarkan perkara positif dan bermanfaat, bukannya untuk mengundang manipulasi.
Ini bukan sahaja merosakkan kepercayaan komuniti, tetapi juga menghilangkan fokus daripada mereka yang benar-benar memerlukan sokongan.
Selain itu, berkongsi trauma di ruang umum boleh membuka pintu kepada komen negatif atau serangan peribadi.
Tidak semua pengguna media sosial bersikap empati dan sesetengahnya mungkin menggunakan maklumat peribadi yang dikongsi untuk tujuan yang tidak baik.
Hal ini boleh menyebabkan mangsa trauma mengalami tekanan tambahan, bertentangan dengan tujuan asal mereka untuk mencari sokongan.
Pakar kesihatan mental mempunyai pandangan berbeza tentang sama ada berkongsi trauma di media sosial membantu atau tidak.
Kajian oleh Journal of Adolescent Health pada tahun 2024 menganalisis video TikTok berkaitan kemurungan dan kebimbangan.
Ia mendapati video yang menampilkan pengalaman peribadi memperoleh kadar penglibatan yang lebih tinggi berbanding video oleh profesional kesihatan.
Walau bagaimanapun, pakar juga mengingatkan bahawa sokongan profesional tetap penting kerana hanya 30 perarus daripada mereka yang berkongsi di media sosial benar-benar mendapatkan terapi untuk menguruskan trauma mereka secara mendalam.
Sesetengah pakar percaya bahawa berkongsi pengalaman boleh menjadi sebahagian daripada proses penyembuhan, terutamanya jika individu tersebut menerima sokongan positif.
Namun, mereka juga mengingatkan bahawa penyembuhan memerlukan lebih daripada sekadar berkongsi di media sosial.
Sokongan profesional, seperti kaunseling atau terapi tetap penting.
Sebaliknya, ada pakar yang bimbang tentang potensi ‘retraumatization’, iaitu apabila seseorang mengalami semula trauma akibat menceritakan pengalaman tersebut berulang kali.

Mereka juga memberi amaran tentang risiko membandingkan trauma, di mana individu merasa pengalaman mereka tidak cukup parah berbanding dengan orang lain yang akhirnya merendahkan nilai perasaan mereka sendiri.
Oleh itu, untuk memastikan perbincangan tentang trauma di media sosial membawa lebih banyak manfaat daripada mudarat, beberapa langkah boleh diambil:
1. Gunakan Medium Dengan Bijak
– Berkongsi tentang trauma adalah hak individu, tetapi ia perlu dilakukan dengan kesedaran penuh tentang potensi risiko.
– Pastikan anda hanya berkongsi apa yang anda selesa untuk didedahkan kepada umum.
2. Cari Komuniti Yang Sesuai
– Media sosial menawarkan pelbagai komuniti sokongan seperti kumpulan Facebook atau hashtag tertentu di X.
– Pilih ruang yang selamat dan penuh empati untuk berkongsi pengalaman anda.
3. Jangan Abaikan Bantuan Profesional
– Berkongsi di media sosial tidak seharusnya menggantikan bantuan profesional.
– Jika anda merasa trauma anda mengganggu kehidupan harian, dapatkan bantuan daripada kaunselor atau ahli terapi.
Perbincangan tentang trauma di media sosial mencerminkan perubahan besar dalam cara generasi muda berkomunikasi dan memahami kesihatan mental.
Walaupun terdapat risiko tertentu, fenomena ini menunjukkan bagaimana media sosial boleh menjadi alat yang berkuasa untuk menyokong satu sama lain.
Namun, adalah penting untuk menyeimbangkan keterbukaan ini dengan perlindungan privasi dan sokongan profesional.
Trauma bukan sekadar cerita untuk diceritakan, tetapi pengalaman yang memerlukan pemahaman, empati dan penyembuhan yang berterusan.
Oleh NUR KHAMELIA SYUHADA RAZALI
Pelajar Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |