GAYA HIDUPRENCANA

Bekas jurutera pilih jual tempe, terima banyak tempahan di Rembau

Oleh AZWEEN IRMA ZAINAL

SIAPA sangka seorang graduan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sanggup meninggalkan kerjaya profesional untuk menceburi dunia keusahawanan makanan tradisional – khususnya tempe.

Itulah kisah penuh inspirasi Muhammad Alif Danial Zulhisham, 27, yang kini menetap di daerah Rembau, Negeri Sembilan.

Beliau aktif mengusahakan perniagaan tempe buatan sendiri yang semakin mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Muhammad Alif gembira kerana tempe buatannya mendapat sambutan daripada masyarakat di daerah Rembau.

Lahir pada tahun 1998 dan berasal dari Kampung Datuk Hijau, Mukim Chembong, Muhammad Alif membesar dalam keluarga sederhana.

Setelah menamatkan pengajian di UTM, beliau pernah bekerja dalam bidang kejuruteraan selama beberapa tahun, namun mengambil keputusan besar untuk pulang ke kampung apabila ibunya mula mengalami masalah kesihatan yang memerlukan perhatian sepenuh masa.

“Ketika itu saya rasa hidup saya berada di persimpangan. Sama ada terus mengejar kerjaya di bandar atau pulang dan jaga ibu.

“Akhirnya saya pilih untuk balik dan dari situ saya mula fikir bagaimana nak jana pendapatan dari kampung sendiri,” ujarnya.

Segalanya berubah apabila beliau menyertai Program Upaya Bakat anjuran Kolej Komuniti Rembau pada tahun 2024, satu program yang dilaksanakan di bawah peruntukan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Melalui program itu, peserta diberi pendedahan kepada pelbagai kemahiran teknikal dan asas keusahawanan yang membantu mereka memulakan perniagaan sendiri.

Peluang menyertai Program Upaya Bakat anjuran Kolej Komuniti Rembau membuatkan Muhammad Alif bersemangat meneruskan cita-cita menjadi usahawan.

Program itu juga merupakan antara inisiatif penting dalam mendokong agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau usia, untuk menimba ilmu baharu dan memperkukuh kemahiran selaras dengan keperluan semasa.

“Saya mula dengan hanya beberapa kilo kacang soya sehari, proses semua sendiri secara kecil-kecilan.

“Tapi saya sangat titikberatkan kebersihan dan kualiti. Itu yang membuat pelanggan kekal dan mula memperkenalkan kepada orang lain,” jelasnya.

Kini, beliau menerima tempahan tempe hampir setiap hari dari sekitar daerah Rembau, termasuk dari pasar-pasar tani, gerai makanan dan pelanggan tetap di kawasan perumahan.

Tempe hasil tangannya dikenali bukan sahaja kerana rasa yang enak, malah kerana proses penghasilannya yang bersih dan konsisten.

“Saya gunakan kacang soya gred premium dan proses penapaian dikawal rapi. Setiap langkah saya buat dengan teliti, dari rendaman hingga pembungkusan.

“Saya juga belajar banyak perkara tentang kawalan kualiti semasa kursus dulu,” tambah beliau yang turut menerima bimbingan berterusan daripada pensyarah Kolej Komuniti Rembau.

Penggunaan kacang soya gred premium menjadikan produk tempe yang dihasilkan Muhammad Alif digemari ramai.

Beliau kini dalam perancangan untuk memperluaskan pengeluaran dengan menambah tenaga kerja sambilan dan menambah kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, terutama menjelang musim perayaan.

Muhammad Alif juga sedang merancang untuk mengembangkan perniagaan secara atas talian melalui platform e-dagang dan aplikasi penghantaran makanan tempatan.

“Saya percaya rezeki itu luas. Saya tak pernah jangka, daripada kejuruteraan kini saya berniaga tempe, tapi inilah jalan yang memberi makna besar dalam hidup saya,” katanya sambil tersenyum.

Kisah Muhammad Alif menjadi bukti bahawa kejayaan tidak semestinya datang dari laluan konvensional.

Dengan semangat, keazaman dan kesungguhan untuk mencuba sesuatu yang baru, beliau bukan sahaja berjaya mencipta kehidupan yang lebih baik untuk dirinya, malah turut memberi inspirasi kepada anak muda luar bandar yang ingin berdikari melalui keusahawanan.

Lebih penting, kisah beliau mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai landasan untuk rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan cabaran hidup sambil terus menambah nilai diri — bukan hanya untuk kerjaya, malah untuk kehidupan secara keseluruhan.

* Penulis merupakan Pensyarah dan Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kolej Komuniti Rembau, Negeri Sembilan

Azween Irma Zainal

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button