Remaja alami kerosakan otak sejak lahir terima pampasan RM4.1 juta akibat kecuaian doktor
JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang mengalami kerosakan otak kekal sejak lahir diperintah menerima pampasan berjumlah RM4.1 juta selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru memutuskan berlaku kecuaian perubatan oleh seorang doktor dan pemilik sebuah rumah bersalin swasta.
Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Nurulhuda Nuraini Nor yang dalam penghakiman bertulis yang menyatakan bahawa doktor terbabit gagal melaksanakan tanggungjawabnya terhadap ibu dan bayi manakala pemilik rumah bersalin turut bertanggungjawab secara vikarius atas kecuaian tersebut.
Mahkamah memerintahkan pampasan sebanyak RM600,000 dibayar sebagai ganti rugi am kepada remaja berkenaan, manakala RM3.5 juta lagi diperuntukkan bagi kos pemulihan masa depan.
Ibunya turut menerima RM80,000 atas tekanan emosi yang dialami.
Kedua-dua defendan turut diarahkan membayar kos guaman sebanyak RM100,000 kepada plaintif.
Difahamkan, mereka telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Insiden itu bermula pada 28 September 2009, apabila ibu remaja terbabit hadir ke rumah bersalin berkenaan pada pukul 10 pagi.
Pemeriksaan mendapati bayi dalam kandungan mengalami lilitan tali pusat namun pembedahan caesarean hanya dilakukan sembilan jam kemudian pada pukul 7 malam.
Selepas dilahirkan, bayi itu menunjukkan gejala lemah seperti kesukaran menyusu, pernafasan perlahan dan keadaan lesu sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah pada awal pagi 1 Oktober 2009.
Dia disahkan mengalami hipoglisemia serta jangkitan serius.
Keadaan kesihatannya terus membimbangkan selepas keluar hospital pada 14 November apabila menunjukkan simptom gangguan neurologi seperti kekejangan otot dan herotan mulut.
Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan beliau mengalami kerosakan otak yang serius.
Pada tahun 2020, ibu mangsa memfailkan saman bagi pihak anaknya yang kini mengalami ketidakupayaan kekal dan memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Plaintif diwakili pasukan peguam R. Jayabalan, N. Jegatheesan, Christopher Tan dan S. Shamilan.
Manakala pihak defendan diwakili B. Thinesh serta Raja Eileen Soraya Raja Aman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








