
Acara Swing For Health cipta kelainan
KLINIK Dr. Najwa melakar sejarah baharu dalam dunia sukan dan kesihatan apabila menganjurkan pertandingan golf Swing For Health di Kelab Golf Impian di Kajang, baru-baru ini.
Program itu berjaya menarik penyertaan 120 pemain golf yang tidak hanya mempamerkan kemahiran di padang, malah mengambil peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Pengarah Klinik Dr. Najwa, Dr. Syarifah Najwa Syed Ahmad menyifatkan kejohanan tersebut sebagai usaha menyuntik kesedaran tentang pentingnya gaya hidup sihat.

Menurut beliau, pertandingan itu adalah yang pertama seumpamanya dianjurkan klinik swasta dengan objektif menggabungkan sukan dan penjagaan kesihatan secara holistik.
“Kami ingin memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.
“Kejohanan ini bukan sekadar acara sukan, tetapi juga satu platform untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan kesihatan.
“Ia menunjukkan bagaimana aktiviti fizikal boleh menyatukan komuniti dalam suasana yang sihat dan harmoni,” kata beliau.

Dr. Sharifah Najwa turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk para penaja yang memastikan program berjalan lancar.
Pemeriksaan kesihatan yang disediakan pada hari tersebut merangkumi ujian kolesterol, tahap gula dalam darah, asid urik, serta sesi rundingan perubatan bersama Dr. Syarifah Najwa dan Ketua Doktor Residen, Dr. Julia Adam Leong.
“Ini adalah usaha kami untuk menyampaikan perkhidmatan perubatan profesional kepada masyarakat sambil memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan.

“Program sebegini melengkapkan inisiatif kami yang sudah bertahun-tahun membantu komuniti,” tambah beliau.
Klinik Dr. Najwa yang ditubuhkan pada 2013, kini telah mempunyai 11 cawangan di seluruh Lembah Klang termasuk di Putrajaya, Bangi, Kajang, Puchong dan Dengkil.
Rangkaian klinik ini dikenali dengan komitmennya dalam menyediakan perkhidmatan perubatan yang mengikut garis panduan terkini untuk semua lapisan masyarakat.
Pertandingan Swing For Health turut dimeriahkan dengan pelbagai hadiah menarik.
Pemain paling bertuah membawa pulang sebuah televisyen pintar sebagai hadiah cabutan bertuah utama, manakala motosikal menjadi ganjaran kepada sesiapa yang berjaya mencatat Hole-in-One.

“Kami mahu program ini menjadi satu pengalaman bermakna bagi semua peserta, bukan sahaja di padang golf tetapi juga dari segi penjagaan kesihatan,” jelas Dr. Syarifah Najwa.
Kejohanan ini membuktikan bahawa kesihatan dan sukan boleh digabungkan untuk menghasilkan impak yang positif kepada masyarakat, sekaligus menjadikan Klinik Dr. Najwa sebagai perintis dalam usaha memperkasakan gaya hidup sihat.
Swing For Health bukan sekadar sebuah kejohanan golf, tetapi satu inspirasi yang menyeru masyarakat untuk seimbang antara sukan, kesihatan dan kebersamaan.
Melalui inisiatif sedemikian, Klinik Dr. Najwa terus melangkah maju dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |