
Belasungkawa: Tun Abdullah pewaris keilmuan ulama, pemimpin berjiwa mulia
DI halaman sejarah bangsa, tertulis satu nama yang pernah mengalirkan damai di tengah gelora – Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Allahyarham yang mesra disapa Pak Lah pergi dalam keadaan tenang menjelang Maghrib petang semalam (14 April 2025), seperti lembutnya hembusan bayu, meninggalkan wangian jasa yang tak akan hilang ditelan waktu.
Pemimpin berjiwa arif, penutur hikmah yang memayungi rakyat dengan akhlak, bukan amarah; dengan doa, bukan cela.

Kini, bumi Malaysia berselimut duka, namun langit mendoakan seorang hamba yang kembali ke pangkuan Yang Maha Esa.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Makam Pahlawan yang terletak di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Ribuan rakyat dari segenap lapisan masyarakat termasuk para pemimpin atasan memberikan penghormatan terakhir buat Tun Abdullah.
Media sosial juga dipenuhi dengan kisah-kisah kebaikan dan jasa Allahyarham sepanjang lebih tiga dekad Allahyarham mengabdikan diri pada agama, bangsa dan negara.
Pemergian Allahyarham Tun Abdullah bukan sahaja mengakhiri sebuah era dalam sejarah politik Malaysia, tetapi turut merakamkan kehilangan seorang pemimpin yang mewarisi keilmuan ulama dan membawa pendekatan Islam yang seimbang dalam pentadbiran negara.

Dilahirkan pada 26 November 1939, Allahyarham bukanlah figura politik semata-mata tetapi juga adalah cucu kepada seorang ulama tersohor negara, Tuan Guru Haji Abdullah Fahim.
Datuknya merupakan seorang tokoh agama dan ahli falak terkenal yang turut memainkan peranan penting dalam penetapan tarikh kemerdekaan negara pada tahun 1957.
Keilmuan dan keteguhan pegangan agama yang diwarisi daripada datuknya menjadi asas kepada pendekatan kepimpinan Tun Abdullah yang bersifat sederhana, berakhlak dan penuh hikmah.
Kepimpinan Islamik dalam kerangka negara
Sepanjang pentadbirannya sebagai Perdana Menteri kelima dari tahun 2003 hingga 2009, Tun Abdullah dikenali sebagai pemimpin yang membawa suara Islam dalam bentuk yang harmoni dan inklusif.
Beliau memperkenalkan konsep Islam Hadhari, sebuah pendekatan pembangunan berteraskan prinsip-prinsip Islam yang mementingkan kemajuan duniawi tanpa mengabaikan nilai-nilai rohani.

Melalui Islam Hadhari, beliau menekankan aspek seperti pemerintahan berintegriti, keadilan sosial, penguasaan ilmu, ekonomi beretika dan kesejahteraan rakyat.
Pendekatan itu bukan sahaja memperlihatkan keterbukaan beliau dalam mendepani realiti globalisasi, tetapi juga mencerminkan kefahaman mendalam beliau terhadap maqasid syariah iaitu tujuan-tujuan utama yang ingin dicapai oleh syariat Islam.
Warisan J-QAF: Legasi pendidikan Islam
Salah satu sumbangan paling berimpak tinggi Tun Abdullah dalam bidang pendidikan Islam ialah pelaksanaan Dasar J-QAF pada tahun 2005.
Program ini memperkenalkan pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain secara sistematik dalam arus perdana pendidikan negara.
Tujuannya jelas bagi melahirkan generasi muda Muslim yang celik al-Quran, mampu membaca dan memahami asas agama serta tidak terputus daripada akar warisan bangsa dan agama.

Dasar itu juga memberi peluang pekerjaan kepada puluhan ribu graduan pengajian Islam dari dalam dan luar negara, sekali gus mengarusperdanakan pendidikan agama secara berstruktur.
Hari ini, J-QAF masih menjadi teras penting dalam sistem pendidikan rendah negara dan diteruskan oleh pentadbiran-pentadbiran selepas beliau.
Pastinya ia akan menjadi antara pahala jariah yang terus mengalir buat Allahyarham di alam sana.
Pewaris dakwah tersirat
Ironinya, Tun Abdullah tidak lantang dalam pidato dan ceramah, tetapi suaranya penuh ketenangan serta membawa hikmah.
Beliau memimpin dengan nada damai dan penuh kesederhanaan seiring dengan nilai-nilai yang dipupuk oleh datuknya sebagai seorang ulama.

Dalam banyak hal, beliau menunjukkan contoh pemimpin yang tidak mementingkan kuasa, bahkan sanggup berundur apabila diperlukan, demi kestabilan dan keharmonian negara.
Beliau adalah cerminan bahawa kekuasaan itu adalah amanah, bukan milik kekal seseorang pemimpin.
Ketika menghadapi tekanan politik pada tahun 2009, beliau menyerahkan kuasa secara terhormat, memperlihatkan kematangan dan akhlak seorang pemimpin Muslim yang sebenar.
Berakhirnya perjalanan duniawi
Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menutup tirai kehidupannya, tetapi warisan keilmuan dan pendekatan Islamiknya akan terus hidup dalam sistem, dasar dan hati rakyat Malaysia selamanya.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, mengangkat darjatnya dalam kalangan solihin dan mengganjari segala amal serta khidmat baktinya buat agama, bangsa dan negara.

Al-Fatihah buat negarawan ulung, Tun Abdullah Ahmad Badawi (26 November 1939 – 14 April 2025)
Puisi Nukilan Tun Abdullah Ahmad Badawi
Ku Cari Damai Abadi
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah Nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi
Puisi itu juga pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia oleh Dr. Victor Pogadaev, seorang Profesor Madya yang berkhidmat di Universiti Malaya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |