
TUN Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dikenali oleh rakyat Malaysia sebagai Pak Lah merupakan tokoh negarawan yang memberi sumbangan besar dalam sejarah kepimpinan negara.
Beliau yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima (2003 hingga 2009) dikenang bukan sahaja kerana dasar-dasarnya tetapi juga kerana keperibadiannya yang luhur, kepimpinannya yang penuh wasatiah dan pendekatan yang lembut namun cukup berkesan.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Kepala Batas, Pulau Pinang, Tun Abdullah berasal daripada sebuah keluarga yang dihormati dan berpengaruh dalam bidang agama dan pendidikan.
Datuk beliau, Syeikh Abdullah Badawi Fahim, merupakan seorang ulama terkenal dan antara tokoh penting dalam gerakan pendidikan Islam di Tanah Melayu. Ayahnya pula, Ahmad Badawi ialah seorang guru agama dan ahli politik yang pernah menjadi ahli parlimen.

Berlatarbelakang keluarga yang berpegang teguh kepada nilai-nilai agama dan pendidikan membentuk jiwa dan pemikiran Tun Abdullah sejak dari kecil, menjadikannya seorang yang cintakan ilmu dan berakhlak tinggi.
Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Melayu Kampung Perlis di Kepala Batas sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Inggeris Bukit Mertajam.
Beliau kemudiannya diterima masuk ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sebuah institusi berprestij yang banyak melahirkan pemimpin negara.
Minatnya terhadap ilmu Islam membawa beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Islam di mana beliau menamatkan pengajiannya pada tahun 1964.
Pengalaman pendidikan yang dilaluinya membentuk asas kepada pendekatan kepimpinan berlandaskan prinsip moral, keadilan dan nilai-nilai Islam sejagat.
Tun Abdullah terkenal dengan sifatnya yang tenang, sopan dan merendah diri. Beliau bukanlah pemimpin yang suka menonjolkan diri atau menimbulkan kontroversi sebaliknya sering mengambil pendekatan diplomasi dan harmoni dalam menyelesaikan masalah.

Dalam arena politik yang sering sarat dengan perbalahan dan tekanan, beliau memilih jalan damai dan sentiasa bersikap terbuka dalam mendengar pandangan semua pihak.
Pendekatan itu menjadikan beliau dihormat oleh kawan dan lawan politik serta disayangi oleh rakyat jelata.
Semasa menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau memperkenalkan konsep Islam Hadhari, iaitu satu pendekatan Islam yang menekankan pembangunan menyeluruh dalam kehidupan umat Islam tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dan kemajuan moden.
Islam Hadhari menekankan aspek seperti tadbir urus yang baik, integriti, pembangunan modal insan, serta keseimbangan antara rohani dan material.
Konsep ini bukan sahaja diterima di peringkat nasional, malah mendapat perhatian di peringkat antarabangsa sebagai satu model Islam yang progresif dan inklusif.
Salah satu kehebatan Tun Abdullah adalah komitmennya terhadap integriti dalam pentadbiran. Di bawah pimpinannya, pelbagai usaha dilakukan untuk memerangi rasuah dan memperkukuh institusi negara.
Penubuhan Institut Integriti Malaysia merupakan antara inisiatif utama yang mencerminkan iltizam beliau dalam memastikan pentadbiran yang bersih dan telus. Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperkasa sistem kehakiman dan perkhidmatan awam dengan pendekatan berasaskan nilai dan akauntabiliti.
Selain itu, Pak Lah juga memperkenalkan pelbagai dasar ekonomi dan pembangunan yang berpaksikan rakyat. Penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui pelaburan dalam pendidikan, latihan, dan penyelidikan telah membuka ruang kepada golongan muda untuk meningkatkan daya saing dan kemahiran.
Di bawah pentadbirannya, beliau turut memperkenalkan beberapa pembangunan koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia, Koridor Ekonomi Utara (NCER) dan SCORE di Sarawak bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang di seluruh negara.
Dalam hubungan antarabangsa, Tun Abdullah membawa Malaysia ke arah pendekatan diplomasi yang berhemah dan damai. Beliau menjalin hubungan baik dengan negara-negara jiran, kuasa besar dan negara Islam lain dengan penuh kebijaksanaan, menjadikan Malaysia sebuah negara yang disegani di mata dunia.
Pendekatan luar negeri yang sederhana dan tidak ekstrem sejajar dengan falsafah beliau yang mementingkan keamanan dan kerjasama sejagat.
Tun Abdullah juga menunjukkan ketabahan dan kebijaksanaan apabila berdepan tekanan politik dalaman menjelang penghujung pentadbirannya.
Walaupun berdepan desakan untuk berundur, beliau tidak bertindak balas secara emosional, sebaliknya mengurus peralihan kuasa kepada penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan penuh tertib dan maruah.

Tindakan itu memperlihatkan kewibawaan beliau sebagai seorang negarawan yang mengutamakan kestabilan negara dan perpaduan rakyat.
Selepas bersara, Tun Abdullah terus dikenang sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan berakhlak mulia. Warisan kepimpinannya bukan sekadar terletak pada dasar-dasar yang ditinggalkannya, tetapi lebih penting lagi pada contoh keperibadian yang ditunjukkannya kepada seluruh rakyat.
Beliau membuktikan bahawa seorang pemimpin tidak perlu bersuara lantang atau menggunakan kekerasan untuk membawa perubahan, tetapi cukup dengan kejujuran, kebijaksanaan dan kesederhanaan.
Sesungguhnya, kehebatan peribadi Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi inspirasi kepada generasi pemimpin masa hadapan.
Beliau adalah contoh dan lambang seorang pemimpin yang memimpin dengan hati dan prinsipi, bukan semata-mata dengan kuasa. Al-Fatihah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |