RencanaGaya Hidup

Alahan makanan berisiko ancam nyawa

BAYANGKAN sebutir kacang, setitis susu, sekeping roti atau pun seekor udang boleh membawa maut. Inilah realiti menakutkan yang dihadapi oleh individu yang mengalami alahan makanan yang serius.

Alahan atau alergi makanan bukan sekadar reaksi kecil, sebaliknya ia boleh menjadi ancaman terhadap nyawa, menyebabkan kejutan anafilaksis yang memerlukan tindakan segera.

Pengambilan makanan yang tertentu boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami alahan pada kulit mereka.

Seorang pemuda, Muhammad Harith Haikal Mohd Fauzie, 29, berkongsi, sejak kecil dia tidak dapat menikmati keenakan makanan laut seperti udang, sotong dan ketam.

Ini kerana makanan itu dilarang sama sekali oleh ibunya demi menjaga keselamatan anak sulung daripada dua beradik itu.

Semuanya gara-gara dia hampir kehilangan nyawa pada usia lima tahun selepas memakan menu udang goreng yang dimasak si ibu.

“Tidak sampai beberapa minit selepas menikmatinya, tiba-tiba mata saya terasa sangat gatal dan sakit. Ibu kata mata saya membengkak dengan cepat sehingga terjojol seperti mahu keluar.

“Terkejut dengan situasi tersebut, ibu dan ayah terus membawa saya ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan. Selepas menerima satu suntikan, barulah mata saya beransur pulih.

“Sejak itu, barulah ibu tahu bahawa saya alah pada makanan laut,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Alahan mempunyai spektrum daripada simptom yang ringan hingga serius dan boleh mengancam nyawa.

Bagaimanapun, seiring peredaran waktu, Muhammad Harith Haikal memberitahu, dia kini sudah boleh menikmati sajian seperti udang dan sotong tanpa bimbang diserang alahan lagi.

Pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Julina Md. Noor berkata, alergi atau alahan yang dialami seseorang itu boleh hilang seiring peningkatan usia.

“Memang ada kes pesakit yang mengalami alahan makanan ketika kecil, kemudian apabila meningkat dewasa, simptom alahan tersebut hilang. Begitu juga dengan anak-kanak kecil yang mengalami asma atau semput, penyakit mereka boleh pulih kerana sifatnya tidak kekal.

“Ia juga mungkin disebabkan gaya hidup sihat yang dijalani,” jelas Dr. Julina yang merupakan salah seorang doktor pakar bahagian perubatan kecemasan di Hospital UiTM Sungai Buloh.

Dr. Julina

Tambah beliau, alahan mempunyai spektrum daripada simptom yang ringan hingga serius.

“Jika seseorang itu berdepan alahan ringan, mereka akan mengalami keadaan seperti naik ruam di permukaan kulit dan gatal-gatal.

“Namun ada juga yang mengalami simptom alahan serius hingga menyebabkan kesukaran untuk bernafas, muntah, sakit perut, pengsan dan lebih membahayakan ia boleh membawa maut.

“Justeru itu, jika pesakit hanya mendapat simptom alahan ringan, mereka boleh dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Manakala bagi alahan yang teruk, pesakit perlu segera dikejarkan ke unit kecemasan hospital bagi rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Dr. Julina lagi, seseorang yang mengalami alahan tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap alergi yang dialami kerana ia boleh membahayakan nyawa.

Ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak bebas daripada pengambilan makanan yang membawa pada alahan.

“Mereka perlu mengetahui punca alahan terutama jika mengalami alahan pada ubat. Jika perkara ini tidak dititikberatkan, kemungkinan ia akan berulang lagi dan kadangkala kesan alahan tersebut akan menjadi lebih serius daripada yang sebelumnya.

“Nasihat saya kepada ibu bapa yang yang mempunyai anak-anak dengan simptom alahan, mereka perlu peka kepada perkara yang boleh mendatangkan alahan seperti makanan, bulu binatang, sabun dan sebagainya.

“Jangan ambil mudah perkara ini jika mahu anak-anak menjalani kehidupan yang baik. Paling penting segera dapatkan rawatan apabila ada simptom alahan walaupun kecil,” ujarnya.

Kekacang adalah salah satu jenis makanan yang boleh menyebabkan alahan pada manusia.

Portal MyHealth kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, alahan bermaksud perubahan aktiviti sebagai tindak balas hipersensitif. Ia berlaku apabila sistem pertahanan badan bertindak balas terhadap bahan asing yang memasuki badan.

Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) pula mengklasifikasikan alahan atau alergi ialah satu keadaan di mana sistem ketahanan tubuh kita bertindak balas secara berlebihan terhadap bahan yang tidak berbahaya yang disebut alergen.

“Apabila tubuh anda terdedah kepada alergen ini, ia akan bertindak balas dengan melepaskan suatu bahan kimia yang disebut histamina yang menyebabkan simptom-simptom alergi tersebut yang kurang menyenangkan,” tulis MSAI di laman web mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button