Putri Qisya akan terima semua bantuan persekolahan – JPN Kedah
JITRA – Segala bantuan persekolahan untuk Putri Qisya Nur Izzat, 12, anak sulung kepada pasangan suami isteri empat sekeluarga yang terkorban dalam tragedi kereta terjunam di Sungai Korok, baru-baru ini akan disalurkan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan, hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN negeri, Abdul Rahim Mat berkata, bantuan itu akan diberikan selepas mengambil kira keperluan Putri Qisya yang kini bergelar yatim piatu.
“Semua bentuk bantuan kerajaan yang ada di sekolah akan diberi kepada Putri Qisya kerana dia layak menerimanya apabila bertukar status yatim piatu,” kata Abdul Rahim, memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut beliau, antara bantuan yang layak diberikan termasuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS) dan bantuan ‘one-off’ bencana daripada tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dalam bentuk tunai.
Tambahnya, beliau juga adalah pelajar sekolah yang dilindungi insurans.
BACA : Enam sekeluarga hilang ditemui lemas dalam kereta tenggelam
“Apabila kemalangan yang melibatkan kematian, memang ada pampasan dalam bentuk tunai yang juga akan disalurkan kepada Putri Qisya sebagai waris,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu, JPN sedia membantu membuka akaun bank untuk Putri Qisya bagi memudahkan urusan kewangan hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Kita juga mohon waris agar dapat membantu dalam pengurusan kewangan ini kerana banyak sumbangan yang diterima dan perlu diuruskan sebaik mungkin bagi memastikan pendidikannya terjamin hingga ke menara gading,” katanya lagi.
Selain itu, Abdul Rahim berkata, Putri Qisya akan diberikan kaunseling secara berterusan melalui kaunselor sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar dan JPN Kedah untuk pemantauan dan pemulihan emosinya.
Isnin lalu, media melaporkan penemuan mayat enam sekeluarga yang sebelum itu dilaporkan hilang sejak Sabtu di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok.
Keenam-enam dipercayai maut selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam sungai semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka pada awal pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

