17 kali takluk Everest, sherpa dari Nepal kongsi pengalaman untuk pendaki baharu
KUALA LUMPUR – “Tiada jumlah wang yang mampu membantu anda menawan Gunung Everest,” itulah nasihat diberikan oleh Pasang Tendi Sherpa, pendaki terkenal yang telah menawan puncak tertinggi dunia itu sebanyak 17 kali kepada pendaki yang bercita-cita untuk menakluki Everest.
Tendi yang mengendalikan syarikat perkhidmatan malim gunung berkongsi pengalaman mendaki laluan yang mencabar itu dan memberitahu bahawa syarikatnya telah menolak sekumpulan 27 pelanggan yang ingin mendaki Everest selepas mendapati mereka kekurangan latihan dan pengalaman.
Baginya, aspek keselamatan pendaki lebih perlu diberikan keutamaan berbanding memikirkan soal keuntungan.
“Matlamat kami bukan sahaja memastikan pelanggan sampai ke puncak Everest, tetapi juga pulang dengan selamat dan bersedia menghadapi cabaran seterusnya,” katanya pada sidang media yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bersama Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) di sini, hari ini.
Tendi berkata, keputusan menolak tawaran mengemudi pendaki adalah satu kerugian kepada syarikatnya, namun soal keselamatan pendaki tidak pernah sesekali dapat dikompromi.
“Ramai yang beranggapan bahawa jika mereka mempunyai wang yang banyak, mereka boleh merancang mendaki Everest dalam masa beberapa bulan.
“Namun itu tidak benar, kerana mendaki Everest memerlukan komitmen besar dan persiapan yang rapi. Risiko sangat tinggi jika pendaki tidak bersedia secara fizikal dan mental,” katanya lagi.
Tendi juga menasihatkan agar pendaki melakukan persiapan yang teliti dengan menjalani latihan fizikal yang ketat dan membina pengalaman mendaki melalui gunung yang lebih kecil seperti Gunung Kinabalu di Malaysia, diikuti latihan pada ketinggian lebih tinggi, seperti puncak 6,000 meter di Nepal.
Beliau turut menasihatkan pendaki untuk menyertai kursus pendakian bagi mempelajari kemahiran penting seperti teknik menyelamat, navigasi gunung dan kesedaran cuaca.
“Di Malaysia, kini terdapat banyak gimnasium pendakian dalaman. Jika anda bercadang untuk mendaki gunung pada masa hadapan, mulakan dengan mendaki di gimnasium bagi mengenali peralatan mendaki dan meningkatkan teknik serta kecergasan anda,” katanya.
Tendi yang berasal dari kampung Saisima, Nepal telah pun berjaya menawan lebih daripada 20 gunung berketinggian 6,000 meter di Himalaya sejak usia 13 tahun.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Taman Hutan dan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, jabatan tersebut mensasarkan untuk melatih dan memperakui 2,000 malim gunung menjelang tahun depan.
“Kami melihat permintaan yang tinggi terhadap malim gunung berpengalaman untuk meningkatkan kemahiran mereka, bukan sahaja mengikut kelayakan tempatan tetapi juga piawaian antarabangsa.
“Terima kasih kepada Tendi yang memberikan nasihat berdasarkan pengalamannya sebagai sebahagian daripada Persatuan Pemandu Gunung Nepal dan Persekutuan Antarabangsa Pemandu Gunung,” katanya lagi.
Beliau turut mengumumkan program pemuliharaan laluan mendaki di Malaysia yang dianjurkan jabatan itu, melibatkan penyertaan 18,000 peserta untuk membersihkan laluan mendaki di hutan simpan, termasuk memasang tali keselamatan dan penanda jalan bagi memudahkan pendakian.
“UFL akan menjadi tuan rumah untuk memulihkan laluan mendaki di Kota Damansara,” katanya lagi
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







