
Abah 23 Paradise tawar pancing tanpa had masa
DALAM situasi ekonomi yang tidak menentu sekarang, ramai daripada kita sudah mula mengurangkan ‘komitmen’ dalam aktiviti kegemaran atau hobi.
Beban kewangan yang berterusan dalam apa sahaja jenis aktiviti sedikit sebanyak sudah pasti akan menganggu aliran perbelanjaan keluarga.

Menyedari hakikat itu, pengusaha kolam pancing, Abah 23 Paradise, Razif Ani menawarkan pakej memancing tanpa had masa kepada kaki-kaki pancing di sekitar Sekinchan.
Kolam pancingnya yang terletak di Sungai Nibong, Sekinchan itu kini dibuka kepada orang ramai dengan yuran sebanyak RM100 sekali masuk.

Pada harga yang ditawarkan itu, pengunjung boleh membawa pulang sebanyak mungkin ikan yang berjaya dipancing tanpa bayaran tambahan.
Antara ikan yang dibela di kolam air masinnya adalah Siakap, Jenahak, Ikan Kaci, Ikan Senang Taiwan dan Ikan Merah dengan saiz antara 1 kilogram (kg) hingga 2 kg.

“Faktor kos sara hidup yang tinggi menjadi pemangkin untuk saya berkongsi rezeki dengan orang sekeliling, ikan yang ditangkap pemancing dibawa pulang tanpa sebarang bayaran tambahan,” katanya kepada Malaysia Tribune baru-baru ini.
Razif berkata, matlamat beliau adalah untuk menyediakan kemudahan memancing kepada semua golongan yang meminati aktiviti itu tanpa perlu membebankan poket.
“Saya tahu ramai antara pemancing semakin terbeban dengan pelbagai kos sara hidup. Jadi niat saya melalui kolam pancing tanpa caj ikut masa ini dapat memberi sedikit ‘lapang dada’ kepada mereka untuk melakukan aktiviti kegemaran mereka.
“Saya juga anggap ini adalah sebahagian daripada sedekah saya kepada komuniti,” katanya.
Razif berkata, melalui tawaran itu beliau juga berharap dapat mewujudkan komuniti ‘nelayan darat’ yang mampu menjana pendapatan daripada hobi tersebut.
“Misalnya dalam tempoh 5 jam memancing boleh dapat dalam 10 ekor, kemudiaan mereja boleh jual hasil tangkapan itu kepada jiran atau kenalan.
“Di sini kami tawarkan (margin) harga yang cukup baik untuk pemancing meraih sedikit keuntungan apabila hasil tangkapan mereka dijual semula,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Abah 23 Paradise menganjurkan pertandingan memancing yang menawarkan hadiah wang tunai dan juga sebuah motosikal Yamaha RXZ kepada pemenang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








