BERITA SEMASADALAM NEGERI

Nurulhidayah anggap Putri Qisya sebagai anak sendiri

KUALA LUMPUR – Anak kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyatakan hasrat untuk menerima Putri Qisya Nur Izzat, 12, sebagai anak angkat selepas remaja itu kehilangan seluruh keluarganya dalam tragedi di Sungai Korok, Kedah, baru-baru ini.

Menurut beliau, nama ibu kepada Putri Qisya, Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, yang hampir menyamai namanya sendiri, mengundang rasa tersentuh yang mendalam.

“Namanya hampir sama dengan saya. Saat saya diberitahu, hati saya sebak.

“Dia kini bukan lagi orang luar saya anggap dia sebagai anak saya,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di media sosial.

Jelas Nurulhidayah, naluri keibuan mendorong beliau untuk berkunjung menemui Putri Qisya dan menyantuni keluarga terdekat remaja itu, selain menawarkan sokongan moral serta kasih sayang dalam menghadapi masa depan.

“Saya mahu dia tahu bahawa dia tidak keseorangan. Jika dia izinkan, anggaplah saya sebagai ibu baharunya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Putri Qisya membesar sebagai seorang wanita yang kuat, berdikari dan berjaya dalam hidup.

“Saya doakan dia menjadi anak yang solehah, cemerlang dan disegani suatu hari nanti. Dia anak istimewa yang melalui ujian luar biasa,” tambah beliau.

Dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu, Putri Qisya merupakan satu-satunya ahli keluarga yang terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka, sebuah Proton Saga Iswara, ditemukan tenggelam di dasar Sungai Korok.

Mangsa yang terkorban ialah pasangan suami isteri, Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7 dan Tuah Haidar, 6 bulan.

Kesemua mangsa dilaporkan hilang selepas bermalam di rumah saudara di Taman Aman, Jitra.

Operasi mencari dan menyelamat menemukan mayat mereka bersama kenderaan yang tenggelam beberapa hari kemudian.

Tragedi berkenaan mengundang reaksi meluas daripada masyarakat, dengan pelbagai pihak tampil menzahirkan simpati serta sokongan kepada Putri Qisya yang kini memulakan kehidupan baharu tanpa keluarga kandung di sisi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button