BERITA SEMASA

Rangka ditemui sah milik Hafiz Fauzan

BATU PAHAT – Rangka manusia yang ditemui di kebun durian berdekatan Kompleks Panghulu Mukim Linau pada hujung bulan lalu disahkan milik mangsa, Hafiz Fauzan, 17.

Bapa mangsa, Abd Halid Sugiman, 44, menzahirkan rasa syukur atas pendedahan itu selepas menerima keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat ke atas rangka berkenaan.

“Alhamdulillah semua sudah selesai. Apa yang ditunggu-tunggu sudah berakhir,” katanya.

Jelas beliau, keputusan itu dimaklumkan sekitar pukul 4.43 petang selepas beliau menerima panggilan polis berhubung hasil ujian DNA yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Dalam pada itu, proses tuntutan jenazah akan dibuat pada pagi Jumaat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dikebumikan.

Sebelum ini, Hafiz Fauzan dilaporkan hilang selepas keluar menonton perlawanan bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah pada malam 25 Mei.

Susulan itu, pelbagai cara telah dilakukan keluarga dalam usaha mencari Hafiz Fauzan yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Pada 25 Jun lalu, rangka manusia ditemui bersama jaket, topi keledar dan sebuah motosikal yang hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button