BERITA SEMASA

Reezal Merican dilantik Pengerusi MATRADE baharu

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai pengerusi kesembilan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkuat kuasa serta-merta.

Reezal Merican, dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau berbesar hati kerana diberikan peluang untuk berkhidmat sebagai pengerusi MATRADE bagi mendorong prestasi perdagangan dan eksport Malaysia yang lebih baik.

“Saya berbesar hati diberikan peluang untuk berkhidmat sebagai pengerusi MATRADE. Menerusi peranan ini, ditambah pula dengan kepimpinan menteri MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), kita berupaya mendorong prestasi perdagangan dan eksport Malaysia yang lebih baik untuk kekal cemerlang dan mencapai pertumbuhan lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut MATRADE, dengan pengalaman luas Reezal Merican dalam hal ehwal antarabangsa, diplomasi, pentadbiran kerajaan dan hubungan industri, khidmat beliau diperlukan dalam membawa dan memimpin agenda promosi perdagangan nasional Malaysia dan memudahkan pelaburan berorientasikan eksport ke negara ini.

“Pelantikan beliau sebagai pengerusi akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian eksport Malaysia di pasaran global baharu dan sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, Reezal mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan kerajaan dan telah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022), Menteri Belia dan Sukan (2020-2021) dan Timbalan Menteri Luar (2015-2018).

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Amanah Raya Bhd dari 2013 hingga 2015.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button