
Oleh DR. SITI SURIANI OTHMAN
APAKAH sebenarnya erti kejayaan dalam dunia akademik hari ini? Adakah ia diukur pada panjang gelaran, berapa banyak anugerah yang diraih atau bilangan artikel yang tercetak di jurnal terkemuka?
Atau tidak keterlaluan jika dikatakan ia perlu lebih dalam daripada itu – menyentuh nilai dan makna tapi bukan sekadar angka.
Dalam suasana akademik yang kian mencabar di mana penyelidik berhadapan tekanan penerbitan, penilaian KPI dan tuntutan pengajaran yang tiada henti, timbul satu persoalan penting – bagaimana golongan akademik dapat membina kerjaya akademik yang bukan sahaja bertahan, tetapi juga memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat dan tamadun ilmu.
Persoalan inilah yang cuba dijawab oleh Pensyarah Kanan di Mahidol University International College (MUIC), Thailand, Prof Madya Dr. Bablu Kumar Dhar dalam satu syarahan khas yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.

Beliau bukan tokoh asing bagi USIM kerana Dr. Bablu ialah alumni universiti ini yang pernah menempuh laluan penyelidikan di sini sebelum melangkah ke pentas global.
Dalam syarahannya bertajuk Building a Sustainable Academic Career: Leveraging Intellectual Capital for Research, Innovation and Collaboration, Dr. Bablu menggariskan satu gagasan penting.
Menurut beliau, kejayaan akademik yang hakiki tidak bergantung kepada pencapaian lahiriah semata-mata, tetapi bertunjangkan modal intelek yang terdiri daripada gabungan tiga unsur utama – modal insan, modal hubungan dan modal struktur.
Modal insan, katanya, merujuk kepada ilmu, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki seorang sarjana.
Namun ia bukan sekadar kelulusan atau jawatan, tetapi keupayaan sebenar dalam mengajar, menyelidik dan menyumbang kepada bidang secara aktif dan relevan.
Modal hubungan pula ialah jaringan yang dibina yang bukan hanya dengan rakan sejawat di dalam negara, tetapi juga melalui kolaborasi rentas sempadan.
Dalam satu kajian yang dikongsikan beliau, sebuah pasukan penyelidik dari 22 negara berjaya menghasilkan kajian yang memberi impak besar — bukti bahawa jaringan antarabangsa mampu memperluas capaian dan memperkukuh reputasi penyelidik.
Modal struktur pula, melibatkan pencapaian akademik seperti penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi, pembangunan teori dan penyertaan dalam kepemimpinan institusi.
Ketiga-tiga modal ini, menurut beliau, saling melengkapi dan menjadi asas kepada kerjaya akademik yang berdaya tahan.
Namun, Dr. Bablu juga mengingatkan bahawa modal intelek ini tidak akan bermakna tanpa strategi penerbitan yang sistematik.
Penerbitan dalam jurnal terindeks seperti Scopus atau Web of Science menuntut ketelitian bukan sahaja dari segi isi, tetapi juga gaya penulisan, pematuhan etika dan kesesuaian metodologi.
Malah, kesilapan kecil seperti format rujukan boleh membawa kepada penolakan awal.
Tetapi beliau menegaskan: “Penolakan itu bukan penamat. Ia satu proses pembelajaran.”
Apa yang penting ialah keberanian untuk menyemak semula, memperbaiki, dan menghantar semula.
“Nikmatilah kesakitan dalam proses menerbitkan kertas penyelidikan. Ia memang menyakitkan, tetapi itulah jalan untuk membina legasi keilmuan yang kekal,” katanya.
Kini, sebagai penyelidik yang tersenarai dalam Top 10 Researchers di Mahidol University bagi tahun 2025, Dr. Bablu berdiri sebagai contoh bahawa laluan akademik yang jujur, berprinsip dan berasaskan nilai intelek mampu membawa seseorang melangkaui sempadan negara dan budaya.
Di penghujung syarahannya, beliau meninggalkan satu mesej yang cukup kuat bahawa kerjaya akademik yang mapan bukan tentang siapa paling pantas menerbitkan, tetapi siapa yang paling bersungguh membina nilai yang kekal.
Di zaman yang memuja pencapaian segera, nasihat ini ibarat peringatan lembut bahawa dalam dunia ilmu, apa yang paling berharga bukanlah angka, tetapi makna.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |